Sekiranya anda adalah peminat kopi, saintis mungkin mempunyai berita baik untuk anda. Satu kajian ilmiah telah dijalankan dan hasilnya menunjukkan bahawa dengan minum secawan kopi setiap hari dapat mengurangkan risiko anda dijangkiti COVID-19.

Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Fox News, melalui kajian ilmiah yang diterbitkan di Nutrients yang dilakukan oleh para saintis dari Northwestern University terhadap lebih 40,000 peserta yang telah dibahagikan mengikut faktor umur, jantina dan sejarah perubatan. Para penyelidik mendapati bahawa mereka yang minum secawan kopi atau lebih setiap hari mempunyai kurang risiko untuk dijangkiti dengan wabak COVID-19, berbanding dengan mereka yang sama sekali tidak minum kopi.

Pengambilan kopi mempunyai kesan positif terhadap biomarker keradangan seperti CRP, interleukin-6 (IL-6), dan faktor nekrosis tumor I (TNF-I). Perkara yang perlu diperhatikan di sini adalah bahawa biomarker ini juga dikaitkan dengan tahap parah dan kematian akibat COVID-19.

Tidak hanya kopi, para penyelidik juga menemui beberapa makanan yang mampu untuk mengurangkan risiko COVID-19. Melalui kajian kepada peserta terbabit, para penyelidik secara khusus melihat kesan kepada penggunaan kopi, teh, daging yang diproses, daging merah, buah, sayur-sayuran dan ikan berminyak. Mereka mendapati bahawa dengan memakan lebih banyak sayuran dan mengurangkan pengambilan daging yang diproses juga mampu untuk mengembangkan sistem imunisasi ke tahap yang lebih baik terhadap tindak balas virus.

“Hasil kajian kami menyokong hipotesis bahawa faktor pemakanan dapat mempengaruhi aspek yang berbeza dengan sistem kekebalan tubuh, termasuk kerentanan terhadap COVID-19. Menggalakkan untuk patuh terhadap cara pemakanan tertentu (misalnya, meningkatkan pengambilan sayur-sayuran dan mengurangkan pengambilan daging yang diproses) mungkin merupakan tambahan kepada cara sedia ada kepada garis panduan perlindungan wabak COVID-19 untuk membatasi penyebaran virus ini, “kata para penyelidik seperti yang dilaporkan oleh Wion.

“Walaupun penemuan ini memerlukan pengesahan bebas, kepatuhan terhadap tingkah laku diet tertentu mungkin merupakan alat tambahan kepada panduan perlindungan COVID-19 yang ada untuk membatasi penyebaran virus ini,” tambah mereka.

430 hari tanpa kes baharu, rahsia Brunei menang melawan COVID-19. Klik pautan di bawah untuk membaca.

430 Hari Tanpa Kes Baharu, Rahsia Brunei Menang Melawan COVID-19

WHO Beri Amaran Varian Baharu COVID-19 Yang Lebih Merbahaya Dijangka Menular