Sehingga hari ini ramai masih bermain dengan teka-teki bagaimana bentuk pemerintahan di bawah pimpinan Trump terutama dasar luar Amerika. Trump merupakan ahli perniagaan yang terjun ke bidang politik dan terus dipilih menjadi presiden.

Maka masih tiada rekod politik atau dalam bahasa mudah dalam politik Trump masih tidak matang berbanding Clinton, dan Sanders yang mudah untuk kita semak keputusan-keputusan politik mereka.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Apa yang dicakap oleh penganalisis politik satu dunia hari ini tentang Trump hanyalah berdasarkan menifesto, ucapan, status Twitter dan beberapa tindakan yang telah berlaku seminggu selepas Trump masuk ke rumah putih.

Apa dasar-dasar luar atau tindakan yang telah dilakukan oleh Trump semenjak masuk ke rumah putih yang anda patut tahu?

1. Memecat Diplomat

Sehingga waktu ini Trump telah memecat 80 pegawai diplomat Amerika di seluruh dunia. Walaupun sudah menjadi kebiasaan apabila perlantikan presiden baru, pegawai-pegawai lantikan presiden lama akan meletak jawatan. Namun keadaan berbeza apabila mereka berundur daripada kerusi diplomat itu kerana dipecat akibat penukaran presiden negara.

2. Keluar Daripada TPPA

Trump ialah antara pengkritik hebat TPPA sebelum ini. Jadi, antara manifesto utama sejurus dilantik menjadi presiden ialah TPPA. Perjanjian ini melibatkan 12 negara yang memegang 40% ekonomi dunia.

Trump melihat TPPA tidak akan memberi keuntungan untuk pekerja di Amerika kerana perjanjian ini akan menyebabkan syarikat-syarikat milik Amerika akan memilih membuka kilang mereka di luar negara berbanding di Amerika. Maka, peluang pekerjaan untuk pekerja di Amerika terhad.

3. Menghentikan Pemberian Visa

Trump telah mengeluarkan arahan untuk menghentikan pemberian visa sekurang-kurangnya 90 hari buat 7 buah negara Islam yang dianggap bermasalah oleh Trump.

Negara tersebut ialah Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yemen. Tindakan ini dilihat cuba memberi tekanan terutama kepada Iran kerana hanya Iran yang tidak mempunyai konflik politik atau peperangan saudara namun tetap dianggap sebagai bermasalah.

Ramai penganalisis menyatakan ini berpunca kritikan-kritikan Trump dalam perjanjian nuklear di antara Amerika-Iran. Trump berjanji untuk menyemak dan menghentikan cubaan Iran mengembangkan teknologi uranium mereka.

Namun kenyataan rasmi oleh menteri Iran baru-baru ini telah menafikannya dengan mendakwa Amerika tidak boleh membatalkan perjanjian ini kerana ia membabitkan negara-negara kuasa besar lain dalam PBB.

4. Membina Tembok Sempadan Amerika-Mexico

Ini merupakan janji menifesto Trump yang paling kontroversi. Trump cuba menyekat pendatang tanpa izin/pelarian dari Mexico kerana dia percaya orang Mexico pembawa masalah kepada penduduk Amerika yang melibatkan jenayah, dadah, senjata api dan lain-lain lagi.

Trump telah mengarahkan proses pembinaan tembok ini dimulakan. Namun ia masih menjadi tanda tanya dari sumber mana dana digunakan untuk membina tembok ini.

Mexico telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak akan mengeluarkan belanja walaupun satu sen duit untuk membantu Amerika dalam projek ini.

5. Mengetatkan Pengambilan Pelarian Perang

Ini merupakan keputusan terbaru yang dilakukan oleh Trump dan mendapat bantahan besar terutama daripada negara-negara Islam dan pejuang hak asasi manusia selepas menghentikan sementara pemberian Visa kepada 7 buah negara.

Trump mengarahkan pengambilan mangsa perang Syria hanya diutamakan kepada penduduk Syria beragama Kristian sahaja. Bagi Trump pengambilan pelarian perang bukan cara untuk menyelesaikan masalah. Tumpuan Trump adalah untuk menghapuskan pengganas IS terutama di Syria dan mengembalikan keamanan di timur tengah.

Dia juga bersedia bekerjasama dengan musuh tradisi Amerika, iaitu Rusia untuk membasmi pengganas IS. Tindakan ini telah mendapat bantahan kerana beliau telah menafikan hak kebebasan beragama yang diiktiraf dalam perlembagaan Amerika.

6. Menghentikan Obamacare

Buat masa ini Trumps telah menandatangani arahan untuk persediaan memansuhkan Obamacare. Ini merupakan salah satu menifesto yang digunakan oleh beliau ketika berkempen.

Obamacare merupakan insurans perubatan mampu milik dan melindungi penduduk Amerika daripada ditindas oleh syarikat-syarikat insurans. Namun terdapat beberapa kelemahan bagi menjayakannya apabila kerajaan terpaksa menaikkan beberapa cukai untuk menampung insurans ini.

Selain itu akan didenda jika tidak memiliki insurans kesihatan dan ia tidak pro kepada majikan menyebabkan orang bisnes mula lari membuka kilang di luar Amerika.

Sehingga kini, kita masih tidak tahu bentuk polisi perubatan yang bakal digantikan oleh Trump bagi menyelesaikan masalah-masalah ini.

7. Menghentikan Pemberian Dana

Trump telah menghentikan pemberian dana kepada pertubuhan antarabangsa yang menyokong prinsip dalam perancangan keluarga (family planning).

Dia mengantikannya kepada dasar lama parti Republican yang dikenali sebagai “global gag rule” dimana dasar ini lebih menyokong kepada konsep ‘Pro Life’ dan menentang kepada langkah pengguguran anak.

8. Mengerakkan Semula Rancangan Saluran Paip Minyak

Dua projek saluran paip minyak telah dihentikan oleh Obama iaitu Dakota Access dan Keystone XL disebabkan kontroversi penentangan besar besaran terutama daripada masyarakat pribumi dan aktivis alam sekitar. Trump yang mengkritik hebat tindakan Obama ini telah mengarahkan projek ini diteruskan.

9. Mengembangkan Ketenteraan

Trump telah menandatangani satu arahan untuk menambah dana bagi meningkatkan kekuatan ketenteraan Amerika. Dana ini termasuk menyediakan pesawat dan kapal bersama sumber dan peralatan baru kepada pegawai ketenteraan beruniform. Dengan penambahan aset ketenteraan ini, maka tiada siapa lagi akan mempertikaikan kekuatan ketenteraan Amerika.

Namun ada penganalisis menyatakan keputusan ini merupakan satu keputusan yang paling tidak popular dilakukan oleh Trump kerana ramai rakyat Amerika hari ini tidak menyokong sebarang tindakan ketenteraan terutama di negara-negara Timur Tengah.

Kita boleh lihat diantara faktor Obama menang pilihanraya dulu sebab dia berjanji untuk menarik keluar tentera-tentera Amerika terutama di Iraq dan Afghanistan.

Seminggu sehaja Trump memasuki rumah putih telah banyak perubahan dilakukan olehnya. Kita boleh lihat segala tindakannya lebih mengutamakan kepentingan penduduk Amerika. Ini menunjukkan Trump membawa Amerika menjadi lebih eksklusif selari dengan slogan “Make America Great Again”.