SneakerLah merupakan acara sneakers-convention terbesar di Malaysia sejak ia dimulakan pada tahun 2015. Pada tahun lalu, SneakerLah telah menyaksikan kelahiran sepasang kasut edisi terhad pertamanya hasil kolaborasi dengan jenama Asics dan Hundred% yang bertemakan sarapan kegemaran rakyat Malaysia iaitu Asics GEL Kayano-5 ‘Nasi Lemak’.

Ketika para peminat sneakers & streetwear Malaysia sedikit kecewa dengan berita pembatalan acara SneakerLah 2020 kerana pandemik Covid-19, SneakerLah mengubat kekecewaan itu dengan mengumumkan projek terbaru mereka yang masih mengekalkan kolaborasi bersama ASICS & Hundred% namun pada silhouette ASICS yang berbeza dan menjadi kegemaran ramai iaitu ASICS GEL Lyte III yang diberi nama ‘Kuala Lumpur Twin Towers’.

Melihat kepada gambar-gambar promosi dari SneakerLah, ASICS GEL Lyte III “Kuala Lumpur Twin Towers” ini ternyata diinspirasikan oleh mercu tanda terkenal Kuala Lumpur iaitu Menara Berkembar Petronas. Warna serta ciri-ciri pada kasut ini sememangkan akan mengingatkan anda kepada bangunan berkembar kebanggaan Malaysia yang juga pernah menjadi struktur binaan tertinggi di dunia suatu masa dahulu.

Corak hiasan pada kotak kasut ini juga diinspirasikan daripada senibina Menara Berkembar Petronas malah terdapat juga informasi penting tentang Menara Berkembar Petronas yang dicetak pada bahagian dalam kasut ini.

Kasut kolaborasi terhad ASICS GEL Lyte III “Kuala Lumpur Twin Towers” ini akan mula dijual di Malaysia secara undian (raffle) di sneakerLAH.com pada 3 dan 4 Disember 2020 sebelum dilancarkan di seluruh dunia pada 19 Disember 2020, dengan harga RM649.00 sepasang.

Selain itu terdapat beberapa lagi kolaborasi jenama terkenal antarabangsa dengan jenama serta personaliti tempatan yang berjaya membawa nama Malaysia ke seluruh dunia. Mari kita lihat lima lagi kolaborasi menarik yang pernah terjadi:

1. VANS x SHOWROOM ’21:30′ (2016)

Pada tahun 2016, SHOWROOM, sebuah kedai skate terkenal di Kuala Lumpur telah berkolaborasi dengan jenama kasut terkenal antarabangsa iaitu VANS dengan melancarkan koleksi yang diberi nama ’21:30′. Koleksi ini menampilkan dua model VANS yang diminati ramai iaitu Sk8 Hi Pro dan Old Skool Pro.

Koleksi ini dinamakan ’21:30′ sebagai memberi penghormatan kepada skateboarders yang beraksi di waktu malam iaitu selepas kedai SHOWROOM ditutup pada pukul 9:30 malam. Aspek ini turut terserlah pada penggunaan material reflektif 3M pada kasut-kasut ini untuk lebih menyinar di dalam gelap. Koleksi yang berharga RM359.00 (Sk8 Hi Pro) dan RM329.00 (Old Skool Pro) ini ternyata mendapat permintaan yang tinggi dan habis terjual dalam masa yang sangat singkat.

2. PUMA x CROSSOVER CONCEPT STORE ‘THE VELVET TWIN’ PACK (2016)

Tahun 2016 juga menyaksikan kemunculan satu lagi kolaborasi jenama tempatan iaitu Crossover Concept Store (Crossover) dengan jenama sukan terkenal dunia dari German iaitu Puma. Crossover merupakan salah satu jenama ikon dalam dunia sneakers & streetwear Malaysia, dengan mempunyai beberapa cawangan di Kuala Lumpur dan Johor Bharu.

Koleksi yang diberi nama ‘The Velvet Twin Pack’ ini menampilkan antara dua model terbaik dari Puma iaitu Blaze Of Glory (Roses) dan Disc Blaze (Mystery). Menurut pemilik Crossover iaitu Jem, semua kerja kreatif seperti corak, warna serta material bagi kedua-dua silhouette ini diinspirasikan daripada salah satu filem indie kegemaran beliau bertajuk ‘Blue Velvet’. Kedua-dua silhouette ini adalah edisi terhad dan telah dijual pada harga RM580.00 untuk Blaze of Glory “Roses” dan RM630.00 untuk Disc Blaze ‘Mystery’.

3. VANS x PA’DIN MUSA (2017)

padin

Ahmad Fadzli Musa atau lebih dikenali sebagai Pa’din Musa (Pa’din) merupakan household name dalam sukan skateboarding di Malaysia. Kejayaan Pa’din memenangi pingat emas dalam kejohanan Asian X-Games pada tahun 2000 & 2004 telah mematerikan status lagenda beliau dalam bidang skateboarding di peringkat antarabangsa.

Pada 2017, Pa’din telah mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi individu Malaysia pertama berkolaborasi dengan jenama ulung kasut skateboard dunia iaitu Vans untuk menghasilkan kasut signature beliau sendiri. Pa’din telah memilih untuk melakukan kerja kreatif beliau pada dua silhouette terkenal Vans iaitu Old Skool Pro dan Authentic Pro.

Sebagai seorang yang sangat meminati dunia motosikal, Pa’din telah memilih untuk memadankan warna hitam dan kuning sempena sehelai jersi perlumbaan vintage yang beliau sukai. Pa’din juga turut menerapkan elemen tradisi Malaysia dalam bentuk pantun empat kerat hasil tulisan tangan anak-anak lelaki beliau iaitu Fahim & Fayadh, yang dicetak pada bahagian dalam kasut tersebut.

Kasut-kasut Vans x Pa’din Musa ini telah dijual dengan harga RM319.00 bagi Old Skool Pro dan RM299.00 untuk Authentic Pro. Peminat Pa’din di seluruh Malaysia telah beratur beberapa jam sebelum kedai-kedai yang menjual kasut-kasut ini dibuka dan kesemuanya telah habis dijual pada hari pertama dikeluarkan. Kasut signature Vans x Pa’din ini mendapat permintaan yang sangat tinggi hinggakan pernah mencecah harga ribuan ringgit di laman eBay.

4. VANS x PA’DIN MUSA – TIKAR MENGKUANG FOR VANS CHECKERBOARD DAY (2019)

vans mengkuang

Selepas kejayaan dengan siri signature Vans x Pa’din Musa pada 2017, Pa’din sekali lagi berkolaborasi Bersama Vans sempena Vans Checkerboard Day 2019. Kali ini, Pa’din telah menampilkan kerja kreatif berteraskan tikar mengkuang tradisional Malaysia dari Kelantan yang dijadikan motif pada sepasang Vans Slip On serta sebuah beg galas Vans.

Walaubagaimanapun projek 1-of-1 ini bukanlah untuk jualan awam sebaliknya projek ini adalah untuk mengutip dana bagi membantu Imagination Foundation, sebuah badan non-profit Amerika Syarikat yang menggalakkan kreativiti serta sikap keusahawanan dalam kalangan kanak-kanak. Vans Slip On tikar mengkuang Pa’din ini berjaya dijual di laman Ebay dengan harga mencecah RM5,000.00.

5. VANS x KIDE BAHARUDIN (2020)

Nama Kide Baharudin mula menjadi sebutan setelah beliau menjadi wakil Malaysia dan seterusnya memenangi pertandingan Vans Custom Culture Asia 2017 di mana hasil seni custom beliau pada sepasang kasut Vans telah mendapat undian tertinggi peminat-peminat kasut Vans dari seluruh Asia. Hasil tangan Kide telah diundi mengatasi peserta-peserta akhir dari China, Korea, Hong Kong, Singapura & India.

Kide seterusnya diangkat menjadi artis rasmi House of Vans dan tidak lama selepas itu, terhasillah Vans x Kide Baharudin. Istimewanya koleksi Vans x Kide ini ialah ia bukan terhad kepada kasut Vans sahaja, malah menampilkan koleksi lengkap head-to-toe.

Antara produk yang terdapat dalam koleksi ini ialah topi, baju kemeja, t-shirt, seluar pendek, beg, sandal Slide On dan dua jenis kasut iaitu dari silhouette Slip On SF dan Authentic SF. Koleksi Vans x Kide ini mendapat sambutan hangat daripada orang ramai dan menyaksikan hampir kesemua produk terutamanya kasut habis dijual dalam masa yang singkat.

Kolaborasi lokal dengan jenama apa pula yang anda mahu lihat di masa akan datang? Antara semua model di atas, mana satu yang ada dalam simpanan? Apa pun model yang anda simpan, pakainya dengan bangga. Jumpa lagi!

Laman Facebook Polis Johor baru-baru ini meriah kerana kasut Nike Air Jordan x Dior. Baca lagi pada pautan di bawah.

Laman Facebook Polis Johor Meriah Angkara Kasut Nike Air Jordan x Dior RM34,000

Kasut Vans Tikar Mengkuang Edisi Khas Pa’din Musa Terjual Dengan Harga RM4,902

‘Sold Out’ Hari Pertama, Kasut Vans x Pa’din Musa Dijual Kembali 3 Kali Ganda Harga Asal