Bila membaca nukilan ini, tanpa sedar hati menjadi sebak. Allahumma. Adakala saya juga begini, tanpa sedar memberi penilaian buruk kepada anak sedangkan hakikatnya anak adalah umpama kain putih yang sedang dicorakkan oleh iibu bapa mereka.

Kerana sedar impaknya kepada diri ini, tanpa membuang masa saya meminta izin daripada penulis asal – Saudara Ammar Muhamad untuk dikongsikan semula kisah ini di Vocket.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Semoga ia turut memberi impak positif kepada anda yang membaca kisah ini.

Abah Silap – Sangka Buruk Pada Anak

Malam itu, merdu sungguh bacaan imam di Masjid Putra. Alunan surah dibaca imam mendetikkan hati, ‘bacalah lagi, bacalah lagi.’ Perasaan tidak puas apabila imam telah mengangkat takbir untuk rukuk.

Jarang dapat mendengar bacaan semerdu itu. Selepas salam diberi, imam berzikir pendek dan terus mengangkat tangan berdoa.

“Angkat tangan betul-betul Iman. Doa sungguh-sungguh.” Menolak siku Iman ke atas yang melondeh ke peha.

Tamat doa. Cuit Iman, “Bangun solat.”

“Solat apa lagi abah?”

“Solat sunat rawatib.”

“Kenapa kena solat sunat rawatib?” mendongak memandang abah meminta penjelasan tambahan.

“Waktu solat sahaja kita betul-betul dekat dengan Allah. Lebih banyak kita solat, lebih dekat kita dengan Allah. Iman suka tak kalau dekat dengan Allah?”

Hanya mengangguk. Ikut solat.

iman-3

Esok.

Masih dapat berjemaah di Masjid Putra. Semalam, Iman dapat solat di sebelah abah. Tetapi hari ini, Iman terpaksa solat di saf belakang bersama kanak-kanak lain. Jemaah luar biasa ramai kerana ada pengajian.

Solat di masjid besar, bimbang dia merayau selepas solat. Pesan berkali-kali, “Iman tunggu di sini tau. Jangan ke mana-mana. Abah cari Iman nanti.”

Habis salam ke kiri, abah mengengsot ke belakang dari saf untuk menjenguk Iman. Dia tiada di saf tadi.

“Ah, kemana pula budak ni. Dah pesan tadi. Agak dah, mesti tak dengar cakap.”

Hati menggerutu kegelisahan. Dari ekor mata sebelah kanan, seolah-olah ditarik-tarik untuk menoleh sedikit jauh dari saf tadi.

“Allah…”, hanya itu yang mampu diucapkan dalam hati yang disiat sesalan bertubi-tubi.

Susuk kecil yang dikenali sedang berdiri dan tunduk memandang tempat sujud – solat sunat.

‘Maafkan abah kerana salah sangka.’

iman

Anak lelaki tunggal ini, semasa kecil lagi sudah cukup menguji kesabaran. Susah mahu ditidurkan – berpusing-pusing. Silap sedikit menangis – berteriakan. Merajuk tak boleh dipujuk – masam berterusan.

Sehingga sekarang pun, disebabkan dia hanya seorang, kelakuannya memang berbeza dari kakak dan adik perempuan. Mengharapkan dia menjadi sopan santun seolah-olah menidakkan ‘kelasakan’ seorang lelaki.

Mungkin pengalaman itu menyebabkan abah sering terbawa-bawa. Apa sahaja yang dibuat, nampak ‘sakit’ di mata abah.

Dia memang nakal, nakal seorang kanak-kanak, nakal kerana mencuba, bukan nakal kerana sengaja. Dalam keadaan tertentu, dia melakukan kebaikan yang tidak terjangka.

Hari ini abah sedar silap abah. Abah lupa satu perkara. Selama ini, abah hanya mengajar dengan kata, tetapi tidak menunjukkan depan mata. Jumlah hadir bersama ke masjid boleh dibilang hanya beberapa.

Malam itu, helaian Tarbiyatul Aulad penuh tompokan air mata. Abah gagal jadi model buat anak-anak. Abah sendiri bersangka-sangka, sedangkan anak itu masih calon syurga.

Anak-anak dari Allah telah sedia putih dan bersih. Abah yang menghitamkannya. Abah conteng tanpa sengaja. Abah leka trofi dunia – pujian majikan, sanjungan rakan, kagumnya lawan, dan dahaga penghargaan.

Abah lupa, abah perlu anak soleh sebagai saham menerangi kubur dan tiket masuk syurga. Manakan wujud sosok anak soleh tanpa model terbaik di hadapan mata.

Maafkan abah yang leka. Abah janji berbaik sangka. Abah janji bersaksi yang Esa.

Bapa yang mengajar anak,
Kamu contoh yang menunjuk jalan,
Kamu memberi ubat kepada pesakit,
Supaya dia sihat pulih dari perit,
Tetapi kamu sendiri sebenarnya sakit,

Mulakanlah dengan merawat dirimu,
Cegah diri dari penyakit,
Jika sendiri dapat mencegah,
Bermakna ilmu terbukti dilaksana,
Ada orang menerima nasihatmu,
Ada orang mencontohimu,
Ada orang meyakini ilmumu,
Barulah bermanfaat pengajaranmu.

Baca lagi: Anak Lukis Gambar Perompak Namun Respon Ayahnya Diluar Kebiasaan Ibu Bapa

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram