Kumpulan Facebook LHDN Cari Siapa Hari Ini? telah diwujudkan pada 21 Julai tahun ini. Tujuannya hanya satu, menentang kepincangan dan sikap tidak berhati perut Lembaga Hasil Dalam Negeri menuntut cukai buat mereka yang terkesan sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

“Di saat negara sedang menghadapi pandemik, rakyat makin susah dan makin miskin, LHDN dikerah untuk meragut kehidupan rakyat. Group ini adalah support group buat mereka yang diganggu LHDN,” tulis kumpulan itu.

Layanan yang tidak berhati perut, pilih kasih, dianggap seperti penjenayah dan tiada rasa simpati antara perkara-perkara yang diluahkan oleh rakyat Malaysia – yang juga pembayar cukai – sepanjang mereka berhadapan dengan LHDN.

Dan baru-baru ini, admin kumpulan LHDN Cari Siapa Hari Ini?, Aliff Ahmad telah dipanggil oleh LHDN untuk mengadakan perbincangan secara berhadapan dan membincangkan perkara yang dibangkitkan.

Pelawaan itu diterima. Beliau hadir bersama auditor, peguam dan seorang kawan. Tidak datang hanya tangan kosong, beliau juga membawa sekali 18 tuntutan yang perlu dipenuhi oleh LHDN.

Berikut adalah kisah yang dituliskan oleh Aliff Ahmad:

Minggu lepas aku telah dihubungi oleh seorang pegawai LHDN menggunakan nombor peribadi, namanya Fatin. Ini pun satu perkara yang luar biasa. Sebab jarang orang LHDN beri nombor telefon peribadi. Jadi aku hargailah. Aku ini, kalau orang berlembut, aku boleh jadi harimau paling jinak.

Selepas aku menerima email jemputan tersebut, semalamlah (17/11/2021) majlis pertemuan tersebut. Aku menyatakan aku akan hadir bersama teman aku, auditor, peguam dan balu arwah Loloq. Selepas itu aku dihubungi memberitahu mereka bukan mahu bincang pasal isu teknikal atau cukai, cuma mahu dengar cerita aku.

Aku faham. Aku anggap inilah kerja dan peranan Jabatan Komunikasi Korporat yang telah mendengar dan mengiktiraf suara kita semua di Group Facebook LHDN Cari Siapa Hari ini? Aku menghubungi sahabat aku yang pernah bekerja dengan LHDN, dia kata, “Kalau setakat corporate comm yang panggil, takkan jadi apa lah. Buang masa je.”

Minda skeptikal aku terus berbolak balik. Ini memang majlis buang masa. Mereka mengular pun gaji jalan setiap bulan, aku buat benda ini tak dapat untung apa. Anak bini nak makan kat rumah. Aku kena dapatkan sesuatu juga pada hari tersebut.

Maka, aku telah menulis memorandum dengan 18 tuntutan. Ya, aku tau bukan semua itu dalam bidang kuasa mereka, tetapi aku nak mereka cakna ini adalah tuntutan rakyat marhaen dan aku percaya tiada marhaen yang akan membantah. Hanya orang LHDN dan penjilat LHDN sahaja yang akan membantah tuntutan-tuntutan tersebut. Boleh rujuk di bahagian foto.

Facebook – Aliff Ahmad

Aku juga telah menempah t-shirt yang tertulis KAMI WIRA NEGARA di depan dan TAX PAYERS ARE NOT CRIMINALS untuk hari semalam bagi memberi isyarat yang kami tidak takut, kami tidak akan lari, kami ialah stakeholder, kami ialah VIP kepada “syarikat” yang berniaga dengan memeras hasil titik peluh kita rakyat marhaen.

Semalam aku tiba sedikit lewat. Ini memang perangai “bogan” aku. Bila aku yang dipanggil, dia kena tunggu aku, aku akan datang dengan gaya aku dan diri aku. T-shirt berkolar bulat, seluar cerut dan selipar. Tidak formal? Do I care? I never speak with my looks, I speak with my brain and heart.

Masuk saja bilik meeting sudah ada beberapa orang menunggu. Mantap, bagus, boleh terus mula. Tak perlulah aku buang masa tunggu mereka. Jujur, aku datang dengan persepsi negatif yang puak diorang ini hanya nak melepaskan batuk di tangga. Buat syarat atau sahaja nak uji keupayaan aku melawan sama ke tak bila berjumpa dengan dalam Facebook.

Balu arwah Loloq tidak dapat hadir. Kereta rosak masa dalam perjalanan. Maklumlah, kereta buruk, tengah susah, LHDN kejar mahu 200k daripada dia. Aku tau, dia tiada duit dan tengah pening kepala. Aku beritahu dia, “Takpa kak, tenang-tenang. Tak datang pun takpa.” Dalam masa yang sama, aku rasa sangat sedih dan simpati kerana aku tak boleh tolong dia. Aku hanya berdoa semoga semua berjalan lancar.

Dalam bilik mesyuarat tersebut dihadiri oleh 3 orang watak utama iaitu:

1. Puan Umi – Timbalan Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat.
2. Abe Sukri – Pengarah Jabatan Pematuhan
3. Dr. Hazlina – Pengarah Jabatan Undang-Undang.

Selepas mereka perkenalkan diri, barulah aku rasa perjumpaan ini serius. Macam biasa, orang undang-undang akan sentiasa merosakkan mood sebab minta surat lantikan bawa saksi-saksi aku. Aku terus cakap, saya boleh balik dulu buat surat kalau nak skema macam ini. Nak jumpa pun kena buat surat lantikan. Lagi satu, dia sepatutnya hormat aku, mereka yang nak jumpa aku, bukan aku yang terhegeh-hegeh nak jumpa mereka. Hormat aku dan hormat kawan-kawan aku. Aku pembayar cukai, bukan penjenayah! Saksi-saksi aku juga pembayar cukai bukan penjenayah.

Mereka memulakan dengan mengharap ia tidak dirakam, hanya perbincangan biasa. Aku terus tanya, dengan prejudis atau tanpa prejudis. Abe Sukri kata, kita bincang macam anak beranak. Atas dasar hormat permintaan mereka, aku setuju saja. Aku memang tahu LHDN memang penakut kalau nak dirakam. Sebab itu aku bawa saksi-saksi aku. Manalah tau ada timbul kekecohan nanti.

Seperti yang aku dah agak, mereka mahu tahu apa yang trigger aku buat group itu dan menyerang LHDN secara terbuka. Aku pun ceritalah siapa aku. Aku buat apa. Kenapa aku triggered. Mereka mula-mula ingat sebab aku ada kepentingan peribadi, mereka silap. Siapa yang ikut aku mesti tahu, rujuk sini – Kenapa Aku Lawan LHDN.

Masa aku cerita aku duduk Australia 10 tahun. Mereka tanya pasal pengalaman cukai di Australia. Aku pun ceritalah macam yang pernah aku cerita dulu. Rujuk sini – Kalau Aku Pelari Cukai, Aku Pun Tak Berani Cuit LHDN!

Aku ulang berkali-kali semalam, kutip cukai adalah haram dan kezaliman. Dibenarkan kerana maslahah. Aku bukan pembenci cukai, aku sosialis, aku percaya cukai boleh tolong orang miskin, boleh tolong negara. Tapi, mestilah dibelanjakan dengan betul dan diambil dengan cara yang betul. Aku menggariskan prinsip ini dari awal perbincangan sampai penutup.

Keadaan sedikit tegang apabila Dr. Hazlina nak jadi peguam dalam mahkamah pula dalam perbincangan ini. Dia bersikap sangat defensif apabila mahu mempertahankan polisi-polisi dan sop-sop sampah LHDN yang kami kritik, seolah-olah pihak kami berbohong. Yang lebih teruk, dia boleh tanya peguam yang ikut aku itu chambering ke? Sebab dia bertubuh kecil dan comel. Tapi wajarkah bersikap provokatif sebegitu?

Persoalan :

1. Kalau dia chambering pun apa masalah kau nak tiba-tiba tanya orang macam itu?

2. Dia bukan chambering dan dia uruskan firma guamannya sendiri, bukan makan gaji dengan LHDN macam Dr. Hazlina. Dia orang meniaga. Dia jauh lebih faham tentang orang meniaga nak banding dengan Dr. Hazlina.

Aku dengar peguam itu agak terguris dan akan mengambil tindakan. Aku dah cakap, aku bawa pejuang. Bukan bawa pengalah. Lawanlah sesama peguam!
Orang undang-undang tetap berperangai seperti orang undang-undang. Seakan-akan dia berfikir “I am the law!” Dengan aku, dia silap. Pandangan aku, adalah pandangan aku. Aku akan ajar cara nak faham pandangan aku.

Sahabat aku, Nik Izwan suruh Dr. Hazlina hantar surat pakai pos biasa dan cuba jejak sejak isu pos biasa yang dipertikaikan. Kami beritahu kami tak terima, terima lambat, dia macam tidak boleh menerima kenyataan itu. Jadi, Nik suruh dia sendiri pos sesama mereka dan jejak bila sampai. Tapi dia macam tak faham. Nasib ada Abe Sukri, dia faham. Harap mereka buat.

Aku macam biasalah, aku tetap dengan pendirian, orang makan gaji takkan faham apa usahawan macam kami lalui. Dr. Hazlina masuk lagi. Dia kata, aku ingat dia duduk dalam gua, tiada saudara mara berniaga ke?

Nampak? Hujah klise orang LHDN. Inilah mentaliti standard orang LHDN. Dr. Hazlina salah seorang daripadanya. Mereka ini perasan mereka faham kita. Walhal mereka tidak faham. Kalau semua orang jadi saudara mara dia, tiadalah kumpulan Facebook ini wujud. Apa masalah, kita telefon sahaja saudara kita yang nama Dr. Hazlina itu.

Jadi aku terpaksa bagi 2 jawapan mudah dan logik.

1. Letak jawatan. Buat bisnes. Upah 10 orang. Kemudian beritahu aku kemudian.

2. Aku bagi analogi ibu melahirkan anak. Mak aku selalu beritahu, yang tiada siapa boleh faham rasa sakit. Aku tanya Puan Umi, dia setuju. Macam itu aku. Aku kata, aku faham mak aku lahirkan aku sakit. Aku hargai. Mak aku masih kata aku tidak faham. Begitulah keadaan usahawan, orang LHDN yang setiap bulan ada gaji tetap, tiada tanggungjawab perut pekerja, hujung tahun dapat bonus, takkan faham kami walaupun mereka telah cuba faham. Hatta, kami sesama kami pun tak boleh komen lebih orang lain dalam industri lain. Kalau faham, tiadanya mereka macam orang kebulur datang sergah dan paksa kita!

Yang melucukan. Dr. Hazlina beritahu dia tiada Facebook. Jadi, benarlah memang dia duduk dalam gua. Dalam gua memang tiada Facebook. Itu sebab dia tidak faham apa jadi dekat halaman Facebook LHDN yang hanya penuh maki hamun dan rasa tidak puas hati pembayar cukai. Dia asyik cakap masalah kebejatan LHDN adalah kes terpencil. Walhal ia maaruf! Ia NORM! Bukan aku je cakap, ramai lagi cakap. Pada aku, ia NORM yang perangai orang LHDN teruk!

Apabila Nik Izwan menyebut tentang LHDN patut ada penasihat syariah. Pun, Dr. Hazlina macam melantun juga dan bertanya, “kenapa LHDN kena ada penasihat syariah?”

Nampak tak, orang undang-undang dunia, sensitif bila dengar syariah. Kenalah explain lagi, ia hanyalah lontaran persoalan. Kalau tak siapa yang kawal perbuatan halal haram, maslahah mafsadah. Penalti setinggi 45% ulama’ mana benarkan? Mestilah kena ada tatacara syariah kalau nak beritahu kutip cukai itu harus. Hukum asal cukai ini haram. Jadi nak kempen kutip cukai ini haram?

“Tidak masuk syurga, si pemungut cukai.”

Selepas itu, barulah dia kendur sikit. Ada Phd, ada kuasa, banyak pengalaman, dan ada jawatan tinggi tidak menjadikan kau boleh bongkak dan memandang enteng anak muda. Aku kira, dia tak sepatutnya ada dalam bilik mesyuarat semalam. Biarlah dia lawan dalam mahkamah sahaja. Sikap dan ego sebegitu mungkin sesuai hanya di mahkamah, tetapi tidak dengan pembayar cukai!

Aku harap dia belajar dengan Pn. Umi dan Abe Sukri cara kawal orang muda dan jujur macam kami. Aku bagi sepenuh pujian kepada mereka berdua kerana dilihat sangat ikhlas, profesional, tidak defensif dan tidak provokatif. Kalau aku jadi lunak dan jinak sikit, mungkin sebab mereka berdua dan Fatin pegawai yang melayani aku.

Ibarat slogan warga Indonesia ketika marah dengan Malaysia, “Ganyang Malaysia! Selamatkan Siti Nurhaliza!” Maka slogan aku pula, “LHDN jahat dan zalim! Kecuali Pn. Umi, Abe Sukri dan Fatin!”

Apa-apa pun, aku telah bacakan 18 tuntutan dan aku telah syarah setiap tuntutan bagi mewakili kumpulan Facebook ini. Aku menunggu komitmen balas daripada memorandum yang aku bentangkan semalam.

InsyaAllah, kalau LHDN boleh bagi beberapa komitmen dalam tuntutan tersebut. Kita pun tiadalah marah sangat. Betul tak?

Semua orang jangan risau, aku tidak boleh dibeli. Aku ada prinsip yang teguh. Aku ulang banyak kali semalam, perjuangan aku bukan untuk diri aku. Hal aku, aku setel sendiri. Ini untuk kawan-kawan aku, rakyat marhaen, orang susah, dan anak muda masa depan negara. LHDN perlu berubah!

Ingat, kita semua WIRA NEGARA!

Kita bukan PENJENAYAH!

LHDN tubuh unit khas bagi memerhati kekayaan luar biasa di media sosial. Klik pautan di bawah untuk membaca.

LHDN Tubuh Unit Khas Bagi Memerhati Kekayaan Luar Biasa Di Media Sosial

Gagal Bayar Cukai Pendapatan RM1.69 Bilion, LHDN Fail Notis Kebankrapan Terhadap Najib

Lelaki Ini Kongsikan 9 Tip Jimatkan Bayaran Cukai Pendapatan 2019