Penilaian saya untuk satu-satu filem mudah. Kalau kita keluar panggung dan rasa berbaloi dengan tiket yang kita dah bayar maka pada saya ia adalah sebuah filem yang bagus. Jadi saya bagi rating 8/10 untuk filem ini.

Filem Adiwira ini adalah sebuah filem ‘based on a true story’ seorang guru, Cheryl Ann Fernando yang berkhidmat di SMK Pinang Tunggal, Sungai Petani, Kedah.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Ia adalah sebuah filem yang bercerita tentang kehidupan seorang guru. Ceritanya mudah iaitu tentang kehidupan seharian Cikgu Cheryl mengajar muridnya Bahasa Inggeris dan kemudian plot filem ini bergerak apabila Cikgu Cheryl diberi tugasan untuk membimbing anak muridnya untuk mewakili sekolah dalam pertandingan ‘choral speaking’.

Dan ini sebabnya kenapa anda patut tonton filem ini:

1. Filem ini sebenarnya tidak hanya bercerita momen Cikgu Cheryl bersama muridnya tetapi ia juga menghurai kepada kita tentang siapa dan fungsi sebenar ‘guru’ kepada masyarakat. Jadi kepada sebahagian masyarakat yang sikit-sikit salahkan cikgu, sikit-sikit salahkan cikgu, elok sangatlah kalau anda tonton filem ini.

2. Filem ini membuktikan kepada kita bahawa tugas seorang guru bukanlah semudah yang disangka. Kadang-kadang ada sebilangan mak ayah yang mudah menyalahkan cikgu kerana anaknya tak perform dalam akademik atau kalah dalam pertandingan sedangkan kalau difikirkan mana ada guru yang mahu anak muridnya tak pandai atau tak menang pertandingan.

Cuba kita fikir, berapa banyak masa, tenaga dan wang ringgit yang telah dihabiskan oleh seorang guru untuk memastikan anak muridnya berjaya. Kadang-kadang masa cikgu di padang atau kelas lebih lama berbanding masa dia bersama keluarganya sendiri di rumah. Ini belum masuk guru kena keluar duit sendiri untuk memastikan anak-anak muridnya mendapat keputusan yang terbaik.

3. Filem ini mengingatkan kita tentang falsafah yang dibawa oleh Ivan Illich dalam karyanya Deschooling Society bahawa pendidikan mempunyai ruang lingkup yang lebih luas berbanding persekolahan.

Persekolahan adalah ‘corak pendidikan’ manakala pendidikan adalah pengalaman sosial yang dilalui oleh seseorang dalam hidupnya. Jadi, satu perkara yang penting dan menarik untuk kita sama-sama fikirkan ialah bagaimana Cikgu Cheryl berusaha menerapkan formula ini ke dalam pemikiran anak-anak muridnya. Contohnya, kita nampak bagaimana Cikgu Cheryl meyakinkan semula anak muridnya yang bernama Kemboja untuk kembali bersekolah.

4. Kadang-kadang ada sebilangan pelajar yang belum mengenali potensi, bakat, kepandaian dan sifat kritis mereka sendiri. Jadi, orang yang bertanggungjawab mencungkil semua perkara tersebut ialah guru.

Sebab itulah kerjaya sebagai guru adalah profesion yang mulia kerana guru bukan setakat memandaikan muridnya tetapi dalam pada masa yang sama, guru turut ‘ memanusiakan’ anak-anak muridnya. Kita tengok bagaimana kesungguhan Cikgu Cheryl mengajar pelajar daripada tak minat English hingga menjadi ‘English fluency’ dalam filem ini.

5. Filem ini juga mengajar kita tentang erti kesusahan. Kadang-kadang dalam kehidupan kita rasa sesak dan tak cukup pakai, namun sedarkah kita bahawa ada orang yang 2-3 hari tak makan kerana tiada duit nak beli makanan.

Filem ini mengajar kita bahawa walau sesusah manapun kita, pendidikan tetap wajib dicari. Ini digambarkan melalui watak Aliya dan Kemboja. Kita faham bahawa pendidikan adalah merupakan satu hak kepada setiap kanak-kanak tanpa mengenal jurang antara kaya atau miskin.

6. Apa yang saya suka tentang filem ini adalah latarnya. Jarang kita tengok golongan-golongan miskin ataupun sederhana diangkat menjadi tema atau watak utama dalam sesuatu drama ataupun filem, padahal golongan-golongan semacam inilah yang banyak menjadi rencah mewarnai masyarakat Malaysia kini.

Kita sememangnya tidak dapat lari daripada kemiskinan, eksploitasi, ‘kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang’, cengkaman kapitalisma, ketidak-adilan hierarki, realiti cari makan, kekurangan duit, harga barang naik, hutang keliling pinggang, tetapi malangnya kita sering dikaburkan dengan filem-filem dan drama-drama yang bercerita tentang anak-anak muda yang habis SPM je terus jadi CEO syarikat sedangkan realitinya, bukanlah begitu.

7. Kita juga seharusnya belajar daripada Cikgu Cheryl bahawa ‘hidup kita mestilah sentiasa membantu’ tanpa mengira apapun status warna kulit atau agamanya kerana kemanusiaan merentas semua itu.

8. Paling saya tak sangka ialah filem ini dilakonkan sendiri oleh anak-anak murid Cikgu Cheryl. Mereka langsung tidak kekok memerankan watak masing-masing seolah-olah mereka adalah lanjutan dari sekolah-sekolah lakonan. Tabik saya buat pengarah kerana mampu mencungkil bakat lakonan mereka. Ada banyak scene yang buat saya rasa nak menangis. Tak percaya tonton sendiri filem ini.

9. Kadang-kadang ramai orang kita asyik komplen filem lokal takde kualitilah, asyik cerita rempitlah, asyik cerita hantulah tetapi sebenarnya banyak je filem lokal yang berkualiti cuma kita je yang dah letak stigma dalam kepala, filem lokal tak best walaupun hakikatnya kita tak pernah sokong pun filem kita sendiri.

10. Kalau kita percaya adiwira-adiwira dari Barat yang sah-sah hanya mitos dan palsu, kenapa kita tak boleh percaya ‘adiwira’ sebenar yang mendidik dan ‘memanusiakan’ kita iaitu cikgu kita.

11. Saya berharap agar TV3 atau Astro akan menayangkan filem ini sempena Hari Guru(16 Mei) tahun ini. Filem ini bukan setakat kisah guru dan murid tetapi ia adalah cerminan hidup dan budaya positif masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Saya percaya filem ini akan menginspirasikan guru, pelajar dan diri kita sendiri.

12. Kalau kita boleh percaya adiwira-adiwira dari Barat yang sah-sah hanya mitos dan palsu, kenapa kita tak boleh percaya ‘adiwira’ sebenar yang mendidik dan ‘memanusiakan’ kita iaitu cikgu kita. Betul tak?

Jadi tunggu apa lagi? Jom support filem Adiwiraku ini.

Baca lagi: ‘Logan’ Pengakhiran Terindah Dan Epik Buat Wolverine