Ramai kagum apabila mengetahui seorang wanita mampu membaikpulih sofa lama menjadi baru. Malah, ada lelaki menyatakan mereka juga belum tentu dapat melakukannya sedemikian rupa. Faktor itu membuatkan ramai orang tertarik dengan empunya diri dan menjadikan dia kawan di dalam senarai Facebook masing-masing.

https://www.youtube.com/watch?v=Afq56l3g5aw

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Inilah video yang memaparkan aksi lincah CikPuan Ainna Abu Bakar Abdullah membaikpulih perabot ibunya pada bulan Ramadan yang lalu. Susulan kemunculan video ini, pihak The Vocket berjaya menemubual secara online dengan Cik Puan Ainna bagi mengenalinya dan mengetahui lebih lanjut berkenaan apa yang telah dilakukan dengan sofa ibunya itu.

Baca: 21 Idea Perabot DIY Berasaskan Kayu Pallet Yang Menarik

1. Apakah yang mendorong Cik Puan membaiki sofa ibu?

Sebenarnya sofa itu sudah lama sangat dan banyak koyak disebabkan oleh kucing. Mak saya pula tidak mahu membuang sofa itu sebab kayu pada sofa itu masih kukuh dan elok. Jadi, dari situ saya mula mencari di Youtube tentang bagaimana membaikpulih sofa.

2. Dimanakah Cik Puan belajar membaiki sofa?

Youtube sahaja.

3. Berapa lamakah masa diambil untuk Cik Puan belajar membaiki sofa?

Saya tonton macam-macam cara orang membaiki sofa di Youtube sampai saya jadi faham untuk membuatnya sendiri. Saya ambil masa 2 hingga 3 hari sebelum saya yakin untuk mengoyakkan sofa lama itu.

4. Apakah persediaan yang diperlukan oleh Cik Puan sebelum mula membaiki sofa?

Masa mula-mula itu saya tak bersedia dari segi bahan sebelum memulakan pembaikian sofa. Hanya dengan berbekalkan keyakinan sahaja, saya koyak (kain dan kusyen sofa) sampai jadi rangka dan kemudian baru fikir nak cari bahan.

5. Berapa lamakah masa diambil oleh Cik Puan untuk siapkan sofa?

Saya ambil masa seminggu juga nak siapkannya sebab saya tak luangkan masa yang lama untuk buat baikpulih ini kerana penat dan sebagainya. Kebanyakan waktu dihabiskan untuk mencari bahan. Boleh dikatakan saya ambil masa 2 jam siang dan 2 jam malam jika ada lebih masa.

Baca: Cara Kreatif Memohon Kerja Yang Patut Anda Cuba

6. Apakah cabaran yang dihadapi oleh Cik Puan semasa menyiapkan sofa?

Cabarannya adalah dalam mencari bahan kerana ini kali pertama saya melakukannya. Jadi, itulah yang paling susah kerana perlu pergi banyak tempat dan ada sesetengah bahagian dalam pembuatan sofa ini susah sikit nak buat. Contohnya bahagian lengan sofa, kita perlu fikir macam mana nak balut.

7. Apakah perasaan Cik Puan selepas berjaya menyiapkannya? Adakah hasilnya sepertimana yang Cik Puan jangkakan?

Saya berasa sangat gembira sebab dapat tunjukkan pada mak saya yang saya berjaya baiki sofa itu, alhamdulillah. Sebenarnya mak juga tak sangka saya mampu menyiapkan sofa tersebut. Ini satu kejutan yang istimewa buatnya. Walaubagaimanapun, hasilnya tidaklah seperti yang saya jangkakan kerana ada beberapa tempat yang kurang kemas. Tapi saya tak sangka juga (sofa dapat dibaiki) sebab saya bukan orang yang berpengalaman. Jadi, inilah yang terbaik yang mampu saya buat.

8. Bolehkah Cik Puan terangkan secara ringkas langkah demi langkah untuk membaiki sofa tersebut?

Langkah 1: Buka kain sofa lama dengan membuka segala stapler yang ada.
Langkah 2: Periksa kondisi kayu asal sama ada kayu perlu ditambah atau tidak untuk buat sofa baru.
Langkah 3: Balutkan dengan kain biasa di permukaan kayu.
Langkah 4: Letakkan span di permukaan kain tadi.
Langkah 5: Tandakan kedudukan untuk meletakkan butang. Kemudian, tebukkan lubang di tempat yang ditanda.
Langkah 6: Balut lagi skali dengan fiber dan lapisan terakhir ialah kain sofa yang baru.
Langlah 7: Kemaskan dan tutup bahagian belakang sofa dengan lapisan kain biasa, fiber dan kain sofa.

9. Apakah projek Cik Puan selepas ini?

Belum terfikir lagi.

10. Apakah tip/nasihat Cik Puan untuk mereka yang mahu melakukan aktiviti ini, terutama wanita?

Nasihat saya semoga sentiasa rasa yakin kita boleh buat dan jangan berputus asa kerana banyak dugaan dalam membuat aktiviti pertukangan dan ia mungkin bukan sesenang yang kita sangkakan.

Buat pengetahuan anda, Cik Puan Ainna merupakan seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) yang berasal dari Sarawak. Tujuan asal memuatnaik video itu hanyalah untuk menunjukkan minat dan hobinya pada masa terluang kepada rakan-rakannya. Pakaian yang dikenakan sepanjang dia membaikpulih perabot itu pula adalah merupakan pakaian hariannya.

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram