Baru-baru ini dilaporkan bahawa netizen menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengambil tindakan tegas ke atas seorang ‘ustazah’ yang menyebarkan fahaman isteri perlu melayani suami seperti pelacur dan suami merogol isteri.

Bukan setakat sering menyebarkan fahaman yang bercanggah dengan agama Islam, tetapi wanita terbabit sering berkongsi kandungan berunsur lucah berkaitan hubungan seksual suami isteri secara terbuka di media sosial.

Baca Juga:

Menerusi laporan, Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Dr Zamihan Mat Zin menyelar tindakan individu yang menyebarkan dakyah melayani keinginan nafsu suami dengan fahaman agama yang menyimpang dan melakukan hubungan seksual yang ekstrem.

“Ini adalah bentuk penderaan fizikal serta seksual kepada isteri atas nama ketaatan sedangkan ia sangat jauh menyimpang daripada maksud sebenar yang sudah digariskan di dalam Islam.” kata Dr Zamihan Mat Zin

Tambahnya, beliau juga tidak mahu perkara tersebut terus mencalarkan imej Islam dan memberi tanggapan salah terhadap keharmonian agama. Oleh iti, tindakan harus diambil dengan menyiasat individu-individu yang terlibat dengan hantaran berbaur lucah tersebut.

Sementara itu, isu ini juga mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang telah mengarahkan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk membuat laporan berhubung isu tersebut.