Pertama kali melihat lelaki ini, pasti ramai yang menyangka beliau hanya lelaki biasa yang hidup di rumah usang bersama anjing peliharaannya. Namun, jangan terkejut jika saya bongkarkan identiti sebenar lelaki ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Pemilik nama José Mujica ini sebenarnya adalah mantan presiden Uruguay yang ke-40 pada tahun 2009 hingga 2015.

Kehidupan beliau semasa remaja tidak seperti remaja lain. Datang dari keluarga yang susah, beliau membuat keputusan untuk menyertai kumpulan gerila pada tahun 1966 yang dikenali sebagai The Tumpamaros. Kumpulan gerila tersebut sangat popular di Uruguay pada ketika itu hingga diberi nama jolokan “The Robin Hood Movement” oleh rakyat Uruguay di mana aktiviti mereka lebih tertumpu kepada membela nasib rakyat.

Seperti cerita lagenda Robin Hood, pasukan gerila yang diketuai oleh Mujica akan merompak bank dan syarikat yang menindas rakyat dengan mengenakan cukai yang tinggi. Hasil rompakan tersebut kemudiannya akan diagihkan kepada rakyat.

Namun, Mujica berjaya ditangkap pada tahun 1969 ketika cuba melakukan gulingan kuasa di sebuah bandar di Uruguay. Mujica kemudiannya dipenjara selama 13 tahun. Kisah perjuangan The Tumpamaros sangat popular hingga ada penulis yang menerbitkan buku mengenai perjalanan kumpulan tersebut.

Setelah dibebaskan dari penjara, Mujica tinggal di rumah usang di pinggir bandar bersama anjing peliharaannya (rujuk gambar atas). Hingga pada suatu hari, beliau bercadang untuk menyertai pilihan raya dan menubuhkan sebuah parti baru yang dikenali sebagai The Movement of Popular Participation (MPP) di mana ia dianggotai oleh bekas-bekas anggota kumpulan The Tumpamaros.

Disebabkan pengaruh kuat kumpulan gerila tersebut, parti MPP yang diketuai oleh Mujica disambut baik oleh rakyat, menjadikan parti tersebut di tangga teratas pada setiap pilihan raya. Melalui parti ini juga Mujica akhirnya dilantik sebagai Presiden Uruguay yang ke-40 pada 2009.

Mujica ketika dilantik sebagai presiden Uruguay yang ke-40
Mujica ketika dilantik sebagai presiden Uruguay yang ke-40

Gaya hidup Mujica yang sangat sederhana dan keperihatinan beliau sebagai presiden telah mencuri tumpuan masyarakat di seluruh dunia.

Di sini saya akan kongsikan 7 sebab mengapa Mujica terkenal, disanjungi dan disegani oleh pemimpin dan masyarakat di seluruh dunia.

1. Mendermakan 90% Dari Jumlah Gajinya Demi Rakyat Uruguay.

Dikenali sebagai ‘presiden paling miskin di dunia’, Mujica akan mendermakan hampir keseluruhan gajinya sebagai presiden kepada badan kebajikan.

Beliau yang asalnya menerima gaji sebanyak $14,000 sebulan, hanya akan menggunakan $1250 untuk meneruskan kehidupannya manakala selebihnya akan disalurkan kepada badan kebajikan.

2. Hidup Sederhana Sebagai Orang Penting Di Uruguay.

Sangat terkenal dengan sifat rendah dirinya, dia menolak untuk tinggal di rumah agam presiden yang telah disediakan oleh kerajaan Uruguay.

Ini kerana Mujica lebih selesa tinggal di rumah usang yang hanya mempunyai satu bilik tidur miliknya bersama isteri dan anjing peliharaannya.

Hanya menaiki kereta usang 1987 Volkswagen Beetle untuk kemana-mana, beliau juga menolak untuk diiringi skuad polis dan pengawal peribadi.

Mujica juga pernah menolak tawaran seorang jutawan dari Dubai yang ingin membeli keretanya dengan harga $1 juta walaupun nilai kereta tersebut hanya $1945 (RM6023) pada ketika itu.

Beliau menegaskan kereta tersebut merupakan kereta pertama yang dibelinya selepas keluar dari penjara dan mempunyai banyak nilai sentimental yang tidak boleh ditukar dengan wang ringgit.

3. Membantu Pelarian Syria.

Rumah yang disediakan untuk presiden Uruguay
Rumah yang disediakan untuk presiden Uruguay

Setelah menolak untuk tinggal di rumah presiden yang juga dikenali sebagai Palace of Suarez y Reyes, Mujica kemudiannya mengarahkan pihak berkuasa untuk menempatkan 100 orang pelarian Syria yang baru tiba di Uruguay ketika itu untuk tinggal di rumah presiden tersebut.

Isteri Mujica berkata:

“Jika ingin memberi tempat pelindungan untuk pelarian seperti mereka, tempat yang selesa beginilah selayakanya mereka dapat. Kita perlu memberi contoh yang baik agar masyarakat di seluruh dunia juga dapat memberi penempatan yang selesa bagi pelarian-pelarian ini tinggal.”

4. Pemimpin yang bersuara lantang.

Contoh saiz gambar yang diwajibkan oleh Mujica untuk setiap kotak rokok
Contoh saiz gambar yang diwajibkan oleh Mujica untuk setiap kotak rokok

Salah satu sebab mengapa Mujica sangat disegani oleh pemimpin di seluruh dunia kerana kelantangan beliau ketika menyuarakan sesebuah pendapat.

Mujica hampir disaman oleh pemilik syarikat rokot terbesar didunia, Phillip Morris. Mujica pada asalnya menjalankan program anti-rokok di Uruguay dimana beliau mengarahkan semua syarikat rokok untuk meletakkan gambar keburukan merokok di setiap kotak rokok yang dijual.

Phillip Morris walaubagaimanapun tidak bersetuju dengan arahan Mujica dimana gambar tersebut akan memenuhi 80% dari permukaan kotak rokok, menyebabkan tiada ruang yang cukup untuk syarikat mereka meletakkan label yang sepatutnya.

Oleh kerana Mujica masih bertegas dengan arahan barunya, Phillip Morris mengambil keputusan untuk menyaman Mujica sebanyak $25 juta. Nasib Mujica sangat baik apabila seorang jutawan yang juga seorang aktivis anti-rokok ingin membantu Mujica untuk membayar saman tersebut atas penghargaan beliau terhadap usaha murni Mujica yang ingin memberi kesedaran kepada perokok tegar di Uruguay.

5. Menanam Sifat Dermawan Di Kalangan Rakyat.

Rumah mampu milik untuk rakyat Uruguay yang telah siap dibina
Rumah mampu milik untuk rakyat Uruguay yang telah siap dibina

Memahami bagaimana peritnya hidup miskin, Mujica melancarkan program kebajikan yang dinamakan sebagai The Juntos Plan pada tahun 2010. Jika di Malaysia, program ini boleh dikatakan sama seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dimana kerajaan akan membina perumahan mampu milik untuk rakyat Malaysia terutama pada mereka yang kurang berkemampuan.

Namun apa yang membezakan program The Juntos Plan ini ialah keseluruhan kos pembinaan rumah tersebut akan ditanggung oleh syarikat NGO dan mana-mana syarikat yang sudi memberi sumbangan. Dalam erti kata lain, Mujica telah menyediakan platform yang terbaik untuk menggalakkan rakyat Uruguay melakukan kebajikan. Ini termasuklah tenaga kerja untuk membina rumah tersebut

6. Berjaya Mengurangkan Kadar Kemiskinan Di Uruguay.

Mujica telah mengarahkan pihak yang bertanggungjawab agak mengurangkan harga barangan di pasaran bagi mengurangkan beban rakyat.

Beliau juga melancarkan program pembelajaran percuma yang turut disertakan dengan komputer peribadi setiap seorang bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat disana.

Dengan usaha yang dilakukan, Uruguay berjaya mengurangkan kadar kemiskinan dari 37% kepada 11% sepanjang beliau menydanang jawatan sebagai presiden.

7. Menentang Konsep Peperangan.

Sebagai bekas ahli pergerakan gerila, Mujica berpendapat bahawa peperangan hanya sesuatu yang sia-sia. Negara akan berhabis jutaan ringgit hanya untuk berperang dan ratusan ribu nyawa yang tidak berdosa terkorban kerana nafsu manusia.

Tambahnya lagi, jika zaman dahulu manusia berperang dengan penuh maruah untuk mempertahankan negara mereka, namun perkara itu tidak berlaku pada masa kini. Beliau merasakan untuk mencapai sesuatu perkara, manusia perlu bertolak ansur dan berbincang secara baik, bukannya melalui perperangan.

Itu juga salah satu sebab mengapa Mujica memilih untuk membantu pelarian Syria walaupun mereka berbeza agama.

Bagi saya, Mujica adalah contoh terbaik bukan saja untuk pemimpin dunia, tapi juga kepada masyarakat di mana nilai kemanusiaan tidak patut terhenti tidak kira di mana kita berada atau siapa pun kita.

Antara ungkapan popular Mujica yang menarik perhatian saya ialah, “Saya mungkin digelar presiden paling miskin di dunia. Namun saya langsung tidak merasa miskin dengan melakukan kebaikan.”

Sungguh memberi inspirasi!