Pereka dari Malaysia telah memenangi USD100,000 (~RM439,400) untuk membina Airbnb berinspirasikan kelapa yang bakal membuat anda kata OMG!

Daripada puluhan ribu penyertaan dari seluruh dunia, Muhammad Hakim Azly dari Malaysia berjaya menjadi salah seorang daripada 100 pereka yang terpilih untuk merealisasikan idea luar biasa mereka sebagai sebahagian daripada Dana OMG! platform hospitaliti global Airbnb yang bernilai USD10,000,000 (~RM44,000,000).

Baca Juga:

Reka bentuk rumah yang diberi nama ‘Coconut Drifting in the Sea’ akan siap sedia untuk menerima tetamu menjelang musim panas 2023, dan aka disenaraikan dalam Kategori OMG! Airbnb.

Idea Hakim, ‘Coconut Drifting in the Sea’ ini merupakan sebuah rumah terapung yang terletak di pantai Tanjung Rhu Langkawi. Rumah itu boleh diakses dengan bot atau kayak, dan tetamu boleh menikmati pemandangan 360 darjah pulau-pulau di sekitarnya.

Pamandangan ‘Coconut Drifting in the Sea’ di waktu senja

Penginapan ini menyerupai kelapa tua, dengan sabut dan cangkerang luarnya direka bentuk untuk kelihatan seolah-olah mengelupas bagi membolehkan cahaya masuk ke dalam ruang tersebut. Ia terdiri daripada bilik tidur seluas 250 meter persegi yang dilengkapi dengan katil bersaiz king dan bilik mandi yang besar di sebelahnya. Ruang dalamannya yang putih, tidak bersudut dan selanjar direka untuk menyerupai isi kelapa.

Idea tercetus daripada rumah milik datuknya di Kangar

Hakim yang berasal dari Perlis mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang reka bentuk, yang tercetus semasa beliau dibesarkan di rumah yang dibina oleh mendiang datuknya di Kangar.

Rumah tersebut dipenuhi dengan elemen reka bentuk yang unik dan futuristik, yang menurutnya adalah ‘mendahului zaman pada tahun 60-an’. Beliau kemudiannya membesar di Teaneck, New Jersey, di mana beliau meluangkan sebahagian besar masa mudanya melukis mural berskala besar sebelum melanjutkan pengajiannya dalam bidang seni bina.

Hakim menyertai Dana OMG! bersama isterinya, Reena, dan berkongsi bahawa inspirasi untuk idea bernas mereka ini tercetus semasa mereka menyusuri pantai dan terlihat buah-buahan jatuh ke dalam air. Lalu, mereka bersama-sama memutuskan untuk mereka bentuk rumah yang diilhamkan daripada kelapa yang terapung-apung di laut, yang menceritakan kisah menikmati perjalanan hidup ke arah suatu destinasi yang tidak diketahui.

“Konsep untuk reka bentuk ini memberikan suasana pengembaraan kepada tetamu, yang membolehkan mereka mengalami sepenuhnya perubahan cuaca, pasang surut air dan kitaran matahari sepertimana kelapa yang terapung di tengah laut.

“Kami juga gembira kerana dapat menerapkan salah satu matlamat utama kami ke dalam projek ini, iaitu membina penternakan ikan dan nurseri karang seluas 300 meter persegi di sekitar rumah terapung kami sebagai sebahagian daripada Pengalaman OMG!,” jelas Hakim.

Hakim berkongsi bahawa rancangan mereka untuk membina penternakan ikan dan karang bertujuan untuk menggalakkan komuniti tempatan dan pelancong untuk mengurangkan penggunaan dan menambah semula sumber semula jadi, yang sering digunakan untuk menyokong industri pelancongan.

Pemandangan penuh rumah ini bersama nurseri karang seluas 300 meter persegi

Ini bukanlah pengalaman pertama Hakim dengan Airbnb. Sebelum ini, beliau pernah menjadi Superhost di Seattle selama lebih setahun. Beliau kini tinggal di Langkawi bersama isterinya, Reena, yang merupakan hos Airbnb sepenuh masa bagi sepuluh unit yang dibina sendiri oleh keluarganya.

“Semuanya bermula dengan hanya satu unit,” tambah Reena. “Setiap bulan, kami akan ketepikan sebahagian daripada pendapatan kami untuk membina asas kediaman kami. Kini, setelah beberapa tahun, kami boleh katakan dengan bangga bahawa kami mempunyai sepuluh unit yang berjaya dihasilkan dengan hanya mengambil peluang yang ada.”

Gambar Hakim & Reena semasa di Amerika Syarikat

“Semasa saya mula menjadi hos Airbnb di Amerika Syarikat, saya juga tidak mempunyai banyak ruang, tetapi saya sedar akan potensinya, dan kadang-kadang itu sahaja sudah mencukupi,” kongsi Hakim.

“Kami melihat peluang dan nilai dalam memberi penghormatan kepada tempat yang kaya dengan warisan dan membina sebuah objektif yang boleh dibanggakan, dan “Coconut Drifting in the Sea” merupakan hasilnya.” Setiap penerima anugerah Dana OMG! akan menerima sehingga USD100,000 untuk merealisasikan ciptaan hebat mereka.

Seterusnya, dalam tempoh sepuluh bulan akan datang, mereka akan mereka bentuk, membina dan melengkapkan ruang mereka agar siap sedia untuk menerima tetamu menjelang musim panas 2023, di mana anda boleh menemui kediaman-kediaman tersebut dalam Kategori OMG! Airbnb.

Jadi, jika anda berminat untuk menginap di rumah unik ini, jangan lupa untuk klik di sini. Tahniah diucapkan kepada Hakim dan Reena!