Kesihatan adalah tunjang utama pembangunan negara. Menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia, kita telah melihat pelbagai projek naik taraf yang dilakukan oleh pihak kerajaan.

Fasiliti baharu ini boleh dinikmati oleh pelbagai jenis lapisan masyarakat kerana ia dibina untuk membantu rakyat Malaysia tidak kira latar belakangnya susah atau pun senang.

Baca Juga:

Berikut adalah projek naik taraf terkini yang sudah boleh dinikmati oleh rakyat Malaysia.

1. Pusat Jantung Hospital Serdang

Pusat Jantung Hospital Serdang kini sudah siap dibina dan bakal mula beroperasi pada 12 Disember depan dan bakal menjadi pusat jantung invasif terbesar di Asia Tenggara.

Ia dibina dengan kos RM546 juta dengan pelbagai jenis peralatan moden sesuai dengan teknologi masa kini.

Orang ramai pula tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan rawatan kerana Pusat Jantung Hospital Serdang mampu menampung sehingga 60,000 prosedur jantung setiap tahun, meningkat daripada 35,000 prosedur setahun.

2. Hospital Cyberjaya

Selain itu, KKM juga sudah membuka hospital baharu di Cyberjaya yang bakal memberi manfaat kepada 282,000 penduduk di daerah Sepang dan sekitarnya.

Ia juga akan membantu mengurangkan kesesakan dan kadar penggunaan katil di Hospital Serdang.

Antara disiplin kepakaran yang ada di Hospital Cyberjaya adalah Perubatan Am, Pembedahan Am, Pediatrik, Obstetrik dan Ginekologi, Perubatan Kecemasan dan Bius, Perkhidmatan Patologi, Radiologi serta Diet dan Sajian.

Hospital ini pada asalnya telah diputuskan pada Mei 2021 untuk diswastakan operasinya. Pada Oktober 2022,, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin telah bawa satu Kertas Kabinet untuk menukar keputusan tersebut.

Pada 7 Oktober 2022, Kabinet telah bersetuju agar Hospital Cyberjaya dioperasikan SEPENUHNYA sebagai HOSPITAL AWAM di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

3. Hospital Sungai Buloh

Di Hospital Sungai Buloh pula, kerajaan telah menaik taraf projek MRI yang menelan belanja RM7.5 juta. Naik taraf ini melibatkan peralatan dan sistem terkini bagi menggantikan peralatan lama yang telah berusia 17 tahun.

Selain itu, bekalan gas perubatan di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) Hospital Sungai Buloh yang telah dinaik taraf membantu mempercepatkan rawatan pesakit Covid-19 yang mempunyai gejala sesak nafas.

Projek bernilai RM4.8 juta ini dilengkapi sistem gas oksigen untuk lapan wad dengan 17 katil di setiap wad, sebuah tangki Vacuum Insulated Evaporator (VIE) oksigen berkapasiti 10,000 liter, sistem vakum perubatan dan sistem udara perubatan empat bar.

Projek itu juga melibatkan kerja naik taraf sistem bekalan air di lapan wad tersebut termasuk empat unit tangki air berkapasiti 8,000 liter setiap unit.

4. Pusat Kecemerlangan Kebangsaan untuk Kesihatan Mental (NCEMH)

Kerajaan juga telah menubuhkan Pusat Kecemerlangan Kebangsaan untuk Kesihatan Mental atau NCEMH bagi mengekang penyakit kesihatan mental yang tumbuh di kalangan rakyat Malaysia.

Penubuhan NCEMH telah direalisasikan pada 21 Oktober 2022, setahun selepas diumumkan penubuhannya oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada 10 Oktober 2021 sewaktu Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia.

Pusat ini menumpukan kepada penyelidikan, intervensi dan penyelarasan dalam kalangan semua pemegang taruh yang terlibat dalam kesihatan mental, selain bertanggungjawab dari aspek latihan terutama membabitkan kaunselor, komuniti serta pesakit kesihatan mental.

Pusat ini turut memainkan peranan sokongan terhadap perkhidmatan psikiatri dan kesihatan mental di hospital, klinik kesihatan serta pusat kesihatan mental masyarakat (MENTARI).

Ia juga akan merapatkan jurang perkhidmatan selari hasrat Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mempertingkatkan akses masyarakat terhadap perkhidmatan kesihatan mental.

Penambahbaikan yang sedang dinikmati masyarakat berbilang kaum di negara ini bakal meningkatkan tahap kesiapsiagaan Malaysia dalam menghadapi pelbagai jenis pesakit. Ia adalah hasil usaha dan sifat peka KKM dalam memastikan bahawa perkhidmatan kesihatan di negara ini berada di tahap yang terbaik dalam menangani krisis kesihatan di masa hadapan.