Dengan kehadiran sejumlah teknologi baharu di era digital ini, pelbagai syarikat di luar sana mahu mengambil peluang dalam mengadaptasi dan mencari bakat baharu menerusinya. Salah satu syarikat yang sedia mengambil langkah proaktif adalah Agoda.

Terbaharu, Agoda mengumumkan kembalinya pertandingan pengaturacaraan global tahunannya yang dikenali sebagai Codeagoda untuk tahun ke-4. Pertandingan ini telah berkembang menjadi sebuah platform dalam mencari bakat baharu di kalangan pengekod daripada pelbagai latar belakang.

Baca Juga:

Codeagoda mempunyai kelebihan tersendiri kerana ia direka oleh pengekod untuk pengekod yang lain. Para pengekod yang menyertainya diberikan kebebasan untuk menyelesaikan masalah yang diberikan untuk menguji had keupayaan coding mereka.

Agoda juga mengatakan keputusan daripada edisi pertandingan yang lalu telah terbukti dalam membantu pasukan kerja mereka untuk mencari penyelesaian dari perspektif yang berbeza.

Untuk makluman, pertandingan Codeagoda ini bakal berlangsung dari 1:30 petang hingga 10:30 malam ICT (Waktu Indochina) pada 1 April 2023. Peserta akan diberi masa tiga jam untuk menyelesaikan enam masalah algoritma yang mirip isu sebenar yang dihadapi oleh pasukan teknologi Agoda.

Jumlah nilai keseluruhan hadiah adalah sebanyak $8,750 (~RM39,178.12) dan pemenang pertama berpeluang untuk meraih hadiah sebanyak $3,500 (~RM15,671.25). Agoda turut menawarkan hadiah wang tunai tambahan sebanyak $500 (~RM2,234) kepada pengekod wanita terbaik.

Di samping boleh mempamerkan kebolehan masing-masing di peringkat global, sebahagian peserta juga berpeluang untuk mengembangkan kerjaya di Agoda. Jika anda berminat, boleh melayari laman rasmi Codeagoda untuk maklumat lanjut.

Sumber