Kisah 24 Februari 2017, aku jadi bodoh sekejap dan lurus bendul pula. Kisahnya, pagi semalam baru sampai pejabat dalam pukul 8.44 pagi dapat panggilan dari nombor ini 03-92018118.

Automatik mesin cakap, “Dear customer, this is a confirmation of RHB credit card centre. You have 1 pending transaction amount of RM3,972.00 with RHB credit card, press 1 to approve, press 5 to repeat and press 9 to operator assistant”.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Memandangkan aku memang tak ada apply credit card dengan bank RHB pun, aku pun tekan 9 untuk cakap dengan operator. Selepas tekan 9, terus automatic machine cakap lagi.

“Selamat datang ke kumpulan perbankan RHB. Sila tunggu, agen perkhidmatan kami akan melayan anda sebentar lagi,” ulang 3-4 kali suara itu. Aku pun sabar menunggu dan selepas itu panggilan aku itu pun dijawab oleh sorang lelaki Cina.

“Good morning RHB bank service centre. How can i assist you?” Aku pun cakaplah dapat panggilan dari bank RHB untuk confirmation 1 pending credit card transaction amount RM3,972.00 sedangkan aku memang tak ada pun kad kredit RHB.

Jadi, mulanya aku ingat bank RHB ini salah call number kot. Nak telefon orang lain tapi call number aku pula. Selepas itu orang cina itu pun minta nombor kad pengenalan dan nama aku untuk dia periksa dalam sistem.

Selepas dia check dia cakap, “Ya encik, ada 1 transaction telah dibuat di City Chan KLIA2 menggunakan credit card nama encik amount RM3,972.00.”

Terus aku cakap pada dia tolong reject transaction itu, block dan cancel terus kad itu. Aku ada di pejabat di Cyberjaya sekarang ini. Aku tak pernah apply pun credit card RHB.

Selepas dia cakap, “OK encik, saya dah reject transaction tu dan block untuk next transaction.” Selepas itu dia cakap dia tak boleh batal kad itu sebab dah ada outstanding amount RM8,236.80.

Dia kata, “Kalau encik tak pernah apply credit card RHB, maknanya butir-butir peribadi encik telah dicuri.” Dia nasihatkan pada aku untuk buat report di Bahagian Laporan Bank Negara Malaysia.

Kemudian, dia bagi detail kad kredit RHB itu untuk memudahkan aku buat laporan. Kad encik telah di-apply di kaunter promosi Lot 10, Jalan Bukit Bintang. Nombor kad 4570 6663 8415 5009.

Selepas itu dia terus bagi nombor BNM pada aku 1-800-818-548. Aku pun ucap terima kasih pada dia, memudahkan kerja aku nak cari nombor BNM. Aku pun tanya nama encik sapa? Dia jawab, “Nama saya Wong Chee Wai No. Pass 806681.” Aku ucap terima kasih sekali lagi pada dia dan letak telefon.

Aku pun terus telefon nombor yang dia bagi tadi itu. 1-800-818-548. Automatic machine yang jawab. “Terima kasih kerana menghubungi Bank Negara Malaysia Telelink. Untuk makluman anda, panggilan anda akan dirakamkan. Sila tekan 1 utk perbankan, tekan 2 untuk insurans, tekan 3 untuk pentadbiran tukaran asing, tekan 4 untuk perkara berkaitan laporan kredit, tekan 5 untuk perusahaan kecil dan sederhana tekan 6 untuk hal-hal lain.”

Aku pun tekan 6, dan seorang lelaki Cina jawab panggilan aku. “Selamat pagi, bahagian laporan. Aku pun ceritalah pada dia pasal kes aku tu. Dia cakap dia akan ambil report dan nanti kes aku ini akan disiasat oleh pegawai penyiasat.

Masa nak buat laporan ini, dia cakap aku kena ikut prosedur dia, panggilan ini akan dirakam dan tak boleh dengar bunyi bising, dan aku tak boleh cerita pada sesiapa selagi siasatan belum selesai.

Start masa ini dia tanya pasal detail banking aku. Dia cakap nama dia Thong Kar Meng. Number pass RF/99171. Dia tanya aku ada buka akaun bank mana, debit/credit card, personal loan, tabung haji, ASB dan investment unit trust.

Aku pun main bagi saja detail semua itu kecuali nombor akaun Tabung Haji dan ASB sebab buku ada di rumah. Sepanjang perjalanan siasatan kes ini, dia cakap semua deposit banking akan dijamin oleh insurans PIDM.

Selepas itu dia cakap, akaun bank dan debit/credit card aku dibekukan dan kalau aku nak buat transaction kena telefon dan beritahu mereka dulu takut orang lain yang buat transaction. Aku pun OK sajalah.

Dah habis buat report, dia bagi nombor report pada aku. WP/204271/17-BNM dan kes aku akan disiasat oleh pegawai mana tak tahu lagi. Dia suruh aku tunggu panggilan saja. Aku pun cakap, hari ini sembahyang Jumaat. Nak call pun lepas sembahyang Jumaat la. Dia cakap OK.

Lepas sembahyang Jumaat, masa di kedai makan pukul 2.41 petang aku dapat panggilan dari nombor 1-800-818-549. Dia memperkenalkan diri dia officer Soo Chin Hong dari BNN yang megendalikan kes aku.

Dia cakap hasil siasatan memang ada kes fraud credit card. Dia nasihatkan aku supaya pergi mesin duit Bank Islam yang terdekat untuk update barcode pin number sebab aku ada saving dalam itu. Dia cakap, nanti kalau dah sampai, telefon dia. Dia akan guide aku cara nak update.

Aku pun terus gerak ke mesin duit Bank Islam Cyberjaya. Dah sampai, aku pun telefon dia dulu. Dia cakap, sebelum buat proses itu, aku kena ikut beberapa prosedur dulu.

Yang pertama, aku kena fokus dekat ATM machine sahaja, yang kedua, kalau keluar apa-apa slip, aku kena simpan, dan yang ketiga, kalau ada orang belakang atau kawan ganggu, jangan layan lagi. Fokus dekat ATM dulu.

Aku pun yakin masuk terus ke mesin ATM untuk masuk kad dan pin, selepas itu ikut arahan dia, dia suruh pilih English supaya memudahkan kerja dia nak guide aku.

Aku pun layan, ikut punya ikut, dia suruh periksa baki. Selepas itu keluar slip. Dia suruh baca amount dari belakang ke depan. Aku pun layan.

Seterusnya, ikut arahan dia, tengok-tengok dia suruh upgrade transfer limit pilih yang maksimum RM30,000.00. Aku pun layan. Duit aku tak ada sampai banyak itu.

Selepas ikut lagi arahan dia, tengok-tengok dia pilih instant transfer ke RHB. Layan lagi, keluar nombor akaun, dia suruh aku masukkan kod. Dia cakap ini bukan nombor akaun tapi nombor kad. Dia suruh masukkan kod 11820000088212.

Terus keluar nama Mohd Afiq. Dia cakap ini pegawai RHB yang urus kes aku. Aku layan lagi, keluar suruh masukkan amaun, dia minta masukkan kod. Aku pun layan, tengok-tengok dia beri nombor kod sama macam baki aku.

Aku dah pelik, tapi aku layankan juga sebab aku tau kalau transfer pun mesti reject sebab at least nak kena ada baki dalam akaun aku baru lepas transaction itu.

Then dia suruh tekan confirm, aku pun tekan. Keluar slip, memang rejected lah. Aku cakap pada dia, rejected, dia cakap pada aku. “You ada salah masukkan code number kot“.

Dia suruh ulang lagi proses yang sama kali kedua. Sama juga, rejected. Aku macam terpukau jadi bodoh kejap. Kali ketiga dia suruh try, aku layan lagi, selepas itu aku perasan dia kurangkan kod itu supaya baki aku tinggal RM20.00.

Aku masukkan juga, then keluar di skrin ‘Proceed’ atau ‘Cancel’. Then aku cakap pada dia, aku tak nak tekan ‘Proceed’. Aku nak telefon Bank Negara dulu. Dia dah mula berkeras suruh aku tekan juga. Terus aku tekan ‘Cancel’ dan matikan telefon.

Aku terus masuk dalam Bank Islam jumpa pegawai di depan itu nak minta nombor telefon Bank Negara. Dia tanya kenapa encik, aku pun ceritalah benda apa yang dah jadi pada aku.

Dia tanya, “Encik dah transfer ke?” Aku cakap tak. Dia cakap, “Alhamdulillah, tu semua scam encik.” Berpeluh kejap aku.

Bersyukur sangat Allah masih lagi memelihara aku daripada terkena tipu semalam. Aku rasa macam kena pukau pun ada. Modus operandi mereka memang sangat licik.

Yang pada awalnya kata ada orang guna kad kredit RHB atas nama aku itu semua tipu saja. Dah tak pasal-pasal semalam juga aku block semua debit/credit card aku dan buat replacement baru.

Buat sudara-mara ku; sahabat-handai ku, rakan-rakan FB atau sesiapa saja, hati-hatilah dengan sindiket ini. Licik sangat.