Aktiviti ziarah-menziarahi tidak hanya terhad pada hari raya sahaja. Waktu inilah kita berpeluang mengeratkan silaturrahim dan bertanya khabar sesama saudara-mara.

Bagi keluarga yang ada anak kecil, agak mencabar juga nak handle anak sama ada dalam perjalanan jauh ataupun semasa berada di rumah orang. Namun jika ibu bapa peka dan sensitif, insya Allah semuanya akan OK dan anak pun seronok dapat jalan-jalan bersama.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Walau bagaimanapun, langit tak sentiasa cerah. Kadang-kadang ada juga kejadian yang tak dijangka. Anak mengamuk dan meragam. Jadi beberapa tip ini boleh digunakan untuk menjadikan ziarah anda kurang stres dan anak pun gembira.

1. Siapkan Barang Penting Keperluan Anak

Antara yang paling penting adalah minyak panas dan tisu basah, ia mesti ada dalam beg anak. Anak yang berusia bawah 2 tahun kadang kala ada masalah masuk angin, kembung dan rasa tak selesa. Maklumlah kita keluar dari pagi sampai ke malam berziarah dari rumah ke rumah.

Tisu basah yang ada antiseptik atau/dan pewangi boleh digunakan untuk memastikan kebersihan dan keharuman anak terutama selepas anak makan, main, muntah atau apa-apa yang comot. Selain itu, antara barang penting yang lain ialah tuala kecil atau napkin, kipas mudah alih yang menggunakan kuasa bateri serta ubat-ubatan kalau perlu.

2. Pakaikan Anak Pakaian Yang Selesa

Kita sudah tahu sekeluarga akan berjalan jauh, singgah banyak tempat dan sebagainya. Jadi pastikan anak pakai pakaian yang selesa. Pilih kain jenis yang serap peluh, sedikit longgar, dan ringkas. Elak aksesori berlebihan atau baju yang buat anak berpeluh. Kalau anak tak selesa, nanti dia akan meragam.

3. Sentiasa Standby Baju Spare

Besar kemungkinan baju anak boleh kena tumpahan makanan atau minuman, terutama anak yang dah mula pandai makan sendiri. Tak termasuk lagi kalau anak muntah atau lampin bocor. Memang perlu standby 2 ke 3 pasang baju spare. Sediakan juga beg plastik untuk isi pakaian kotor tadi.

4. Bawa Air Masak Dan Biskut/Roti

Anak aktif dan cuaca pula panas membuatkan anak cepat dahaga. Jadi, sentiasa bawa bekalan air masak untuk elak anak dehidrasi. Boleh juga siapkan bekalan makanan ringkas seperti biskut atau roti untuk lapik perut, terutama jika berada dalam perjalanan jauh. Bekalan makanan dan minuman ini dapat minimakan anak meragam.

5. Bantal Kecil

Untuk anak selesa tidur atau berehat, sediakan bantal terutama yang digemari anak. Dengan adanya bantal, kepala anak tak akan terhantuk ke pintu atau cermin tingkap kereta semasa tidur. Tapi tak perlu bawa banyak bantal atau bersaiz besar, nanti nampak serabut dan timbul rasa rimas pula. Ia hanya sekadar melapik kepala untuk anak lebih selesa.

6. Alat Mainan Dan Busy Book

Anda boleh bawa beberapa mainan anak, terutama yang digemari anak. Ia boleh jadikan anak leka dan tak meragam dalam kereta. Kalau di rumah orang, anda juga boleh lekakan dia dengan alat mainan yang dibawa.

Kadang-kadang dengan ada alat mainan, anak akan rasa lebih secure dan terkawal sikit. Kalau ada busy book atau busy box pun OK juga. Sekurang-kurangnya boleh hilangkan jemu anak kena duduk lama dalam kereta.

7. Maklum Awal Perancangan Destinasi

Anda perlu tahu nak ke mana, rumah siapa dan apa yang kena buat jika sudah sampai ke rumah orang. Ini penting lebih-lebih lagi jika sedia maklum anak memang aktif, kuat explore, suka cuba benda baru atau teruja berada di tempat yang dia jarang pergi.

Maklumkan dan terangkan lebih awal kepada anak tentang destinasi yang dituju. Contohnya: “Kita akan ziarah ke rumah datuk. Di situ ada tangga tinggi, Abang tak boleh main tangga sebab bahaya, nanti jatuh sakit.”

Terangkan juga kepada anak jika mahu makan atau minum, minta pada anda. Jangan terus pergi ambil sendiri. Cara macam ini juga digunakan untuk ajar anak beradab semasa di rumah orang.

8. Kenal Pasti Dan Fahami Tantrum Anak

Bagi anak yang berusia 2 tahun, biasa ibu bapa berhadapan masalah anak tantrum atau mengamuk. Anak jadi begitu sama ada sebab terlalu lapar atau mengantuk. Jadi ibu bapa boleh kenal pasti dan selesaikan sebelum anak mengamuk lebih teruk.

Elak marah-marah anak di rumah orang secara berlebihan. Peluk atau dukung anak untuk menenangkannya. Tawarkan makanan atau minuman kalau dia lapar atau dahaga, atau tidurkannya jika dia penat atau mengantuk.

9. Beri Perhatian

Meskipun anda ke rumah untuk bersosial, pastikan anda turut beri perhatian pada anak agar dia tidak rasa terabai. Jika tuan rumah ada anak kecil dan anda melayani anak kecil itu, ada kemungkinan anak anda akan berasa cemburu dan mula meragam untuk dapatkan perhatian anda juga.

Pendek kata, anda perlu tahu siapa anak anda dan apa yang dia gemari dan tidak suka agar anda boleh lakukan persiapan awal untuk menghadapi segala kemungkinan kelakuan anak di rumah orang.