Aku memang respek cikgu. Mengajar budak yang besar level jurang umur, psikologi dan intelektual ni bukan senang. Sebab pertamanya, kau kena paham tahap pelajar kau, kaitan dan empati dengan cara dia pikir pasal subjek tersebut dan tackle dari situ. Dan disebabkan tahap berfikir cikgu dengan pelajar tu jauh, itu lah yang susahnya. Bagi syarahan dan kelas kepada orang besar dah cerdik, tak sama.

Kau tau kan kadang-kadang kau cerita sesuatu pada seseorang, kemudian dia tak dapat-dapat juga? Dua tiga kali kau cerita benda sama, dia tak terima, kau akan rasa bengang dan serabut?

Dan kau akan rasa sesetengah manusia memang bodoh dan kau malas nak sambung dah? (Contohnya, kumpulan yang percaya bumi rata, geng anti vaksin dll). Tapi, cikgu tak boleh buat benda tu. Dia kena terus empati dengan cara fikir anak muridnya dan work with that.

Aku ingat pernah sekali dalam banyak tahun lepas aku nak ajar adik aku Fizik dan benda asas Add Math. Di sekolah aku dulu, bukan aku yang paling terer Fizik dan Matematik.

Ada yang lagi pandai dapat Pingat Emas Kuiz Fizik Kebangsaan, wakil Malaysia ke Olympiad Matematik Dunia pergi Barcelona segala. Ada jugak junior aku dapat tawaran MIT walhal tak habis SPM lagi sebab dia dapat nombor 2 Kuiz Fizik Kebangsaan dan beberapa benda lagi (dan tiga-tiga orang ni ada dalam friendlist aku).

Tapi, Add Math dan Fizik tu tak pernah tak dapat A. Matematik dan nombor ni mainan aku dari sekolah rendah lagi (biasa la budak nerd kecik-kecik dulu. Besar haram pemalas).

Dan sebelum ni pun sebenarnya aku ada cuba collaborate dengan Prof Matematik di universiti aku untuk tulis rumus dan paper daripada pattern (dalam bentuk graf eksponential x to the power of y) yang aku jumpa masa aku main-main dengan nombor masa aku kecik-kecik dulu masa Tingkatan 1. Tapi tak produce paper sebab ada jalan yang lebih ringkas dan aplikasinya kami tak pasti apa.

Anyway, poinnya adalah aku reti jugaklah subjek-subjek ni sikit-sebanyak. Dan kalau kau ingat kau reti subjek tu, kau boleh jadi pandai mengajar orang terutamanya budak-budak? Tidak.

It was literally 4 jam paling sukar dalam hidup aku. Kepala aku berdenyut bukan main. Emosi aku jadi huru-hara. Rasa nak mengamuk pun ada. Tak pernah lagi aku buat benda paling payah dalam hidup aku melainkan nak introduce abstract concept pada adik aku. Dan adik aku ni bukannya bengap. Cerdik orangnya.

Tapi, she just didn’t get it. Aku memang mati kutu dan aku tak tau macamana nak suruh dia dapat tangkap. Mungkin sebab pemikiran abstrak dan konseptual dia belum terbentuk lagi kot masa tu? Aku tak tahu.

Tapi apa yang aku tahu adalah it was very hard. Dan lepas tu aku memang tersadai lelah dan penat atas sofa hijau di ruang tamu rumah aku mengaku kalah dan menyedari bahawa jadi cikgu budak-budak ni, tak senang.

Kemudian, nak kawal budak lagi. Kalau budak semua nakal dan buas tak boleh duk diam macam di sekolah TFTN for SYRIA tu, memang pening kepala. Dan aku sendiri pun tak pernah boleh nak handle budak-budak tu ramai-ramai melompat, menjerit, tarik rambut, mintak fon, cabut spek aku segala.

Tak kira lagi yang bergaduh kena buli lepas tu report kat kau. Mak bapak, dan banyak lagi. To be a teacher, you have to be a good conflict manager as well. And you have to be more.

Dan sebab inilah model Teach For Malaysia sebuah subsidiari Teach For All menjadikan perguruan sebagai satu latihan kepimpinan selama 2 tahun. Yang mana guru-guru ini, selepas tamat tempoh 2 tahun mereka akan masuk memimpin organisasi-organisasi yang besar.

Jadi sebenarnya, apa yang aku nak cakap ni adalah, kerja jadi cikgu ni bukan kerja senang. Mungkin ianya tak glamour dan tidak begitu dihargai dalam masyarakat dan sistem ekonomi kita hari ini yang tidak selesai menjawab persoalan “how do we value work and labor”, persoalan-persoalan yang diutarakan oleh Marx – dengan baik. Kita lebih menghargai pembaca-pembaca skrip di dalam drama kerana wajah mereka elok.

Walhal, guru-guru ini bermain dengan minda, membentuk bangsa dan merupakan human capital manager – modal yang paling berharga. Negara seperti Finland sedar akan hal ini dan sebab itulah sistem mereka meletakkan guru sebagai profesion yang benar dihargai dan kompetitif.

Kerana ianya sangat mencabar dan penting. Dan bukan semua orang yang boleh dan mampu menjalankan tugas ini. Maka, sewajarnya guru dihargai bukan hanya kerana jasa mereka, tetapi juga kerana kesabaran, kesanggupan dan pengorbanan yang telah mereka pikul selama ini.

Artikel di atas disumbangkan oleh Hariz Hazwan Zahir. Beliau merupakan graduan perubatan dari universiti di Jordan. Boleh ikuti beliau di sini.
1 KOMEN
  • Hanya insan yang terpilih mampu bergelar guru. Tahap kesabaran mereka memang tinggi. Bukan mudah nak mengajar lagi-lagi dalam kelas yang ramai berbeza-beza tahap ‘ketangkasan’ menangkap ilmu. Nak mengajar ABC pun susah jika tidak mengetahu teknik yang betul.

BACAAN SETERUSNYA

© 2017 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W). Dibuat dengan cinta di Damansara ❤