Tahniah AirAsia kerana berjaya mengumpul dana sebanyak RM350,000 untuk Majlis Kanser Nasional (Makna) melalui kempen #AirAsia Makna 2016. Menerusi kempen ini, AirAsia menyumbangkan RM0.10 kepada Makna bagi setiap tempahan penerbangan yang diterima melalui www.airasia.com dalam tempoh masa sebulan, berakhir pada 16 September 2016.

Dengan slogan ‘A Little Change Goes A Long Way’ untuk kempen kali kedua, ini juga merupakan sebahagian daripada komitmen AirAsia dalam usaha menyokong Makna disamping membantu pesakit kanser yang kurang berkemampuan mendapatkan rawatan.

Selain itu, ia juga merupakan sebahagian daripada usaha mendidik masyarakat dan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai risiko penyakit ini.

airasia

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar berkata, lebih dari RM650,000 telah dikumpul untuk Makna sejak dua tahun yang lepas.

“Tahun lepas, melalui kempen #AirAsiaMakna, AirAsia berjaya mengumpul hampir RM265,000 melalui projek ‘Travelling Beruang’ dan tahun ini, kami gembira mencapai kejayaan yang lebih besar dengan jumlah kutipan RM350,000,” katanya.

Beliau berkata program lima tahun itu akan mempunyai pendekatan berbeza setiap tahun untuk mengumpul dana bagi Makna.

Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Makna turut berkata, usaha mengumpul dana untuk membantu pesakit kanser merupakan satu cabaran yang besar dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada AirAsia atas kejayaan kempen ini.

Dalam perkembangan lain, beliau turut berkata, Makna akan mewujudkan enam lagi rumah persinggahan bagi pesakit yang terpaksa berjalan jauh untuk mendapatkan rawatan di hospital bagi membolehkan mereka berehat sebelum dan selepas rawatan.

Buat masa ini, rumah persinggahan itu diwujudkan di Pulau Pinang dan Johor Bahru manakala satu lagi akan dibuka di Kuantan tidak lama lagi, katanya.

Antara tarikan pada acara itu ialah pemeriksaan klinikal percuma, ceramah kesihatan serta jualan diskaun produk kesihatan.

Sumber