Tip ini dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook bernama Azwan Fadhli Muhamad. Tip ini beliau amalkan dalam mendidik anak perempuan beliau untuk konsisten bertudung. Semoga tip ini bermanfaat dan membantu anak kecil anda bertudung. Kami kongsikan disini dengan izin daripada penulis.

1. Ibu Jadi Contoh Tauladan

Ibu mestilah menjadi contoh terbaik untuk anak. Ingat, jaga penampilan ibu supaya menutup aurat dan bertudung dengan sempurna.

2. Belikan Anak Tudung

Belikan tudung yang cantik dengan warna-warna yang menarik. Berikan mereka pilihan yang pelbagai. Jangan terlalu berkira. Buat mereka gemberi. Pasti mereka dengan senang hati akan bertudung.

3. Anak Tahu Keperluan Bertudung

Ibu ayah perlu memainkan peranan yang penting menerangkan kewajipan menutup aurat dan bertudung. Terangkan secara santai dengan bahasa yang mudah. Mula-mula anak anda akan tidak berapa faham, Inshaa Allah dengan usaha berterusan dia akan mengerti.

4. Jangan Paksa Anak

Perlu ditekankan di sini, jangan sesekali memaksa anak bertudung. Kita mahu mereka rasa seronok bertudung. Apabila anak rimas atau berasa panas, tanggalkan sahaja tudungnya. Biar anak bertudung walaupun sekejap. Tidak mengapa jika mereka bertudung dalam 2 atau 3 minit sahaja. Lama-kelamaan anak akan terbiasa.

5. Istiqamah

Ibu hendaklah istiqamah (konsisten) dalam menggalakkan anak bertudung. Sentiasa ingatkan anak tentang tudungnya setiap kali hendak keluar rumah. Setiap kali keluar rumah bawakan bersama walaupun tidak memakainya. Biarkan walaupun sesekali mereka akan menanggalkannya. Setiap usaha kita pasti dinilai di sisi Allah.

6. Mulakan Seawal Usia

Anda boleh belikan tudung untuk anak seawal umurnya setahun. Pada usia begini, elakkan memakai tudung tidak perlu terlalu kerap, anak akan rimas. Jangan jadikan bertudung sebagai beban kepada anak.

7. Berikan Galakan dan Pujian

Ibu ayah perlu sentiasa memberi galakan kepada anak. Pujilah mereka setiap kali bertudung. Mereka pasti sukakannya.

8. Doa Kepada Allah

Akhir sekali sudah pasti, pergantungan kita kepada Allah itu sangat penting. Mohon pada Allah supaya mudahkan urusan kita dalam mendidik anak bertudung.