Kira-kira 97 peratus pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia 55 tahun dan ke bawah tidak mempunyai paras simpanan ideal sebanyak RM600,000 untuk bersara dengan selesa di bandar utama, lapor Berita Harian.

Menurut data terkini KWSP, hanya sebilangan kecil, iaitu 2.6 peratus atau 350,000 pencarum daripada 13.1 juta pencarum berusia 55 tahun dan ke bawah mencapai paras kecukupan simpanan atau paras ideal itu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Anggaran simpanan persaraan ideal RM600,000 itu dikeluarkan oleh KWSP bagi membolehkan seseorang pencarum bujang menampung kehidupan untuk tempoh 20 tahun selepas bersara, iaitu kira-kira RM2,500 sebulan.

Jumlah itu juga sejajar dengan jangkaan tempoh purata jangka hayat di negara ini yang sudah mencecah 80 tahun.

Ketika ini, jumlah ahli KWSP di bawah usia 55 tahun ialah kira-kira 13.1 juta, sementara jumlah keseluruhan ahli adalah 15.7 juta.

Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein | Sumber Gambar: Berita Harian

Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein, berkata paras RM600,000 dilihat sebagai paras ideal bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar utama seperti Kuala Lumpur bagi membiayai kehidupan selepas bersara.

Bagi mereka yang tinggal di luar Lembah Klang seperti di Alor Setar, jumlah simpanan persaraan ideal ialah kira-kira RM500,000.

“Berdasarkan angka kami, kalau bersara atas duit simpanan persaraan, paras ideal ialah RM600,000,” katanya kepada Berita Harian.

Mengenai paras gaji pencarum KWSP ketika ini, Nurhisham berkata, berdasarkan perangkaan dalaman KWSP, gaji penengah pencarum yang aktif pada masa ini dilihat sudah meningkat berbanding paras sebelum COVID-19.

Sumber