Mungkin ramai yang masih skeptikal untuk mengembara ke negara Iran. Di sebalik negara yang dikatakan tertutup pada dunia luar ini, tersembunyai 1001 keindahan negara itu yang hanya dapat dinikmati jika anda ke sana.

Sejarah Awal Iran meliputi negara Iran dan juga negara-negara jirannya yang mempunyai persamaan dalam kebudayaan dan bahasa Parsi. Ketika itu, negara-negara ini diperintah oleh empayar-empayar Parsi seperti Medes dan Achaemenid. Sassanid pula adalah empayar Parsi terakhir sebelum kedatangan Islam. Iran mula berkembang dari segi ekonomi dan jajahan ketika di zaman dinasti Zand (Zandiyeh) pada kurun ke-16.

Iran adalah negara beraja sehinggalah pemerintahan dinasti yang terakhir, dinasti Pahlavi. Dinasti ini hanya bertahan dari tahun 1925 hingga 1979 sahaja selepas tercetusnya Revolusi Iran. Iran kini adalah sebuah negara republik, tiada lagi pemerintahan diraja.

Disebabkan perkembangan tamadun dan pertembungan budaya yang pesat di Iran satu ketika dahulu, bumi Iran memang tersimpan banyak tinggalan dunia di samping muka buminya yang cantik dan pelbagai. Kami akan berkongsi dengan anda beberapa tempat a must visit di Iran. Untuk artikel ini, kita ke ibu negara Iran terlebih dahulu, Tehran.

1. Golestan Palace

Kolam utama di Golestan Palace

Golestan Palace adalah karya masterpiece ketika era pemerintahan Qajar yang menggabungkan senibina dan seni Parsi dengan pengaruh dari barat. Di sini adalah tempat tinggal keluarga Qajar yang mula memerintah dari tahun 1779 yang menjadikan Tehran sebagai pusat pemerintahan di Iran (sebelum ini Esfahan).

Tahukah anda? Kucing di Iran semuanya gemuk-gemuk belaka. Seperti di Golestan Palace, kucing dibiarkan sahaja bermain di taman. Comel sungguh.

Dalam tahun 1925 sehingga 1945, kebanyakkan bangunan di kompleks ini telah dimusnahkan oleh Raja Reza Shah. Menurut beliau, Qajar palace perlu dimusnahkan sebahagiannya untuk pembangunan bandar. Jadi hanya tinggal sebahagian sahaja Golestan Palace yang tinggal kini untuk tatapan umum.

Tahukan anda? Setiap lukisan pada dinding ini diwarnakan secara manual dengan tangan

Paling menarik di Golestan Palace ini adalah lukisan pada dinding yang mengelilingi Palace ini. Setiap dinding dihiasi dengan lukisan yang dilukis dan diwarnakan sendiri dengan tangan setiap satunya! Bayangkan masa yang diperlukan untuk menyiapkan keseluruhan tembok ini. Taman dan kolam turut menghiasi Golestan Palace ini.

2. National Museum Of Iran

Pintu masuk National Museum Of Iran. Ia direka oleh Andre Godard, pereka dari Perancis

Antara tempat yang paling saya suka di Iran. Jika anda minat dengan sejarah, ini adalah tempat yang perlu anda lawati. Di muzium ini, tersimpan 1001 rahsia tamadun di Iran. Di sini tersimpannya segala relik purba dan peninggalan tamadun terdahulu yang berkembang di Iran.

Statue Raja Xerxes

Anda sukakan filem 300? Ada sejarah tentang raja Xerxes di muzium ini. Cuma dalam filem 300 itu memburukkan raja Xerxes. Di muzium ini anda akan tahu cerita yang sebenar di sebalik filem 300 ini. Empayar Parsi dahulu memang sangat besar dan kuat! Kesan dari empayar Parsi ini, kini tersimpannya segala jenis kain, relik archaeological dan barangan pertukangan dari pelbagai zaman di Iran di muzium ini.

Muzium ini juga dibahagikan kepada beberapa dewan iaitu dewan untuk peninggalan zaman Paleolitic, Neolithic, Chalcolithic, peninggalan di zaman Gangsa, zaman besi dan tinggalan zaman-zaman Achaemenid, Seleucid, Parthian, dan Sassanid. Jangan terkejut jika anda jumpa mumia di muzium ini nanti.

3. Saad Abad Complex

Laluan untuk ke The Green Palace

Kawasan seluas 300 hektar ini dibina ketika zaman dinasti Qajar dan Pahlavi yang terletak di Shemiran, Tehran. Complex ini terkandung taman yang cantik, galeri dan juga muzium. Kompleks ini pertamanya didiami oleh dinasti Qajar dan keluara diraja Qajar pada kurun ke-19. Ianya kemudian didiami pula oleh Shah Reza sebelum anaknya, Mohammad Reza Pahlavi tinggal di sana pada tahun 1970an.

Tetapi selepas revolusi 1979, complex ini kini ditukar menjadi muzium. Dari pintu masuk, anda perlu mendaki bukit dalam 20 minit untuk sampai ke Green Palace. Sepanjang perjalanan anda akan melalui deretan pokok yang cantik dan membuatkan anda ingin sahaja bergambar sepanjang jalan.

Di dalam kompound kompleks Saad Abad ini, terdapat beberapa lagi muzium di sekitarnya antaranya Museum of Natural History, muzium of fine arts, Museum of Anthropology, Museum Of Military dan banyak lagi. Ada beberapa muzium ini tidak membenarkan anda merakam gambar di dalamnya dan rekaan dalam pada muzium ini memang sangat-sangat cantik.

4. Tabiat Bridge

Antara architecture baharu di bumi Iran yang awesome! Tabiat Bridge adalah laluan pejalan kaki yang paling besar dan tinggi dan iran. Berketinggian 270 meter, jambatan ini menyambungkan dua taman awam; taman Taleghani dan taman Abo-Atash. Jambatan ini dibina oleh Leila Araghian di mana jambatan ini memenangi pelbagai anugerah berprestij dunia antaranya Architizer A-Awards.

Walaupun musim sejuk, suasana di Tabiat Bridge tetap meriah
Pemandangan dari atas, gunung yang diliputi salji

Memang ramai yang bersantai dan bergambar di atas jambatan ini kerana pemandangannya yang berlatar-belakangkan gunung yang sangat indah. Andai anda datang ketika musim sejuk, memang sejuk tak terkata di atas ini! Gunung ini juga akan dilitupi salji.

Luangkan lebih masa anda di sini kerana pemandangan di sini memang sangat cantik. Tamannya menjadi tempat bermain penduduk di sini. Ada juga beberapa restoran di kawasan sekitar jika anda mahu minum teh selepas melihat pemandangan cantik ini.

5. Masjid Imamzadeh Saleh

Masjid imamzadeh terletak di wilayah Tajrish dan antara masjid terkenal di bumi Iran. Ianya terletah di Tajrish Square dan antara tempat popular bagi penganut agama Shia di Tehran.

Masjid ini tidak putus menerima kunjungan dari serata Iran
Pintu masuk ke dalam masjid
Wanita diwajibkan memakai ‘cover’ ini jika mahu memasuki perkarangan Masjid ini

Tips jika anda ke sini, bolehlah beli kacang yang merupakan produk lokal terkenal di sini. Di sekitar sini, harga kacang dan barangan untuk survenir adalah lebih murah berbanding di kota. Kami sarankan untuk borong kacang pistacio di sini. Rasanya sangat enak dan rasanya sangat lain dengan kacang pistacio yang kita boleh beli di sini.

Disebabkan tempat ini memang tumpuan ramai, anda perlu lebih berjaga-jaga takut ada penyeluk saku yang sedang berkeliaran yang mensasarkan pelancong.

Di artikel seterusnya kita akan ke Esfahan pula yang terletak 700KM dari bandar Tehran. Esfahan merupakan ibu negara bagi Iran sebelum ianya ditukar ke Tehran ketika ini. Perbezaan dua negeri ini adalah Esfahan lebih banyak tempat bersejarah dan Tehran lebih moden. Tetapi kedua-keduanya tetap keistimewaan yang tersendiri.

Sekarang dah sangat mudah untuk ke sana kerana AirAsia X sudah terbang ke sana. Anda boleh dapat tambang yang sangat awesome untuk anda experience sendiri bumi Iran.Stay tuned with us!

BACA: Itinerari Dan Lokasi Unik Yang Berjaya Saya Terjah Sepanjang 10 Hari Travel Di Iran