Selepas dokumentari mereka “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” mula tular sejak minggu lalu, agensi berita antarabangsa Al Jazeera pada semalam akhirnya mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu di laman mereka.

Dalam kenyataan bertarikh 9 Julai itu, pihak Al-Jazeera menjelaskan mereka menolak dakwaan oleh pihak berkuasa negara ini yang menyatakan laporan mereka sebagai tidak tepat, mengelirukan dan tidak adil.

Bukan sahaja menafikan dakwaan tersebut, malah pihak Al Jazeera turut menyatakan kebimbangan mereka terhadap keselamatan kakitangan mereka di negara ini susulan dokumentari tersebut yang tular sebelum ini.

Menurut Al Jazeera, kakitangan mereka di Malaysia telah menjadi sasaran gangguan dalam talian termasuk beberapa ugutan dan pendedahan maklumat peribadi mereka di media sosial.

Risau keselamatan mereka yang terlibat

“Al Jazeera juga mempunyai kebimbangan berkaitan gangguan dalam talian yang dihadapi pekerja kami.

“Wartawan kami telah menjadi sasaran mesej kesat serta ugutan bunuh,” jelas kenyataan tersebut.

Selain bimbang dengan keselamatan pekerja mereka, Al Jazeera juga turut menyatakan kebimbangan mengenai keselamatan individu-individu yang telah ditemu bual dalam dokumentari itu sebelum ini yang turut melalui gangguan di atas talian.

khabir
Antara individu yang ditemubual dalam laporan Locked Up In Malaysia Lockdown

Dokumentari yang tular itu sebelum ini membuat laporan penyiasatan kenapa pandemik COVID-19 telah memaksa pekerja asing di negara ini bersembunyi.

Antara yang ditemubual bagi memberikan gambaran mengenai apa yang berlaku adalah beberapa orang pekerja asing yang berada di dalam negara.

Walaupun laporan mereka dipersoalkan oleh netizen dan juga pihak berkuasa, namun Al Jazeera menolak dakwaan yang telah dilemparkan dan pada masa sama meminta agar pihak berkuasa negara ini menghormati kebebasan media dan berhenti menganggap wartawan mereka sebagai penjenayah.

“Seperti yang dinyatakan dengan jelas dalam dokumentari tersebut, Al Jazeera mengiktiraf tindak balas yang dilakukan Malaysia berjaya menghentikan penularan virus COVID-19.

“Program itu juga dengan jelas menunjukkan usaha yang dilakukan beberapa organisasi di Malaysia yang menyediakan bantuan secara langsung kepada warga asing yang memerlukan,” jelas mereka lagi.

Laporan Al Jazeera itu sebelum ini menerima reaksi negatif daripada netizen dengan rata-rata berpendapat apa yang dipaparkan sebagai kurang tepat. Baca beberapa perkongsian kami mengenainya sebelum ini di pautan di bawah. 

Laporan Salah Al Jazeera Bangkitkan Kemarahan Rakyat Malaysia

Netizen Meluat Lelaki Bangladesh Ini Cuba Raih Simpati Walaupun Mengaku Mereka Adalah PATI

Sumber