“Sakit gapo abe?” wanita yang umurnya akhir 40-an saya kira di katil sebelah menyapa saya. Manis dan ceria orangnya. Saya tiada mood mahu berbual. Semalam tidak dapat lelapkan mata langsung. Suami meracau-racau dan cuba mencabut segala wayar di tangan dan badan.

“Minor stroke kak,” saya gagahi dengan tiga patah perkataan sahaja.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“Oh! Takpo. Sikit jah tu. Sikit hari lagi comey baliklah tu,” beliau tidak berputus asa untuk berbual panjang. Saya membalas dengan senyuman tawar.

Keesokan harinya ketika saya baru mahu mengatur langkah untuk ke surau menunaikan solat subuh, kelihatan kakak katil sebelah yang membahasakan dirinya sebagai Kak Long berjalan melenggang-lenggok ke katil. Bergaya sekali dengan jubah kain lycra yang mengikut potongan badan, bibir dioles lipstik merah menyala siap bermaskara dan eye shadow berkilat.

Pakcik-pakcik di wad semuanya bagaikan terlibat dengan ‘mannequin challenge’ apabila beliau melintas, kaku belaka mereka apabila melihat liuk-lentok tubuh beliau. Saya segan juga melihatnya. Kurang sesuai bagi saya berpakaian dan berpenampilan sebegitu di hospital.

“Awalnya Kak Long ni bersiap,” saya membebel sendiri. Memang bersemangat orangnya. Lain benar daripada penjaga lain termasuk saya, lesu sahaja kalah orang sakit.

“Adik Kak Long ni umur 35 doh. Tapi tubuh serupo budak sebab dari kecil lagi kena sawan sokmo.”

Terbeliak anak mata saya. Adik! Saya sangkakan anak beliau.

“Oh!” saya kelu, itu sahaja yang mampu otak saya beri arahan pada lidah untuk membalas.

Bagaikan dilempang 44 kali. Saya penuh prasangka kepada Kak Long dek penampilannya. Beliau menjaga adik beliau.

Jika saya di tempat beliau, adik saya sakit, adakah saya akan berkorban masa dan tenaga untuk adik saya? Mahu menjawab soalan sendiri pun lekat di anak tekak. Entah, saya belum pasti.

Kak Long juga ada keluarga yang perlu dijaga di Kota Bharu, suami yang menghidap sakit jantung dan 3 orang anak, salah seorang darinya ‘cancer survivor – cancer tahap 4’.

Tetapi beliau berusaha mengatur masa untuk menjaga adiknya di Hospital Kuala Krai.

“Memang susah Zura sebab Kak Long dok di KB. Suami, anak-anak. Tapi Kak Long tak sampai hati. Ma dengan Abah Kak Long pun dah uzur. Adik-beradik lain jauh.”

Tibanya waktu melawat saya lihat anak-anak Kak Long datang membawa makanan dan begitu mesra sekali serta tidak kekok menguruskan bapa saudara mereka. Beri peluang pada ibu mereka berehat. Anak Kak Long yang pertama belajar di pusat pengajian tinggi, sudah boleh memandu kereta. Ringanlah sedikit beban Kak Long untuk ke sana ke mari.

“Kak Long, saya percaya anak-anak Kak Long bangga dengan Kak Long. Saya percaya dalam diam mereka memerhati dan menghadam ilmu mahal dari Kak Long buat bekalan hari tua mereka nanti,” saya makin selesa dengan beliau.

“Zura pun sama. Kak Long tengok anak Zura kecilk-kecil lagi tapi dah boleh urus abah demo. Budak-budak ni Zura tak cukup dengan cakap saja. Kita kena tunjuk contoh. Hok tu yang akan lebih melekat di hati. Tinggi mana pun pelajaran dan hebat mana pun kerjaya anak kita Zura, kalau pelajaran KASIH ni kita tak dapat semai dalam hati anak-anak… pada Kak Long kita tak berjaya mana sebagai ibu dan bapa. Kita tak tunjuk teladan yang betul sesama adik-beradik kita, esok-esok anak-anak kita pulak ulang benda yang sama sesama demo. Gitulah Zura,” saya terpana dengan ayat-ayat wanita putih melepak ini.

“Saya perantau Kak Long. Keluarga saya di Kedah, tiada pilihan saya kerah anak-anak saya jugalah untuk membantu walau masih kecil,” balas saya sambil tersengih.

“Ya Zura. Kak Long harap anak-anak Kak Long nanti tak lupa yang demo pernah bersusah payah bersama-sama waktu kecil walaupun demo dah kawin nanti. Dah ada isteri, suami dan anak-anak. Kak Long harap anak-anak Kak Long tak lupa pelajaran kasih yang Kak Long serapkan ni. Tak lupa adik-beradik. Tak lupa tanggungjawab dan tak lupa untuk ambil tahu kebajikan adik-beradik,” saya tekun mendengar.

“Kita ni manusia Zura… kita sibuk kejar benda yang kita mahu sampai kita lupa benda yang kita sudah ada lama dengan kita. Kita lahir kita kenal abang, adik kita dulu Zura. Tetapi kebanyakan kita apabila sudah berkahwin adik-beradik kita sendiri tiba-tiba bertukar menjadi orang asing bagi kita. Tiada yang lebih tinggi nilainya Zura selain dari keluarga dan kasih sayang.”

“Percayalah… mak dan ayah kita akan sangat bangga jika ini dapat kita jaga. Zura sendiri sebagai ibu, Kak Long pasti Zura pun akan rasa benda yang samakan?” saya makin bertambah kagum dengan wanita ini, wanita yang awal-awal lagi saya sudah label senget di dalam hati.

“Never let the things YOU WANT make YOU FORGET the things YOU HAVE.”

Pelajaran mata hati di Hospital Kuala Krai.

Azura Abdullah
Look through my words and witness life as I see it. InsyaAllah.