“Puan nak ke Kota Bharu atau pulang ke Kota Bharu?” sapa penumpang di sebelah saya sewaktu penerbangan pulang dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu.

“Pulang. Saya tinggal di Pulai Chondong. Saya Azura. Puan?”

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“Oh! Saya ikut team pejabat. Ada event di KL. Nak balik juga ni. Saya di Pasir Mas.”

Saya senyum sahaja sebagai tanda balas perbualan beliau. Mata saya ni mahu pejam sahaja. Letih. Seharian memerah otak menghadiri kursus. Awal-awal pagi sesudah subuh sudah ambil penerbangan ke Kuala Lumpur.

“Saya ikut suami bertukar kembali ke Kelantan. Kami berdua, dua-dua orang Kelantan. Sekarang tinggal dengan ayah mertua. Ayah sakit. Mak mertua dah lama tak ada.”

“Oooo… bagusnya Puan suami isteri. Tahniah Puan. Besar pahala Puan dan suami dapat berbakti pada ayah,” balas saya.

“Tak mudah juga Puan. Apabila duduk di kampung, dekat dengan saudara mara dah jadi lain Puan. Dulu duduk jauh di KL…semuanya wangi, almaklumlah pulang pun sekali sekala. Sekarang dah duduk dekat ni semuanya dah berbau busuk Puan. Bau bunga taik ayam dah Puan.”

Saya diam sambil menganggukkan kepala sahaja. Tidak tahu bagaimana mahu memberi reaksi. Kelihatannya Puan ini seperti mahu keluarkan segala yang sudah lama terbuku di hati. Sekadar mahu luahkan dan mengharapkan ada yang mendengarnya. Itu sahaja, bukan mengharapkan solusi.

“Puan duduk sekali dengan mertua ke?”

“Tidak. Saya dan keluarga tinggal sendiri. Tapi dekat je rumah mertua dengan rumah saya. Dalam 5 minit,” jawab saya.

“OKlah gitu Puan. Macam saya ni hmmmh… macam-macam Puan.”

Saya diam sahaja. Diam dalam serba salah.

“Puan tahu, kalau ipar duai pulang ke kampung bukannya ucapan terima kasih yang saya dan suami terima kerana sanggup menjaga ayah, sanggup tinggal dengan ayah, tinggalkan keselesaan kami di KL dahulu. Sebaliknya… bakpo kulit ayah gini, tak letak ubat ko, bakpo tak bawa ayah gi jumpa pakar tu pakar ni, bakpo tu bakpo ni.”

Hanya Tuhan yang tahu betapa saya tidak tahu apa yang perlu saya cakap waktu itu.

“Sedih Puan. Senang je dorang kan cakap. Di belakang kami, burukkan kami di depan ayah pula supaya mereka nampak elok. Anak-anak ceritakan pada kami. Budak-budak sekarang pandai, mereka senyap tapi mereka dengar dan perhati sahaja. Sudahlah cakap tak beralas, bukannya tahu nak hulur duit pampers ke ubat ke. Bab bercuti lagilah Puan. Saya dengan suami ni kadang-kadang teringin juga nak pergi bercuti. Tapi bila kami bagi hint dalam group Whatsapp keluarga… yang lain buat senyap saja Puan. Tak apalah. Saya anggap ini rezeki Allah SWT nak bagi pada saya dan suami untuk kutip pahala banyak-banyak sebelum ayah tutup mata.”

“Puan, Puan, Puan doakan saya kuat tau. Sampai dah Puan. Saya baca tulisan Puan di FB.”

Saya terpinga-pinga. Sudah sampai rupanya. Saya tenggelam dalam cerita beliau, teringatkan kedua ibu bapa saya di Kulim yang dijaga dengan baik oleh adik-adik saya.

Akak bangga dengan hangpa semua! Sewaktu mula berpindah ke Kelantan saya risau juga, bagaimana nanti mak dan abah, saya jauh.

Alhamdulillah, Allah SWT makbulkan doa saya.

Terima kasih Ayi, Una, Adik!

Kawan-kawan,

Sama-samalah kita titipkan ucapan terima kasih pada adik, abang, kakak kita yang berkorban keselesaan, cita-cita, kepentingan diri demi kedua ibu bapa kita. Usah lokek. Usah ada cemburu dan iri hati.

Mereka juga sebenarnya boleh sahaja membuat keputusan seperti kita, utamakan komitmen keluarga sendiri dahulu tetapi mereka berkorban untuk kedua ibu bapa bagi pihak kita adik-beradik.

Adik beradik ini ibarat jari kita yang lima, ada yang panjang, ada yang pendek. Kita saling melengkapi kawan-kawan. Yang mana kurang kita bantu, yang mana lebih kita panjatkan kesyukuran.

Entah kenapa kadang-kadang kita bagaikan orang asing. Walhal kita lahir dari rahim yang sama, rahim ibu kita.

Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang cantik itu budi,
Yang indah itu bahasa.