Terkini tular di media sosial mengenai kisah seorang wanita berasal dari Johor yang ditahan di Singapura atas kesalahan perniagaan iaitu dituduh menjual barangan tiruan. Wanita tersebut sudah berada di Singapura semenjak bulan puasa yang lalu.

Wanita yang dikenali sebagai Sabrina mulanya masuk ke Singapura untuk menjual barangan di ekspo namun akhirnya ditangkap oleh pihak berkuasa Singapura berikutan dengan laporan orang ramai. Sehingga kini, wanita tersebut tidak boleh meninggalkan Singapura dan masih berada dibawah jaminan polis.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kronlogi kes ini bermula apabila wanita ini menyertai sebuah ekspo jualan barang di Singapura selama 2 minggu dan berkongsi booth dengan beberapa orang penjual untuk menampung sewa tapak jualan. Barangan yang dijual oleh wanita ini adalah barangan beg tangan dan kasut fake, di mana ianya menjadi satu kesalahan besar menjual barangan tiruan di Singapura.

Pada 30 Mei, wanita ini telah menerima panggilan telefon daripada rakan suaminya yang memberitahu bahawa barangan jualannya telah disita oleh pihak berkuasa dan rakannya telah ditahan oleh pihak polis.

Wanita ini bergegas ke Singapura untuk menemui rakannya. Pada ketika itu rakannya meyakinkan bahawa tiada apa yang perlu dirisaukan namun barang jualan mereka tidak mungkin dikembalikan oleh pihak berkuasa.

Hari seterusnya dia menerima panggilan dari rakannya yang mendesak untuk datang ke ekspo dan mengambil barangan yang selebihnya. Namun sebaik sahaja Sabrina menjejakkan kaki ke ekspo, dia telah ditahan oleh pegawai polis ICA yang mendapat maklumat dari rakannya yang melaporkan Sabrina akan datang ke Singapura pada hari itu.

Pegawai yang hanya menjalankan tugas itu meminta pasport dan kad pengenalannya dan atas ihsan mereka, tidak menggari Sabrina kerana tidak mahu memalukannya.

Sabrina diberitahu bahawa dia perlu dibawa ke balai untuk siasatan lanjut. Menurut beliau, dia tidak dimaklumkan oleh rakannya mahupun pihak penganjur ekspo bahawa barangan tersebut (tiruan) tidak boleh dijual di republik tersebut.

https://twitter.com/oshentalaveya/status/104771594936789811

Sehingga kini Sabrina terpaksa berpindah-randah menumpang saudara atau menyewa hotel bajet. Jika disabitkan kesalahan, dia boleh didenda sehingga SGD30,000 (RM90,000) atau dipenjara 5 hingga 6 bulan.

Sabrina dan suaminya sudah berikhtiar untuk meminta bantuan dari duta dan pihak berkuasa Johor untuk mendapatkan bantuan dari segi kewangan dan mempercepatkan proses kes. Berikut merupakan sedutan FB Live video terkini daripada mangsa.

Individu yang ingin meringankan tanggungan mangsa bolehlah menyalurkan bantuan ke akaun suaminya, Zul Iskandar.