Ditulis Oleh:
Mas Jamian
Penolong Pegawai Antidadah
January 3, 2017 12:01 PM

Kita tahu masalah dadah ini parah. Sudah lama kerajaan berjuang menanganinya. Kalau ada penagih dadah berdekatan kita, atau dalam keluarga, banyak kepayahan yang ditanggung.

Baru-baru ini dilaporkan, ganja sudah dijual semurah RM2.00. Ada kes pula pelajar sekolah dijadikan agen menjual ATS (Amphetamine Type Stimulants), kategori dadah yang boleh ‘memerengkan’ akal dalam masa 3 bulan.

Apapun sepanjang lebih kurang 12 tahun terlibat dengan program pemulihan penagih dadah ini, ada banyak perkara yang ingin saya dikongsi dengan pembaca.

Apa itu abstinen? Ia adalah istilah kepada keadaan di mana seseorang penagih dadah itu kekal tidak mengambil dadah dalam tempoh tertentu. Abstinen ini proses ke arah kepulihan yang total.

1. Tangkapan Dan Pengawasan Pihak Berkuasa

Benar bahawa seseorang penagih dadah itu sukar untuk pulih. Apa pun itu bergantung kepada banyak faktor. Apa yang saya percaya melalui akuan mereka (yang berjaya abstinen dalam tempoh yang panjang).

Mereka menyatakan jika suatu ketika dahulu mereka tidak ditangkap oleh pihak berkuasa, keadaan mereka menjadi lebih buruk. Melainkan mereka yang suka rela memulihkan diri (jumlahnya sedikit).

2. Program Pemulihan Dalam Institusi

Ramai dalam kalangan mereka yang mampu bertahan dalam kepulihan pada peringkat awalnya telah mengikuti pemulihan sama ada di pusat pemulihan kerajaan atau persendirian.

Walaupun ramai dalam kalangan penagih dadah itu kerap keluar masuk penjara/pusat pemulihan, ia lebih baik berbanding jika mereka terus menerus di lorong gelap. Suatu waktu, akan ada titik perubahan pada diri mereka.

3. Keazaman Dan Nawaitu Yang Betul

Mereka juga mengaku, seringkali gagal mengawal nafsu untuk menagih kembali kerana niat untuk berhenti menagih tidak solid. Apabila niat diluruskan kepada niat yang bersifat kudus (kerana Allah), mereka lebih kuat menghadapi godaan tokan-tokan dan pusher.

Mereka faham bahawa wajib berhenti menagih dadah kerana ia satu maksiat, ia perlanggaran hukum Allah, ia satu dosa, maka dia akan bertaubat nasuha. Jika berhenti sementara hanya kerana takut pada hukuman sahaja, alamatnya ‘pi mai pi mai tang tu’ lah.

4. Amalan Peribadi (Fardhiyah) Yang Konsisten

Mungkin ini bersifat ritual. Misalnya solat 5 waktu, zikir, atau membaca al-Quran. Namun amalan-amalan ini diakui oleh mereka sebagai satu benteng kukuh daripada gejala negatif. Kan Allah dah kata solat itu mampu mencegah seseorang daripada kemungkaran.

Inilah antara amalan yang ditekankan di dalam CCRC (Cure And Care Rehabilitation Centre – dulunya ‘Pusat Serenti) mahupun pusat pemulihan swasta muslim yang lain. Soalnya adakah mereka meneruskan amalan-amalan ini setelah dibebaskan?

5. Kerjaya Yang Terjamin

Jika seseorang penagih yang telah dibebaskan dari pusat pemulihan mempunyai pekerjaan yang baik, risiko untuk ia kembali ke sarang (port) penagihan adalah rendah. Jika mereka sukar mendapat pekerjaan atau diterima bekerja, mereka begitu tertekan. Terlalu lama menganggur menjadikan mereka lebih mudah menagih semula.

Bekerja bermaksud salah satu fungsi sosial mereka kembali normal. Oleh sebab itu sebahagian daripada mereka dilatih dengan kemahiran tertentu di dalam pusat pemulihan sebagai bekalan kepada mereka apabila dibebaskan nanti.

6. Sokongan Kelompok Sokongan Sosial (KSS)

Kelompok Sokongan Sosial (KSS) ini telah lama wujud di seluruh dunia. Antaranya adalah yang dinamakan Narcotics Anonymous (NA). Di Malaysia wujud NGO seperti PENGASIH, Drugs Intervention Community (DIC), Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) AADK, Rumah Hijrah, Sinar Sofia, dan banyak lagi.

Kumpulan NGO seperti ini aktif melakukan aktiviti sesama mereka seperti kaunseling kelompok, intervensi HIV/AIDS dan sebagainya. Seseorang yang menganggotai kumpulan ini dan bergiat aktif di dalamnya dikenal pasti mempunyai rekod kepulihan yang lebih baik.

Meski pun mereka kadangkala ‘jatuh’ (relapse), namun ia cepat bangkit semula. Pakar-pakar memang bersetuju bahawa penagihan semula itu suatu proses yang biasa kepada seseorang ‘mat gian’. Yang berbeza adalah bagaimana mereka menanganinya. Lebih cepat dan kekal lama adalah lebih baik.

7. Turning Point

Setiap manusia unik. Begitulah jalan untuk manusia berubah juga tidak sama. Berdasarkan perkongsian-perkongsian yang saya terima, peristiwa tertentu kadangkala menjadi asbab seseorang penagih itu berhenti terus daripada penagihannya.

Seorang penagih mengalami kemalangan parah kerana memandu dalam kegianan. Ia serik dan insaf amat sangat. Seorang tahanan di pusat serenti kematian anaknya ketika ia di situ. Ia tidak dapat berada di sisi anaknya ketika ia meninggal. Kekesalan begitu mendalam sekali.

Seorang pengedar dan penagih tegar masih khayal ketika ayahnya menghembuskan nafas terakhir. Lantaran itu ia membuang segala jarum suntikan dan segala peralatan menagihnya sambil meraung. Itu menjadi titik besar dalam hidupnya – sejak itu ia membuang dadah jauh dari hidupnya.

8. Sokongan Keluarga atau Insan Terdekat

Isteri, ayah, ibu atau seorang abang mampu menyumbang kepada perubahan seorang penagih. Percayalah, di belakang kejayaan seorang bekas pengguna atau penagih dadah, ada seorang insan yang amat dekat di hati mereka. Setidak-tidaknya seorang pegawai pemulihan atau anggota polis (jangan tak percaya).

Jadi usah perkecilkan peranan ahli keluarga. Memang amat berat menangani mereka, tetapi anggaplah itu ujian Allah. Sekurang-kurangnya dengan doa setiap kali selepas solat, mungkin Dia mendengar dan memudahkan perubahan itu. People change.

Di sini, bukanlah maksud saya bahawa oleh kerana ketagihan dadah itu boleh dirawat-pulih, maka anda wajar mencuba dadah. Jangan sesekali cuba heroin, syabu, ganja, pil kuda dan sebagainya. Saya kata jangan sesekali. Kerana anda takkan dapat membayangkan kesengsaraannya.

Artikel di atas disumbangkan oleh Mas Jamian. Penolong Pegawai Antidadah. Boleh ikuti beliau di sini.

Artikel Berkaitan