Jarang berita di dalam surat khabar yang boleh membuat adrenalin saya mengalir deras. Ketika sedang menunggu kereta diservis, tulisan saudara Ravi Velloor tentang seorang lelaki Pakistan di akhbar The Star benar-benar memberi impak kepada saya.

Berikut saya terjemahkan semula kisah mengenai seorang lelaki bernama Abdul Sattar Edhi yang banyak berjasa ini.

1. Edhi telah dibuang sekolah kerana bergaduh semasa berada di Gred 4. Ini sahajalah latar belakang pendidikan yang beliau ada.

2. Pengalaman menjaga ibunya yang sedang sakit lumpuh ketika beliau berumur 11 tahun memberikannya ilham untuk mewujudkan satu sistem bagi membantu orang tua, mereka yang sedang sakit tenat dan tidak berupaya.

3. Setelah 60 tahun menghabiskan umurnya untuk kerja kemanusiaan, kini terdapat lebih 1,800 buah ambulan di seluruh Pakistan yang mana terhasil daripada cetusan idea dan usahanya dahulu.

Segalanya bermula dari peristiwa ketika beliau ingin membawa ibunya yang tenat ke hospital tetapi dimaklumkan bahawa hanya ada sebuah van ambulan sahaja di seluruh bandar Karachi dan itu pun dimiliki oleh Red Cross.

Lalu beliau berusaha untuk menambah bilangan ambulan, bermula di Karachi.

Beliau pernah ditanya mengapa ambulannya membantu semua orang yang berlainan kepercayaan agama? Cukuplah hanya fokus kepada orang Islam.

Jawapan yang diberikan oleh Edhi, “Kerana ambulan saya lebih Muslim berbanding awak.”

4. Yayasan Edhi telah menyelamatkan lebih 20,000 bayi yang ditinggalkan, memelihara 50,000 anak yatim dan melatih 40,000 jururawat.

5. Usaha kemanusiaan berskala besar sebegini layak dianugerahkan Hadiah Nobel sebagaimana yang diterima oleh Mother Teresa.

Ketika ditanya adakah beliau mengharapkan penghargaan yang serupa atas segala khidmat yang telah dicurahkan sepanjang hidupnya?

Beliau menjawab hanya ganjaran dari Allah SWT sudah mencukupi ketika meninggal kelak.

6. Hidup sederhana dengan hanya 2 helai baju serta tidak pernah mengambil wang gaji dari organisasinya. Beliau tinggal di sebuah rumah kecil bersebelahan pejabatnya.

7. Meninggal dunia ketika berumur 88 tahun pada bulan Julai yang lepas. Permintaan terakhirnya adalah supaya semua organnya didermakan kepada mereka yang memerlukan. Namun, hanya korneanya yang boleh digunakan.

8. Edhi merupakan lelaki Pakistan pertama yang tidak mempunyai jawatan serta peranan di dalam kerajaan yang menerima penghormatan pengkebumian setaraf pemimpin besar negara.