Hujung minggu lalu netizen dikejutkan dengan perkongsian video yang memaparkan dua kumpulan bermotosikal bergaduh sesama sendiri di Dataran Merdeka.

Pergaduhan tersebut yang melibatkan dua kumpulan tersebut tular di media sosial dan menyaksikan 12 individu telah ditahan pihak polis pada Isnin lalu.

Mengulas mengenai kejadian tersebut, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata kejadian itu berpunca daripada rasa tidak puas hati kerana adik perempuan salah seorang daripada suspek mengikuti kumpulan bermotosikal tersebut.

“Siasatan awal mendapati pergaduhan berlaku apabila seorang daripada suspek berkenaan dipercayai tidak berpuas hati kerana adik (perempuan) kepada rakannya mengikut kumpulan bermotosikal itu.

” Susulan itu, kami bertindak menahan 12 individu berkenaan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Pergaduhan itu yang berlaku pada Sabtu lalu mengundang pelbagai reaksi negatif daripada netizen yang memberikan komen mengenai perkara itu.

Bukan sahaja kecewa dengan keterlibatan golongan muda dalam pergaduhan tersebut malah tindakan itu di Dataran Merdeka menurut mereka juga mencemarkan sambutan kemerdekaan negara kita yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Malah perkara itu sendiri turut diakui timbalan pendakwa raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar yang memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kepada semua tertuduh selepas berkelakuan sedemikian di tempat tarikan ramai itu.

“Dataran Merdeka sepatutnya menjadi tempat untuk menunjukkan semangat patriotik.

“Tetapi kejadian (bergaduh) yang dilakukan oleh semua tertuduh mencemarkan ketenteraman kawasan itu apatah lagi ketika ini berlangsung sambutan bulan kebangsaan,” katanya.

Susulan daripada pergaduhan hujung minggu lalu itu, mahkaham telah pun menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,000 kepada lapan individu manakala tiga lagi remaja lelaki berusia 17 tahun perlu menunggu laporan akhlak pada 28 September sebelum dijatuhkan hukuman.

Baca reaksi netizen mengenai pergaduhan yang berlaku hujung minggu lalu seperti dikongsikan kami sebelum ini di pautan di bawah.

Dua Kumpulan Mat Rempit Bergaduh Besar Cetus Kekecohan Di Dataran Merdeka

3 Lelaki Ditahan Dan Disaman RM1,000 Seorang Selepas ‘Kantoi’ Berbasikal Dari Ampang Ke Jelebu

Pergaduhan Tercetus Lagi Kerana Kasut adidas NMD Pharrell