Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah mendapat perhatian rakyat Malaysia apabila mengeluarkan komen bahawa pembalakan memberi manfaat kepada harimau. Komen yang keluar dari seorang pengarah jabatan hutan disifatkan ‘jahil’ oleh sesetengah rakyat Malaysia.

Khalim dikecam selepas berkata bahawa pembalakan sebenarnya “baik untuk populasi harimau”. Beliau berhujah bahawa kemunculan tumbuhan baru akan membawa kepada pertambahan populasi haiwan dan menjadi tempat memburu harimau. Tambah Khalim lagi, Jabatan Perhutanan Kelantan yang dikecam berhubung kadar pembalakan di negeri itu sentiasa mematuhi catuan penebangan tahunan yang ditetapkan Majlis Tanah Negara.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Bagi ketua kumpulan alam sekitar, Shariffa Sabrina Syed Akil, berkata Khalim harus berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan atau bakal menjadi bahan ketawa.

Bagi Shariffa, apa yang dinyatakan oleh Khalim itu sangat tidak bertanggungjawab kerana yang sepatutnya mengeluarkan kenyataan mengenai habitat haiwan liar adalah Perhilitan. Tambah beliau lagi, pembalakan bukan sahaja menjejaskan harimau, tetapi hidupan liar yang lain serta Orang Asli yang tinggal di kawasan tersebut.

Tambah beliau lagi, tiada data yang jelas mengenai jumlah hutan yang telah diperuntukan oleh kerajaan untuk pembalakan. Selain itu, pensijilan Kelantan untuk pembalakan lestari telah ditarik balik oleh Majlis Pensijilan Kayu Malaysia pada Mac 2016 selepas negeri itu melebihi kuota pembalakan.

“Ini menunjukkan dengan jelas bahawa Kelantan tidak boleh dipercayai dalam kenyataan yang mereka keluarkan dalam mempertahankan amalan pembalakan di negeri ini.”

Adakah benar pembalakan baik untuk haiwan dan alam sekitar?

Tidak dinafikan bahawa aktiviti pembalakan sudah lama dijalankan dengan tujuan untuk memenuhi keperluan manusia. Dengan pembalakan, perabot, bahan binaan, kertas, pensel dah produk berasaskan kayu dapat dihasilkan. Namun dalam mengekalkan permintaan global yang semakin meningkat, ia perlahan-lahan telah mengakibatkan kesan buruk kepada alam sekitar dan haiwan.

Menurut WWF, penebangan hutan bukan sahaja mengancam habitat yang hampir  pupus, tetapi juga menjadi punca utama kenapa haiwan kehilangan tempat tinggal. Di Asia, orang utan, badak sumbu dan gajah adalah antara haiwan yang terkesan dengan aktiviti ini. Tambah WWF lagi, kesan lansung daripada penebangan hutan akan mencipta hubungan yang lebih rapat di antara haiwan dan manusia sehingga membawa kepada aktiviti pemburuan haram dan penganiayaan terhadap haiwan.

Selain itu, hutan mempunyai peranan yang besar dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan membendung perubahan iklim. Kesan daripada aktiviti pembalakan akan menyumbang kepada kira-kira 15% daripada jumlah pelepasan global dan memberi kesan kepada peningkatan suhu panas, perubahan corak cuaca dan kejadian cuaca ekstrem yang meningkat.

Penebangan hutan juga akan memberi kesan kepada tanah dan air. Tanpa pokok untuk menambat tanah yang subur, hakisan akan berlaku sehingga mencemarkan sungai. Apabila ini berlaku, punca air bersih yang menjadi sebahagian daripada keperluan Orang Asli akan tercemar dan memberi kesan kepada kehidupan mereka. Menurut WWF, satu pertiga daripada tanah pertanian dunia telah hilang akibat hakisan sejak 1960 lagi.

Selain itu, kita juga boleh melihat bagaimana pembalakan telah meninggalkan kesan yang ngeri sewaktu banjir hujung tahun lalu. Sebahagian daripada rumah tenggelam dengan lumpur dan sebahagian kampung pula diserang dengan timbunan kayu balak. Kebanyakan ini berlaku disebabkan aktiviti pembalakan yang tidak terkawal dan mangsanya pula adalah mereka yang tinggal di kawasan terbabit.

Apa yang jelas di sini, walaupun terdapat kebaikan, namun lebih banyak mudarat yang bakal dihasilkan jika aktiviti pembalakan terus dijalankan. Ia bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar dan haiwan, malah ia turut memberi kesan kepada manusia. Jika selepas ini ada yang datang dengan berkopiah putih dan berhujah dengan 1000 alasan untuk menghalalkan pembalakan, nafilah hujah mereka  sekerasnya-kerasnya dan ajaklah mereka menjaga alam sekitar kerana ini sajalah tempat tinggal kita.

‘Hasil tangan manusia rakus’ – netizen kongsi gambar timbunan kayu balak di lokasi banjir. Untuk bacaan lanjut, klik pautan di bawah.

‘Hasil Tangan Manusia Rakus’ – Netizen Kongsi Gambar Timbunan Kayu Balak Di Lokasi Banjir

Tular Gambar Kayu Balak Saiz ‘Luar Biasa’, Jabatan Perhutanan Pahang Tampil Jelaskan Perkara Sebenar

‘Tiada Kaitan Dengan Pembalakan’ – Tragedi Gunung Jerai Dari Sudut Pandang Ahli Geologi

Sumber