Selepas puas mencari rumah, anda dah jumpa projek kediaman ‘high rise’ yang kena jiwa dan sejuk poket anda. Sekarang bahagian yang paling penting, macam mana nak pilih unit yang terbaik?

Izinkan saya nak share 8 tip ‘sure win’ yang boleh anda pakai semasa nak buat pilihan sebelum membeli kediaman tinggi. Tip ini penting kerana benda yang anda nak beli ini bernilai lebih 5 angka. Harap ini dapat membantu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

1. Arah Matahari

sun-direction

Ini perkara paling asas. Kita perlu tahu, arah timur dan barat. Kalau boleh pilih unit yang menghadap utara atau selatan bagi mengelakkan unit kediaman dari menghadap matahari petang (barat) atau pagi (timur).

Rumah boleh panas macam oven nanti kalu kena direct sun. Kalau tak ada pilihan, pilih yang menghadap morning sun sebab biasanya ia tak sepanas sunset.

Jangan lupa tengok layout unit tu jika terpaksa menghadap matahari, elakkan dari direct hit ke ruang tamu atau bilik utama. Itu ruang paling kerap kita berada.

2. Bangunan Dan Pepasangan Sedia Ada

img_3643

Seboleh-bolehnya, pergi lawat site untuk dapatkan gambaran sebenar. Jangan percaya sangat pada Sales Advisor atau gambar di showroom. Nak kena tengok keadaan sekeliling.

Jangan bertentangan unit atau blok lain, nanti kurang privasi. Jika boleh elakkan menghadap jalan besar atau highway, nanti bising dan rumah cepat berhabuk.

Jangan terlalu dekat dengan sekolah, balai polis atau balai bomba (bingit), menghadap kubur atau hospital, bertentangan dengan rumah keagamaan seperti masjid, kuil atau gereja (takut ada yang terganggu) atau tapak pasar malam (bising dan kotor).

Pastikan tak menghadap tanah lapang sebab kita tak tahu apa projek yang bakal dibuat. Dan kalau terang-terang menghadap loji kumbahan atau tempat buang sampah, sila cari unit lain.

Ada juga sesetengah tempat ada High Tension Cable (HTC). Cari yang tak nampak HTC. Walaupun tak ada kajian yang sahkan HTC ini merbahaya, tapi persepsi orang kita tak boleh nak betulkan.

3. Pengudaraan

Kebiasaannya unit tinggi lebih baik pengudaraan berbanding unit yang rendah. Jika pilih yang rendah, elakkan menghadap tanah tinggi atau bukit atau pokok yang besar.

Cari yang facing keluar dan tak mengadap blok lain atau bangunan tinggi yang lain. Nanti pengudaraan tak berapa baik. Pandangan jadi sempit. Takut rasa lemas dan rimas apabila di dalam rumah.

Namun demikian, jika bangunan tinggi itu ialah KLCC, itu lain cerita.

4. Tempat Letak Kenderaan

Cari unit yang sediakan 2 parking lot. Zaman sekarang sekurang-kurangnya satu keluarga ada 2 kereta. Tapi jika hanya ada 1 parking lot, cari lot yang terbaik.

Minta dengan pemaju nombor lot unit nak dibeli. Berbumbung lagi bagus berbanding open space. Semak susunan lot tersebut. Biasanya unit tinggi dapat parking lot yang lebih dekat dengan lif.

Jika parking bertingkat, ia akan dapat tingkat yang paling bawah dan mudah nak masuk parking. Kalau terpaksa memilih, cuba cari lot yang selari dengan lif dan berbumbung. Kena pandai menilai secukup rasa.

5. Layout Unit

Pastikan kita tahu apa objektif kita memilih unit ini. Untuk duduk sendiri atau untuk tujuan pelaburan. Kebiasaannya ada beberapa pilihan layout seperti studio, 2 bilik atau 3 bilik.

Setiap layout berbeza pula susunan bilik tidur dan ruang tamu. Kena pilih yang dirasakan sesuai dan nampak lebih luas. Jika nak duduk sendiri, 3 bilik lebih afdal jika kita ada bajet yang lebih.

Jika nak disewakan, dual-key mungkin lebih berpotensi. Studio apartment pula sesuai untuk homestay.

6. Kedudukan Unit

Buat pilihan unit berdasarkan lokasi yang diberikan. Jika boleh jangan terlalu dekat atau menghadap terus dengan pintu lif. Nanti buka pintu lif, terus nampak dalam rumah. Tengah malam sunyi nanti, bunyi ‘ting’ pun boleh menggangu.

Hadapan lif biasanya lebih sibuk dengan orang lalu lalang dan ada isu keselamatan nanti. Tapi jangan pula terlalu jauh dari lif, nanti tak tahan nak kena menapak.

Jika boleh, cari corner lot atau unit hujung untuk lebih privasi dan lebih ruang. Nak buat majlis makan-makan nanti senang. Siap boleh jadikan extra stor (pandai-pandailah nak hidup).

Jika banyak beberapa blok, nak kena tengok mana kedudukan pintu masuk utama (guard house). Jika pilih blok yang dekat guard, rasa lebih selamat.

Jika kena park kereta di luar pun, tak ada lah penat nak berjalan apabila rumah dekat dengan pintu utama. Jika nak privasi, boleh pilih blok yang jauh ke belakang.

Jika projek itu ada sediakan tempat pembuangan sampah setiap tingkat, sila pastikan unit yang dipilih tidak terlalu berdekatan. Nanti hari-hari kita duk hidu bau busuk.

7. Kolam Renang

pool

Ada baik buruk memilih unit mengadap kolam renang. Jika projek sederhana atau mewah, menghadap unit menghadap pool biasanya lebih mahal. Nampak ekslusif. Orang cina pun suka unit sebegini kerana feng-shiu yang dikaitkan dengan ‘ong’.

Jika plan nak buat homestay, unit boleh nampak pool memang lagi bagus. Tapi ada juga keburukan jika terlalu dekat dengan pool, suasana menjadi agak bising bila ada orang mandi-manda, jadi kuranglah privasi.

Kebiasaannya, dekat pool ada dewan serbaguna atau BBQ pit. Jadi kenalah bersedia untuk menerima kejutan di hujung minggu atau hari keraian.

8. Pilihan Unit Fully Furnished

Ada antara pemaju yang menawarkan pakej fully furnished atau kosong. Kita kena bersedia untuk membuat kira-kira. Bandingkan harga jika kita sendiri yang kena sediakan kelengkapan rumah tersebut.

Berbaloi atau tidak untuk memilih pakej yang disediakan dengan perbezaan harga yang diberikan. Jangan dok terleka tengok show house yang dihias cantik. Takut lain yang diharapkan, lain pula yang kita dapat.

Akhir sekali, setiap unit yang berbeza, aras berbeza, kemudahan dan layout berbeza, pasti berbeza harganya. Yang penting kita kena tahu apa yang kita inginkan. Setiap dari kita mempunyai selera yang berbeza.

Persoalannya, mampukah kita bayar lebih untuk pilihan yang lebih baik? Tepuk poket tanya dompet. Tepuk dada tanya selera.

Apa yang pasti sekurang-kurangnya, dengan menggunapakai 8 tips di atas, kita mungkin boleh mengurangkan kesilapan dalam memilih unit.