Nama Rasmus Paludan menjadi bualan seluruh dunia ketika ini selepas ketua parti sayap kanan Denmark, Stram Kurs dan pemegang kewarganegaraan Denmark dan Sweden itu telah membakar Al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm.

Rasmus  bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Baca Juga:

Dalam video terbaharunya, Rasmus merancang untuk membakar lebih banyak naskah Al-Quran selepas menerima banyak ancaman dari Turkiye dan Indonesia.

“Baru-baru ini saya ada membakar Al-Quran, itu adalah buku peribadi saya. Di Sweden, tindakan itu bukanlah satu kesalahan, begitu juga di Denmark.

“Saya menerima banyak ancaman dari Turkiye dan Indonesia, bagi saya ancaman itu menunjukkan mereka bodoh dan mempunyai IQ rendah. Oleh sebab itu saya membuat keputusan untuk membakar lebih banyak Al-Quran di Denmark, Sweden dan juga beberapa tempat lain.

“Anda kena terima apa yang akan saya lakukan. Anda tidak boleh berbuat apa-apa. Anda kena terima Al-Quran boleh dibakar dan (agama Islam) boleh dikritik kerana naskah itu adalah satu penipuan,” ujar Rasmus dalam video terbaharunya.

Video Rasmus itu telah menarik perhatian Tiger of AlQuds Malaysia, Caprice untuk berkongsi satu rakaman ‘video balas’ di Instagram sebentar tadi.

Dalam video berkenaan Caprice yang berang dengan pendedahan yang dibuat oleh Rasmus itu telah meminta orang ramai untuk berhenti menyokong apa-apa yang berkaitan dengan kedai perabot terkemuka Sweden yang mempunyai 4 buah cawangan di seluruh Malaysia.

“Jangan pergi IKEA, orang Malaysia jangan pergi IKEA. Sweden benarkan mamat ini bakar Al-Quran bukan sekali, tetapi banyak kali dah. Sampai bila kita mahu hidup dengan Islamofobia? Sampai bila?,” kata Caprice dengan penuh nada kemarahan.

Dalam hantaran Instagram Caprice juga ada menulis di mana beliau tidak lagi menyokong produk Sweden, bermula dengan Ikea Malaysia sehinggalah kerajaan Sweden menangkap dan memasukkan (Rasmus) ke dalam penjara.

Sementara itu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia ahli politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran di Stockhlom semalam.

Beliau mahu kerajaan Sweden mengambil tindakan tegas terhadap pelaku dan memastikan langkah drastik diambil pada masa depan dalam menangani peningkatan membimbangkan Islamofobia di negara berkenaan.

“Ia bukan sahaja mengundang provokasi dan sensitiviti tidak hanya kepada Turkiye, malah lebih dua bilion umat Islam di seluruh dunia.

“Malaysia mengecam jenayah kebencian berulang kali yang menyasarkan umat Islam di seluruh dunia,” katanya melalui kenyataan rasmi semalam.

Anwar Ibrahim turut menggesa komuniti antarabangsa menolak sikap perkauman dan agama dengan berselindung di sebalik kebebasan bersuara, malah kekal bersatu menentang sebarang bentuk kebencian dan keganasan.

Beliau turut menekankan amat penting memartabatkan prinsip dialog dan saling menghormati dalam menyelesaikan sebarang pertikaian.