Seperti sedia maklum, perkhidmatan penerbangan tambang murah AirAsia sering mendapat tumpuan termasuk pihak yang tidak bertanggungjawab dengan mengambil kesempatan di atas itu. Pada hari ini, kes penjualan tiket palsu semakin menjadi-jadi, antara faktor paling utama mungkin kerana sikap individu itu sendiri yang terlalu inginkan harga tiket penerbangan paling murah.

Oleh itu, AirAsia dan AirAsia X menasihatkan orang ramai supaya tidak menjadi mangsa penipuan sindiket agensi pelancongan yang mengiklankan penjualan tiket di laman sosial. Menurut AirAsia, terdapat beberapa agensi pelancongan yang tidak berdaftar memperalatkan pengguna di Facebook dan Instagram dalam mempromosikan pakej percutian mereka.

Melihat kepada aduan yang diterima daripada magsa tipu sebelum ini, AirAsia menasihati orang ramai supaya membuat tempahan di laman web rasmi airasia.com dan laman web rasmi syarikat bersekutu AirAsiaGo.com atau pusat jualan rasmi sahaja.

AirAsia turut berkata, syarikat mereka akan ambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang menganjurkan skim haram dengan menggunakan jenama AirAsia.

Jika terdapat sebarang kemusykilan atau ingin melaporkan program yang disyaki satu penipuan boleh berhubung dengan AirAsia melalui saluran komunikasi rasmi facebook.com/airasia atau AskAirAsia.com/ask.

Sumber