Filem seram tanah air ‘913 The Returning’ sudah menemui peminat di seluruh pawagam sejak ditayangkan pada 21 September lepas. 913 The Returning, filem arahan David Thian dengan kerjasama terbitan DAA Produtions seolah memutarkan semula tragedi berdarah yang pernah berlaku di Parit Buntar sekitar 45 tahun dahulu. Pernah dengar kisah feri yang bawa bas sekolah di Sungai Kerian karam sehingga mengorbankan seramai 27 nyawa? Biarkan filem ini ceritakan semula.

1

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Diadaptasi dari kisah benar

Uniknya, filem 913 The Returning ini diadaptasi dari kisah benar yang berlaku pada 13 September 1972. Ceritanya, dahulu Bandar Baharu, Kedah dan Parit Buntar, Perak dipisahkan oleh Sungai Kerian. 45 Tahun yang lalu, satu-satunya cara untuk menghubungkan dua pekan kecil ini adalah melalui feri.

Namun, feri yang dimaksudkan ini adalah feri jenis tarik yang menggunakan sistem pulley. Untuk beroperasi, ia menggunakan tenaga bot kecil yang ditunda dari belakang dan mengambil masa selama 20 minit untuk menyeberangi Sungai Kerian, iaitu kira-kira 100 meter jarak perjalanan.

Dengan hanya berpahatkan kabel yang direnggang dari hujung ke hujung, feri ini terpaksa menampung pelbagai muatan dan kadang-kala berlebihan. Selain pejalan kaki, feri ini turut menampung lori minyak, lori ikan, lori balak, kereta, motosikal termasuk bas sekolah. Senang kata, feri ini terpaksa bawa bermacam jenis pengangkutan ke seberang.

Peristiwa Hitam

2

13 September 1972 tercatatnya sebagai satu peristiwa hitam dalam sejarah. Tragedi ini berlaku sekitar jam 7 pagi, hari itu dikatakan cuaca tidak baik. Hujan turun dengan lebat menyebabkan arus sungai bergerak laju. Ketika feri sedang merentasi sungai dari arah Bandar Baharu, salah satu daripada kabel  feri tersebut putus dihentam oleh arus sungai. Waktu itu, feri mula tenggelam sedikit demi sedikit dan akhirnya tenggelam bersama bas sekolah yang dibawanya.

Kejadian ini memakan nyawa seramai 27 orang termasuk 25 orang pelajar. 17 di antaranya adalah pelajar dari Sekolah Rendah Methodist Parit Buntar dan selebihnya adalah pelajar dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Cina) Kerian.

Semenjak peristiwa itu, banyak cerita-cerita seram tentang Sungai Kerian. Sebahagian penduduk tempatan menggelar Sungai Kerian sebagai Lubuk Puaka yang sering dahagakan nyawa. Seolah satu sumpahan, setiap tahun pasti akan ada nyawa yang akan menjadi korban Sungai Kerian. Satu misteri yang menimbulkan pelbagai persoalan, jika anda juga mempunyai pertanyaan yang sama, mungkin 913 The Returning ini ada jawapannya.