Sedikit pengenalan tentang Esfahan. Esfahan atau Isfahan merupakan bandar ke-3 terbesar di Iran iaitu selepas Tehran dan Mashhad. Esfahan terkenal dengan pelbagai tinggalan sejarah, terutama senibina islamik yang dibangunkan pada abad ke-11 hingga ke-19. Di sini, anda boleh melihat sendiri keunikan senibina berusia ratusan tahun lamanya yang masih dipelihara sehinggalah sekarang. Disebabkan ini ada peribahasa lama Parsi berbunyi begini; Esfahān nesf-e- jahān ast” (Isfahan is half of the world). Jadi boleh dikatakan separuh dari keindahan di dunia ada di Esfahan!

Menurut para ilmuan Islam, nama lama bagi Esfahan adalah ‘Ramahurmuz’ iaitu tempat kelahiran tokoh islam terkenal Salman Al-Farisi. Esfahan adalah salah satu kota terpenting dalam sejarah peradaban Islam di mana ia pernah dijadikan sebagai pusat pemerintahan oleh beberapa dinasti Islam pada ketika itu. Pada zaman kegemilangan Islam dahulu, Esfahan adalah sebuah kota yang maju dan masyhur dalam ilmu pengetahuan, kebudayaan dan perdagangan.

Melihat keunikan bumi Parsi melalui kaca mata sendiri merupakan satu pengalaman yang cukup mengujakan dan sangat berharga! Apabila sudah menjejak kaki ke Iran, tidak lengkap rasanya jika tidak berkunjung ke Esfahan. Esfahan masih menyimpan berjuta keunikan silam yang mesti dirasai sendiri. Jadi, di sini kami kongsikan beberapa lokasi unik yang mesti anda pergi jika datang ke Esfahan.

1. Naqsh-e Jahan Square

Naqsh-e Jahan Square atau juga dikenali sebagai Imam Square ini merupakan lokasi paling penting dilawati jika ke Esfahan. Naqsh-e Jahan Square dahulunya dipanggil Shah Square, bangunan mengelilingi petak persegi ini terletak betul-betul di pusat bandar Esfahan.

Kawasan berkeluasan 89,600 meter persegi ini dibangunkan sekitar tahun 1598 dan 1629. Naqsh-e Jahan Square sekarang ini merupakan salah satu kawasan tinggalan sejarah yang penting di Esfahan dan ianya juga merupakan salah satu tapak warisan dunia (UNESCO).

Di sini anda boleh dapatkan pelbagai barangan kraf seperti beg, poskad dan cenderahati dengan harga yang jauh lebih murah berbanding tempat lain. Oh ya, buat pengetahuan anda kesemua barangan kraf di sini adalah hasil buatan tangan penduduk tempatan sendiri. Memang unik dan cantik-cantik belaka.

2. Ali Qapu Palace

Ali Qapu Palace adalah istana yang paling besar terletak di Esfahan. Lokasi berdekatan dengan Naqsh-e Jahan Square, Istana milik Raja Shah Abbas ini dibina pada tahun 1597. Paling unik, terdapat lukisan yang menghiasi dinding di istana ini. Lukisan bercorak burung, bunga-bungaan dan potret ini adalah hasil karya pelukis agung yang cukup terkenal dalam sejarah Parsi, iaitu Rezza Abbasi.

Terdapat sebanyak 52 bilik yang ada di dalam istana ini, namun sebahagian daripadanya masih di dalam proses dibaikpulih dan hanya sebahagian sahaja dibuka untuk pelancong. Pada zaman pemerintahan Uthmaniah, Istana ini pernah terlibat dengan serangan yang dilakukan oleh tentera Afghanistan suatu masa dahulu.

Hiasan seni halus yang diperbuat daripada emas dan perak di pintu masuk istana ini cukup untuk menggambarkan kemegahannya. Di bahagian atas istana ini pula terdapat satu ruang di mana anda boleh melihat terus keseluruhan permandangan di Naqsh-e Jahan Square .

3. Masjid Sheikh Lotfallah

Alang-alang sudah sampai di kawasan Naqsh-e Jahan Square, tidak lengkap rasanya kunjungan anda ke Esfahan jika tidak melawat Masjid Sheikh Lotfallah. Masjid ini dahulunya berfungsi sebagai mahkamah ketika di zaman pemerintahan Shah Abbas 400 tahun dahulu, dan ianya merupakan salah satu dari empat tugu yang menjadi simbolik kemegahan Naqsh-e Jahan.

Kebijaksaan senibina Parsi pada zaman dahulu boleh dilihat jelas melalui ukiran dan bentuk yang ada pada Masjid ini. Masjid ini dibina pada tahun 1603 dan siap dibina sepenuhnya pada tahun 1619. Rekabentuk Masjid ini adalah hasil sentuhan arkitek yang bernama Shaykh Bahai. Keunikkan susunan seramik dan rekabentuk yang digunakan pada siling-siling di Masjid ini memang cukup mengagumkan.

Lebih mengujakan, sebenarnya terdapat satu terowong di bawah masjid ini yang boleh digunakan untuk merentasi tiga laluan antara Masjid ini, Istana Ali Qapu dan Bazar. Sistem pencahayaan pula bersumberkan cahaya daripada matahari yang menembusi setiap corong-corong dan terus menyuluh ke bawah.

4. Esfahan Grand Bazar

Grand Bazar di Esfahan ini merupakan pasar tertua dan terbesar di timur tengah, ia sudah wujud sejak abad ke-17 lagi. Jika anda mahu dapatkan feel bagaimana orang timur tengah pergi ke pasar zaman pada dahulu kala, boleh la datang ke sini.

Terdapat pelbagai jenis barangan dijual di sini.Dari pakaian, barangan keperluan harian sehinggalah restoran. Semuanya anda boleh temui di sepanjang laluan 1.7 kilometer ini. Di awal pagi dan di sebelah petang adalah antara waktu tersibuk di sini, jadi pastikan anda pergi pada waktu yang sesuai.

5. Chehel Sotoun

Chehel Sotoun merupakan sebuah taman astaka yang digunakan untuk majlis hiburan dan keraian ketika zaman pemerintahan Shah Abbas. Di sinilah aktiviti-aktiviti hiburan untuk golongan elit pada zaman itu, mereka akan dijamu dengan hiburan dan tarian yang dipersembahkan oleh perempuan-perempuan cantik. Wah!

Selain daripada itu, yang paling menarik adalah lukisan-lukisan yang terdapat pada setiap dinding dan siling. Lukisan seramik ini dilukis dan di warnakan dengan warna semulajadi. Jika warna emas, emas itu adalah emas yang tulen. Dan begitu juga dengan warna perak.

keunikan lukisan ini seolah-olah ingin memberitahu sesuatu kepada anda. Setiap lukisan akan hadir dengan aksi dan babak-babak tertentu, yang seolahnya menceritakan tentang pemburuan, pertempuran dan kuasa.

6. Vank Cathedral

Walaupun Iran dikenali dengan Negara Islam Republik, tetapi harus diketahui juga bukan semua rakyat Iran adalah beragama Islam. Tidak semestinya wanita menutup kepala itu Islam, ada juga sebahagian dari mereka merupakan penganut agama Kristian.

Mungkin disebabkan undang-undang di negara itu yang mewajibkan semua wanita harus menutupi kepala dengan memakai hijab. Melihat sejarah pada zaman dahulu, antara tempat yang patut anda lawati adalah Gereja Vank Cathedral. Di sini majoriti penduduknya merupakan suku kaum Armenia, iaitu bangsa pertama yang menganut agama Kristian.

Lukisan Gothic yang terpapar disetiap dinding di gereja ini sudah cukup untuk menceritakan betapa kuatnya pengaruh Kristian yang di warisi oleh penganut Kristian sejak abad ke-4 ini. Oh, ya diluar gereja ini terdapat satu kedai kopi yang sungguh sedap. Memandangkan kopi sangat sukar ditemui di Iran, boleh lah lepaskan ketagihan anda di sini.

7. Jambatan Khaju

Jambatan Khaju atau lebih mesra dipanggil Khaju Bridge adalah jambatan paling tua di Esfahan. Jambatan ini dibina pada tahun 1665 dan masih kekal sehingga sekarang. Memang sangat kukuh! Dengan laluan sepanjang 147 meter dan 4 meter lebar, jambatan ini dahulunya merupakan laluan yang menghubungkan ke kebun-kebun di raja.

Jika anda perhatikan, terdapat sebanyak 21 lengkungan yang berbentuk seperti kubah. Ini adalah satu lambang kemegahan di zaman pemerintahan Syah Abbas pada waktu itu. Di bawahnya pula terdapat laluan sungai dengan air yang cukup jernih. Namun sekarang, punca air ditutup dan dibiarkan kering.

Permandangan di waktu malam memang sungguh mempersonakan.

8. Gunung Soffeh

Mount Soffeh atau Gunung Soffeh ini adalah lokasi terbaik untuk anda menikmati keindahan di Esfahan. Gunung ini satu-satunya taman hutan yang ada di Esfhan. Di sini juga terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan seperti restoran, taman permainan dan tempat berehat.

Susana di sini sangat damai dan menenangkan, anda berpeluang untuk melihat terus keseluruhan kota Esfahan dari atas gunung.

Empayar Parsi adalah salah satu empayar yang sangat hebat satu ketika dahulu. Pertembungan budaya dari serata dunia menjadikan Iran sebuah negara yang unik dari segala aspek.Kami rasai sendiri keindahan bumi Iran dan ianya langsung berlainan dengan apa yang kami dengar dan baca di media.

The world is a book, and those who do not travel read only a page – Saint Augustine

Anda perlu ke sana dan rasai sendiri pengalaman kami. Dan rasai sendiri perbezaan Tehran dan Esfahan. Kedua-dua bandar di Iran ini mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Perjalanan dimudahkan lagi apabila kini AirAsia X mempunyai laluan untuk terbang ke sana dan semestinya anda juga boleh terbang ke sana!