Sudah hampir setahun lebih kita berperang dengan wabak COVID-19. Setakat hari ini, Malaysia telah mencatatkan lebih 194,000 kes, manakala 700 kematian sudah direkodkan. Kita juga sudah memasuki Perintah Kawalan Pergerakan buat kali kedua selepas kes mencanak naik akibat daripada sikap lalai sejak Pilihanraya Sabah yang berlaku tahun lalu.

Senario ini sudah pasti mengecewakan, bukan sahaja masyarakat umum, malah kumpulan barisan hadapan yang berjuang untuk melandaikan lekuk COVID-19 di negara kita. Namun, melihat daripada pengorbanan mereka, adalah tidak wajar jika penindasan dan diskriminasi wujud ke atas mereka. Tetapi, inilah yang sedang berlaku di Perak.

Difahamkan, pemilik perniagaan dan premis makanan di Perak mengambil sikap negatif dan menindas kumpulan barisan hadapan apabila sebahagian daripada premis kedai tidak membenarkan mereka untuk membeli barang keperluan atau makanan. Tidak hanya barisan hadapan, malah ahli keluarga mereka atau mereka yang mempunyai hubungan juga terpalit dengan sikap negatif ini.

Sikap tidak bertanggungjawab sebahagian daripada pemilik kedai ini telah mendapat reaksi Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad apabila beliau menyatakan bahawa persepsi atau stigma salah itu tidak menunjukkan rasa hormat dan simpati kepada mereka yang bertungkus lumus memutuskan rantaian COVID-19.

“Ada beberapa kedai yang dilaporkan meletakkan poster tidak membenarkan kakitangan Kemta (Pusat Koreksional Kamunting) untuk membeli barang. Itu satu penghinaan kepada mereka yang tidak bersalah, sebab yang datang barangkali dia bukan ada apa, yang kuarantin orang dalam penjara, yang keluar ini adalah petugas dan sebagainya dan sebahagiannya mereka yang telah tamat kuarantin,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Al Hijrah News.

Merujuk laporan daripada Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Taiping mengenai sikap diskriminasi yang wujud di Perak ke atas petugas barisan hadapan. Beliau menambah bahawa rakyat sepatutnya bersyukur dan menghormati kumpulan barisan hadapan yang telah bertungkus lumus untuk negara. Tindakan ini adalah satu sikap yang salah, memalukan serta menghina anggota pasukan beruniform,

Tempat Tahanan Perlindungan Taiping lebih dikenali sebagai KEMTA terletak kira-kira 8 km dari bandar Taiping dan 3 km dari bandar Kamunting. KEMTA sebelum ini telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula dari 30 Disember hingga 12 Januari lalu. Selain KEMTA, PKPD juga dilaksanakan di Penjara Taiping dan kuarters kakitangannya bermula dari 26 Januari hingga 8 Februari.

Terdahulu, China mendakwa bahawa ujian COVID-19 melalui dubur lebih tepat. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Dakwa Mampu Beri Keputusan Lebih Tepat, China Jalankan Ujian COVID-19 Melalui Dubur

‘Masih Jauh Dari Berpenghujung’- Dr Noor Hisham Kenang Setahun Melawan COVID-19