Musim persekolahan baru bermula. Seronok melihat telatah dan kerenah anak-anak kecil yang memasuki Tahun 1. Bukan setakat anak-anak ini sahaja yang berdebar-debar nak masuk sekolah, tetapi mak ayah pun turut sama tumpang berdebar.

Macam-macam persiapan dibuat, membeli pakaian dan kelengkapan sekolah semata-mata untuk memastikan anak-anak mereka mendapat yang terbaik. Ramai ibu bapa yang mengambil cuti untuk melihat sendiri anak-anak mereka di hari pertama persekolahan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Melihatkan suasana di sekolah Malaysia, suka untuk saya berkongsi mengenai suasana dan persekitaran sekolah di UK. Hampir 6 tahun berada di UK, saya berpeluang melawat beberapa buah sekolah di London dan Manchester.

Peluang itu saya gunakan sebaiknya untuk mempelajari dan menimba pengalaman bagaimana sistem persekolahan dan suasana persekitaran sekolah di UK.

Jadi, artikel ini adalah berdasarkan pemerhatian saya ke atas sekolah-sekolah yang telah dilawati dan juga berdasarkan sistem persekolahan sekolah rendah di UK.

Tujuan untuk berkongsi bagaimana sistem persekolahan UK dilaksanakan agar apa yang baik boleh kita tiru dan amalkan, dan apa yang sudah sedia baik di Malaysia boleh terus dikekalkan.

1. Pendaftaran Murid Ke Sekolah

Sistem persekolahan UK adalah percuma (kecuali sekolah swasta) dan semua ibu bapa yang mempunyai anak-anak berusia 5 hingga 16 tahun (Year 1 to Year 11) wajib menghantar anak mereka ke sekolah. Sekiranya terdapat anak-anak yang tidak ke sekolah, ibu bapa boleh diambil tindakan undang-undang.

Sekolah-sekolah di UK adalah di bawah pemantauan Department of Education UK, sama seperti Kementerian Pendidikan Malaysia. Walau bagaimanapun, sekolah-sekolah ini diuruskan oleh pihak yang berbeza.

Terdapat banyak jenis sekolah di UK. Yang paling banyak adalah community school (sekolah komuniti) yang diuruskan oleh local council, ataupun majlis daerah/perbandaran/bandaraya.

Pengurusan sekolah seperti pengambilan murid, pengambilan guru semuanya perlu melalui council ini. Pihak Department of Education tidak terlibat secara langsung, mereka hanya memantau sahaja.

Sekiranya ibu bapa ingin mendaftar anak mereka ke sekolah, mereka hanya perlu search online dengan menggunakan poskod rumah untuk memohon tempat ke sekolah melalui local council seperti di bawah ini.

Langkah 1: Masukkan poskod rumah.

Langkah 2: Poskod tersebut akan menunjukkan local council yang menguruskan sekolah di kawasan tersebut.

Langkah 3 : Memohon sekolah melalui website local coucil.

Nak mudah faham, saya bagi contoh situasi di Malaysia. Situasi rekaan ini untuk memudahkan anda faham. Contoh, Ali mempunyai anak yang akan masuk Tahun 1 di Sekolah Kebangsaan Shah Alam.

Untuk mendaftarkan anak ke sekolah tersebut, Ali perlu memohon melalui Majlis Bandaraya Shah Alam. Jadi pihak Majlis Bandaraya Shah Alam yang akan uruskan dan kemudian memberi makluman kepada pihak sekolah tersebut.

Begitu juga dengan pengambilan guru. Pihak kerajaan iaitu Department of Education tidak terlibat secara langsung dalam pengambilan guru. Sebagai contoh, terdapat kekurangan guru di Sekolah Kebangsaan Petaling Jaya.

Jadi pihak sekolah akan maklumkan pada local council iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Kemudian, pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya akan membuat iklan dan menguruskan pengambilan guru baru. Calon guru yang berminat akan mohon melalui local council tersebut dan pihak sekolah akan menemuduga calon tersebut.

Berbalik kepada persekolahan di UK, selain dari community school, terdapat juga 4 jenis sekolah yang berbeza. Sekolah jenis academy dan grammar schools kebanyakannya diuruskan oleh yayasan dan sekolah agama dan sekolah persendirian/swasta yang diuruskan oleh organisasi/pertubuhan adalah jenis sekolah yang paling sedikit di UK.

2. Peringkat Umur

Di UK pelajar memasuki alam persekolahan pada usia yang lebih awal. Sekolah rendah di UK bermula pada umur 5 hingga 11 tahun (Year 1 to Year 6) dan sekolah menengah pada umur 11 hingga 16 tahun (Year 7 to Year 11). Kemudian mereka memasuki kolej/sixth form (Year 12 and Year 13).

Sistem tadika yang lebih dikenali sebagai reception atau Year 0 (Tahun/Darjah 0) ialah untuk kanak-kanak berusia 4 tahun. Disebabkan mereka memasuki sekolah lebih awal, jadi mereka akan masuk universiti pada usia yang lebih awal iaitu 18 tahun.

3. Sesi Persekolahan

Sesi persekolahan di UK bermula pada musim luruh, iaitu awal bulan September dan tamat pada musim panas, iaitu akhir bulan Julai. Apa yang menarik, kemasukan murid/pelajar ke sekolah adalah mengikut umur, bukan mengikut tahun lahir.

Apabila bermulanya sesi persekolahan di UK iaitu pada September 2016, hanya murid yang berumur 5 tahun sahaja yang boleh masuk Tahun 1 (Year 1). Sesi akademik universiti di UK juga bermula bulan September. Ia sudah diamalkan ratusan tahun oleh kebanyakan universiti di luar negara.

Sebagai contoh, Abu lahir pada bulan April 2011 manakala Siti lahir pada November 2011. Abu berumur 5 tahun 5 bulan manakala Siti berumur 4 tahun 10 bulan.

Walaupun mereka lahir pada tahun yang sama, hanya Abu saja boleh mendaftar masuk ke sekolah untuk Tahun 1, manakala Siti akan kekal di tadika hingga umurnya cukup 5 tahun pada November 2016. Siti akan mendaftar masuk ke sekolah apabila umurnya cukup 5 tahun.

Dari segi masa pula, sesi persekolahan di UK bermula lebih lewat iaitu antara jam 8.30 hingga 9 pagi dan tamat pada jam 3.30 hingga 4 petang, berbeza mengikut sekolah.

4. Saiz Dan Lokasi Sekolah

Sekolah di UK mempunyai saiz yang lebih kecil sekitar 100 ke 200 orang. Terdapat juga sebilangan kecil sekolah yang mempunyai bilangan pelajar yang lebih daripada 200 orang. Kebanyakan sekolah hanya mempunyai dua kelas untuk setiap tahun/tingkatan.

Sekolah di UK bersaiz kecil kerana bilangan sekolah yang sangat banyak. Kebiasaannya, setiap taman perumahan/kampung mempunyai sekolah sendiri. Di kawasan rumah saya di Manchester, terdapat 3 buah sekolah yang sangat dekat antara satu sama lain.

Sekolah ini terletak hanya 2 minit jalan kaki dari rumah saya. Saiz sekolah ini hanya separuh daripada saiz kebanyakan sekolah di Malaysia.

Ibu bapa hanya berjalan kaki 5 minit untuk menghantar anak mereka ke sekolah. Tidak perlu menggunakan kenderaan. Sukar juga untuk jumpa bas sekolah kerana kedudukan sekolah yang dekat dengan rumah. Jadi murid/pelajar hanya perlu berjalan kaki sahaja.

5. Suasana Kelas

Setiap kelas/bilik darjah dilengkapi dengan:

1. Alat tulis.

Antara alatan yang disediakan ialah pensil, pensil warna, gunting dan sebagainya. Disebabkan semua peralatan tulis disediakan di dalam kelas, jadi murid/pelajar tidak perlu bawa dari rumah.

Begitu juga dengan beg. Semua murid/pelajar akan menggunakan beg sekolah yang sama. Apa yang menarik, beg sekolah murid sekolah rendah sangat ringan dan nipis.

Mereka tidak perlu bawa buku banyak-banyak ke sekolah. Semua buku-buku mereka akan diletakkan di dalam kelas. Kebiasaannya, mereka hanya bawa balik sebuah buku sahaja sekiranya ada kerja rumah yang perlu dilakukan.

2. Rak almari.

Setiap pelajar mempunyai compartment ataupun ruang sendiri di dalam rak ini untuk meletak buku dan beg murid.

3. Meja untuk meletakkan botol minuman.

Setiap pelajar wajib membawa botol minuman untuk mengisi air kosong. Guru-guru di UK sangat menitik beratkan pelajarnya untuk meminum air kosong. Setiap setengah jam ataupun apabila habis satu subjek (lesson), pelajar diminta untuk minum air kosong.

4. Sinki untuk mengisi air minum dan membasuh tangan.

Air dari pili/paip (tap water) di UK adalah selamat untuk diminum. Jadi boleh terus isi dalam botol (refill). Selain itu terdapat banyak water filling machine di kawasan sekolah.

Sinki juga digunakan untuk membasuh tangan sekiranya ada pelajar yang bersin (faktor kebersihan dan mengelak penyakit) dan selepas aktiviti yang menyebabkan tangan kotor (seperti menggunakan pensil warna air).

5. Komputer dan projektor.

Meja guru dalam bilik darjah dilengkapi komputer meja (desktop computer). Guru menggunakan kemudahan teknologi untuk mengajar dan mengisi kehadiran pelajar secara online.

6. Tong sampah.

Tong sampah yang digunakan ialah jenis tong sampah kitar semula (recycle) mengikut warna. Menggalakkan pelajar untuk mengitar semula sejak Darjah 1.

6. Tidak Perlu Bawa Duit Belanja

Ibu bapa diberi pilihan sama ada ingin menyediakan bekal makanan kepada anak mereka ataupun membayar yuran makanan kepada pihak sekolah untuk menyediakan makanan kepada anak mereka. Jadi mereka tak perlu bawa duit ke sekolah.

7. Sangat Banyak Masa Bermain

Setiap sekolah di UK mempunyai kawasan permainan (playground) dalam kawasan sekolah. Rujuk gambar. Setiap hari, ada tiga kali waktu rehat untuk belajar bermain. Mereka akan bermain dengan pakaian seragam sekolah.

Pihak sekolah amat menitikberatkan pelajar untuk bermain kerana di usia awal persekolahan, pelajar yang berusia 5 hingga 10 tahun sangat suka bermain kerana pada waktu ini mereka lebih banyak menggunakan domain/kompentensi psikomotor (fizikal/perlakuan) berbanding kognitif (mental/berfikir).

Maka sekolah bukanlah sekadar tempat belajar dan menuntut ilmu sahaja. Sekolah merupakan tempat untuk mengasah dan mengembangkan bakat dan kemahiran seperti berkomunikasi, bersosial, teamwork, soft skills dan sebagainya.

Sebab itu sekolah di UK akan memperuntukkan banyak masa kepada pelajar untuk berehat dan bermain. Mereka tidak boleh duduk dalam kelas/bilik darjah berjam-jam kerana naluri bermain di kalangan kanak-kanak sangat tinggi.

Sewaktu bermain, mereka akan boleh berkomunikasi, aktif dan merembeskan hormon positif yang boleh meningkatkan kecergasan dan kecerdasan mereka. Sekiranya duduk di dalam kelas lama-lama, mereka akan bosan dan pasif.

Pengalaman Di Sekolah UK

Saya pernah menyertai ‘Skim Duta Pelajar Universiti ke Sekolah-Sekolah London’ sewaktu belajar di Imperial College London. Skim ini membolehkan pelajar mewakili universiti mereka sebagai duta ke sekolah-sekolah di sekitar London selama dua minggu.

Saya telah meluangkan masa selama dua minggu di sekolah King Solomon Academy, London untuk mempromosi universiti kepada pelajar sekolah, menerangkan kepada pelajar sekolah tentang kehidupan di universiti dan membantu pelajar sekolah dalam subjek Sains.

Pemerhatian saya selama dua minggu di sekolah tersebut, setiap kali waktu makan iaitu waktu minum pagi (pukul 10.30 pagi) dan waktu makan tengahari (pukul 1 petang), guru-guru akan makan semeja dengan pelajar sekolah. Pihak kantin menyediakan makanan kepada semua pelajar dan guru sekolah.

Daripada guru besar, penolong kanan dan guru-guru, semuanya makan semeja dengan pelajar sekali. Kami sebagai duta universiti juga turut sama makan semeja dengan mereka. Sewaktu makan, guru-guru akan berbual dan beramah mesra dengan pelajar sekolah. Perkara ini sangat bagus kerana ianya dapat mengukuhkan ikatan (bonding) antara pelajar dan guru.

Selain itu, di kawasan luar sekolah, tiada gerai jualan makanan/minuman kerana kawasan persekitaran sekolah adalah kawasan larangan untuk penjaja menjual makanan kepada pelajar sekolah. Oleh sebab itu, pelajar tidak perlu bawa duit ke sekolah dan hanya menikmati makanan berkhasiat yang disediakan oleh ibu bapa di rumah atau pihak kantin sekolah.

Baca: 7 Sekolah Paling ‘Best’ Di Dunia Buatkan Anda Mahu Kembali Ke Sekolah

Baca: ‘Special Mention’, Kaedah Sekolah Di UK Menghargai Pelajar Mereka