Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Perubahan sikap pengguna yang lebih berminat untuk membeli secara dalam talian bakal memberi kesan kepada ruang di pejabat dan pusat membeli belah. Manakala harga sewa mungkin akan jatuh merudum akibat daripada kesan tersebut dan ditambah pula dengan pandemik COVID-19, lapor Bank Negara Malaysia (BNM).

Memetik laporan Malay Mail, Kajian Kestabilan Kewangan untuk separuh pertama tahun 2021, BNM menyatakan bahawa kadar penghuni dan kadar sewa untuk kompleks membeli-belah dan ruang pejabat terus menurun. Tambah BNM lagi, kadar sewa untuk pejabat dan ruang niaga di Lembah Klang sudah mula turun selama empat suku berturut-turut sejak suku ketiga tahun 2020.

Melalui laporan yang dikeluarkan oleh firma harta tanah Jones Lang Wootton, BNM menyatakan bahawa ruang kosong atau kadar kekosongan untuk ruang pejabat di Lembah Klang telah meningkat dari suku kedua 2020 atau April-Jun 2020 (26.4 peratus), kepada 27.5 peratus (suku keempat 2020 atau Oktober-Disember 2020) hingga 28.6 peratus (suku kedua 2021 atau April-Jun 2021).

BNM – Malay Mail

Kumpulan data yang sama menunjukkan kadar kekosongan di ruang niaga di Lembah Klang meningkat dari 25.4 peratus menjadi 26.3 peratus dan akhirnya menjadi 26.4 peratus dalam tempoh yang sama.

Berdasarkan data dari firma perunding harta tanah Knight Frank Malaysia dan Savills Malaysia, BNM juga menunjukkan carta di mana kadar sewa rata-rata untuk ruang pejabat utama, dan kadar sewa purata untuk ruang runcit utama atau kedai-kedai yang paling terkenal di kompleks membeli belah utama di Lembah Klang sedang mengalami pertumbuhan tahunan yang negatif.

BNM – Malay Mail

Walaupun terdapat penawaran ruang komersial yang rendah setelah pemaju membatalkan atau menangguhkan beberapa projek, BNM menyatakan bahawa kadar kekosongan terus meningkat di beberapa negeri di Malaysia.

Tambah Malay Mail lagi, melalui tinjaun yang dilakukan oleh Stratos Pinnacle SB di 94 pusat membeli belah di seluruh negara dari 23 Julai hingga 30 Julai mendapati bahawa premis perniagaan yang dibenarkan dibuka kerana dianggap ‘penting’ menawarkan potongan harga sewa kepada penyewa. Dengan 40 peratus pusat membeli belah ini menawarkan potongan sewa sehingga 30 hingga 50 peratus.

Tinjauan juga mendapati bahawa pandemik dan kesan sekatan perjalanan telah mengakibatkan 30 peratus pusat membeli belah tidak dapat mengumpulkan sewa dari lebih 70 peratus penyewa, dan hampir 50 peratus pusat membeli-belah mempunyai bayaran sewa tertunggak sehingga satu tahun.

Selain itu, sebanyak 32 peratus pusat membeli belah mengatakan bahawa mereka hanya mempunyai aliran tunai yang cukup selama tiga bulan atau kurang. Kesan daripada ini adalah kebanyakan pusat membeli-belah terpaksa mengurangi jumlah pekerja sebanyak 10 hingga 20 peratus, manakala hampir 80 peratus pula telah melaksanakan pemotongan gaji.

Tinjaun itu menyatakan lagi bahawa 60 peratus pusat beli belah telah mengalami penurunan jumlah pengunjung sebanyak 60 peratus sehingga 90 peratus. Manakala pada bulan Julai, sebanyak 44 peratus pusat membeli belah percaya bahawa perniagaan mereka memerlukan sehingga setahun untuk pulih.

Untuk rekod, Persatuan Pusat Membeli-Belah Malaysia sebelum ini menekankan bahawa pentingnya industri runcit yang menyumbang 34.7 peratus kepada ekonomi negara atau KDNK pada tahun 2018. Dengan kerajaan telah melonggarkan sekatan dan peningkatan kadar vaksinasi COVID-19, diharapkan ia mampu memberi nafas lega kepada peniaga  dalam usaha untuk merancakkan kembali ekonomi negara.

Tahukah anda bahawa eCurve sudah pun ditutup sepenuhnya awal tahun ini? Untuk membaca, klik pautan di bawah.

Benarkah Pusat Beli Belah eCurve Akan Ditutup Sepenuhnya Pada 31 Mac Ini?

Selamat Tinggal Ampang Park, Ini ‘Tribute’ Buatmu

Taman Tema Tertutup Terbesar Asia Tenggara Bakal Dibuka Di Johor

Anda Mungkin Suka