Apabila mahu berbisnes untuk menjadi kaya raya dan kekayaan itu dapat diwariskan, kita perlu ada syarikat dan ilmu mengembangkan syarikat (company building).

Syarikat adalah ‘kenderaan’ yang dicipta bagi membangunkan kekayaan zaman moden. Perlu diingatkan, enterprise bukan syarikat kerana ia tidak didaftarkan dalam Akta Syarikat 1965.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Ilmu persyarikatan adalah ilmu asas company building yang wajib kita tahu. Mustahil menjadi kaya raya tanpa kedua-dua perkara ini.

Kenapa Bersyarikat Dapat Bangunkan Kekayaan?

1. Hutang peribadi dan hutang bisnes dipisahkan

Pembekal-pembekal tidak dapat menuntut harta peribadi kita jika syarikat tidak mampu membayar hutang-hutang mereka. Ini kerana yang berhutang itu adalah syarikat bukan diri kita.

Apabila dua hutang ini dipisahkan, maka terselamatlah harta peribadi kita dari terbeban dengan risiko hutang yang besar. Perkara ini tidak berlaku dalam berniaga tanpa syarikat atau berniaga dengan enterperise.

Namun, kita perlu hati-hati apabila berdepan dengan pinjaman bank. Bank akan meminta kita menjadi penjamin kepada hutang syarikat. Dalam hal ini, hutang syarikat akan menjadi seperti hutang peribadi. Jika syarikat tidak mampu bayar pinjaman bank, maka kitalah yang akan dikejar bank.

Sebelum ini, freelancer berhadapan risiko hutang bisnes menjadi hutang peribadi kerana mereka berhutang dan menerima bayaran menggunakan lesen enterprise sahaja. Namun, Akta Syarikat 2016 (baru) ini membolehkan 1 orang pengarah mendaftarkan syarikat Sendirian Berhad (Sdn Bhd) tanpa rakan kongsi. Ini bermakna mereka boleh mendaftar syarikat seorang diri.

2. Hutang rakan kongsi ialah hutang syarikat

Apabila rakan kongsi kita berhutang bagi pihak syarikat, ia kekal sebagai hutang syarikat. Hutang itu tidak sama sekali berkait dengan peribadi kita.

Tapi ini tidak terjadi dalam enterprise, iaitu hutang rakan kongsi itu menjadi hutang pmilik bersama. Ini amat merbahaya dan berisiko kepada harta kekayaan kita. Jika kita tidak mampu bayar hutang-hutang ini maka tergadailah harta-harta peribadi.

3. Bank tawarkan fasiliti kemudahan

Adakah bagus jika kita mempunyai RM1juta dalam akaun tapi segala perbelanjaan syarikat tidak sentuh duit itu? Dan perbelanjaan syarikat ini dibayar secara ansuran kepada bank.

Kemudahan seperti ini meringankan bebanan aliran tunai syarikat .Fasiliti kemudahan ini disediakan oleh bank khusus kepada mereka yang bersyarikat dan mempunyai laporan kewangan beraudit yang kukuh sahaja.

4. Pembekal berani beri kredit

Kebanyakkan bisnes memerlukan pembelian bahan mentah secara kredit supaya terjaga aliran tunai mereka. Bayangkan, RM100 ribu ringgit perlu dibelanjakan dalam satu masa untuk membeli bahan mentah dan ini sangat menyakitkan aliran tunai.

Berbeza apabila jumlah ini perlu dibayar secara ansuran selama 12 bulan dan dibayar dari duit untung bisnes, bukan dari duit modal. Baki wang selebihnya dapat diguna untuk tanggung pelbagai kos bisnes yang lain.

5. Dokongan orang luar

Akan tiba satu masa, “OK, bisnes kita sudah sedia berkembang tapi modal tak cukup. Nak mohon pinjaman bank ke?”

Apabila kita bersyarikat, kita mempunyai pelbagai cara bagi dapatkan suntikan modal tambahan. Tidaklah perlu kita bergantung kepada pinjaman bank sahaja.

Kita boleh dapatkan modal tambahan dari jualan saham syarikat kepada para pelabur. Dengan cara ini, sudah selamat dari terbeban dengan interest pinjaman bank. Bila ada untung sahaja baru kita bayar dividen kepada pemegang saham syarikat.

6. Cukai lebih rendah

Dengan pendapatan RM1 juta setahun, enterprise perlu bayar cukai RM23 ribu ringgit lebih banyak berbanding Sdn Bhd dan PLT. Jumlah ini sangat besar dan ditambah lagi enterprise tidak ada pengecualian cukai seperti Sdn Bhd dan PLT.

Apabila kita bersyarikat, RM23 ribu ini dapat diselamatkan.

7. Pengecualian cukai

Bersyarikat bukan sahaja menawarkan cukai yang lebih rendah, malah kita dapat pengecualian cukai bagi perkara-perkara tertentu. 6 perkara di atas semuanya berkaitan melindungi harta peribadi dan menyelamatkan aliran tunai supaya bisnes kita dapat berkembang dengan lebih mudah.

Pengecualian cukai inilah yang paling penting dalam membina kekayaan. Orang kaya tidak membeli atas nama mereka sendiri. Mereka membeli atas nama syarikat supaya mereka dapat kelepasan cukai.

Beli rumah, kereta mewah, pakaian, bercuti, alat-alat bekerja seperti handphone dan laptop, dan lain-lain lagi dibeli melalui syarikat.

Inilah rahsia bagaimana orang kaya boleh selalu bertukar ganti kereta mewah mereka dan inilah yang membantu mereka memiliki begitu banyak aset.

Lebih besar pendapatan syarikat, maka lebih banyak perkara yang boleh kita beli melalui syarikat. Itulah penting penjagaan 6 perkara di atas supaya pendapatan syarikat dapat ditingkatkan.

8. Syarikat jadi warisan keluarga

Satu perkara penting, bersyarikat membolehkan kita mewariskan kekayaan ini kepada ahli keluarga kita. Kita meninggalkan legasi yang membolehkan mereka hidup dengan lebih baik. Ini merupakan misi jangka masa panjang kita dalam membantu generasi seterusnya.

9. Pikul tanggungjawab bersyarikat

Apabila kita mahu mendaftar Sdn Bhd seorang diri, ada 2 perkara yang perlu diambil perhatian. Pertama, kita perlu menamakan pengganti kita dari awal sewaktu penubuhan syarikat supaya syarikat ini dapat diteruskan walaupun kita telah meninggal dunia.

Apabila kita seorang sahaja pengarah syarikat itu, syarikat berisiko ditutup oleh SSM sekiranya tiada pengganti dilantik dalam tempoh 6 bulan selepas kematian kita. Jika itu berlaku, tamatlah misi mewariskan legasi kepada ahli keluarga kita.

Kedua, kes ini begitu banyak berlaku dalam kalangan usahawan baru dan lama. Ramai usahawan yang mahu mendaftar dan menjalankan syarikat sendiri tanpa bantuan business services.

Kerapkali mereka tidak maklum akan akta-akta yang perlu mereka patuhi. Lalu, mereka kerap lakukan kesalahan sehingga dikenakan kompaun.

Jika kompaun Akta Syarikat 1965 masih tidak mengapa kerana kompaunnya tidak begitu mahal. Kompaun bagi kesalahan syarikat Sdn Bhd tidak hantar laporan kewangan beraudit hanya RM5,000 bagi setiap tahun yang tidak dihantar.

Namun, semenjak implementasi Akta Syarikat 2016 terbaru ini, kesalahan yang serupa dikenakan kompaun sebanyak RM30,000 bagi setiap tahun yang tidak dihantar. Kompaun ini adalah 6 kali ganda lebih tinggi berbanding kompaun akta yang sebelumnya.

Jika syarikat XYZ Sdn Bhd tidak hantar laporan kewangan beraudit selama 10 tahun, maka kompaun yang perlu dijelaskan adalah sebanyak RM30,000 x 10 tahun = RM300,000.