Wall climbing ataupun rock climbing merupakan aktiviti sukan memanjat yang berisiko tinggi. Jika tersilap langkah, anda berkemungkinan akan terjatuh sehingga menyebabkan kecederaan serius yang boleh meragut nyawa.

Namun begitu, lain pula ceritanya bagi Alain Robert, kini berusia 58 tahun, seorang pemanjat solo kelahiran Perancis yang lebih gemar melakukan aksi ngeri memanjat dinding bangunan pencakar langit tanpa menggunakan sebarang bantuan peralatan keselamatan.

20 tahun berlatih memanjat gunung tanpa tali

BeFunky-collage (57)
Sumber: Guinness World Record

Berdasarkan laporan Forbes, Alain telah menghabiskan masanya hampir 20 tahun hanya untuk mempelajari teknik memanjat tanpa tali. Difahamkan, Beliau menjalani latihan memanjat di sebuah kawasan pergunungan sebelum memulakan aktiviti memanjat bangunan.

“Untuk berjaya ke tahap ini bukannya mudah. Dahulunya pada 1982, saya pernah koma selama lima hari di hospital disebabkan saya terjatuh semasa memanjat tebing gunung setinggi 50 kaki (16 meter). Pergelangan lengan dan lutut saya patah dan doktor mengesahkan bahawa saya tiada peluang untuk memanjat lagi namun itu semua tipu belaka.

“Saya mula terjebak dalam hobi memanjat bangunan ini disebabkan saya telah dibayar oleh sesebuah syarikat tempatan yang ingin melihat aksi saya memanjat bangunan.

“Bagi yang belum tahu, bangunan Citicorp Center, Chicago merupakan bangunan tinggi pertama yang saya panjat dan ia bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai bahawa berada di bangunan yang tinggi bukannya tempat yang perlu kita takutkan,” ujar Alain.

Berjaya menawan Empire State Building dan Eiffel Tower

Berikutan itu, nama Alain Robert mula menjadi sebutan khalayak sebaik sahaja beliau berjaya memanjat bangunan pencakar langit Empire State Building (381 meter) di Amerika Syarikat dalam masa 20 minit pada tahun 1994. Alain kemudiannya berjaya pula menawan ketinggian menara ikonik Eiffel Tower (324 meter) di negara kelahirannya Perancis pada 1996.

Digelar sebagai Spiderman Perancis

BeFunky-collage (55)
Sumber: Telegraph UK

Persis superhero Spiderman yang mempunyai kuasa memanjat dinding, begitu juga Alain yang digelar Spiderman Francis disebabkan costume Spiderman yang pernah beliau pakai ketika memanjat Jin Mao Building di China pada 2007.

Tidak cukup Eiffel Tower, Alain Robert kemudiannya lebih ghairah untuk menawan kesemua bangunan tertinggi di dunia. Terbukti sehingga kini, beliau telah berjaya memanjat lebih 100 bangunan pencakar langit termegah di dunia antaranya GT Tower di Filipina, Deutsche Bahn Tower di Jerman, Taipei 101 di Taiwan, Sears Tower, Amerika Syarikat, Sydney Tower, Australia termasuk Menara Berkembar 88 tingkat Petronas setinggi 452 meter pada September 2009.

Menceroboh Menara Berkembar Petronas

Khabarnya, tanpa pengetahuan dan permit kebenaran oleh pihak berwajib, Alain (pada ketika itu berusia 47 tahun) menceroboh dan memanjat Menara Berkembar Petronas sehingga sampai ke puncak menara yang berbentuk seperti jarum jika dilihat dari jauh.

Tanpa rasa gentar, Alain dengan beraninya berdiri di atas pengunjung puncak menara yang berbentuk bulat yang pastinya kecut perut dibuatnya. Jika malang tidak berbau, tindakan beliau tersebut boleh meragut nyawa seandainya dia tergelincir lalu terjatuh ke bawah.

Tindakan Alain itu berjaya dikesan oleh pengawal keselamatan yang bertugas. Alain kemudiannya disuruh turun semula ke bawah dan ditangkap oleh pihak polis ibu pejabat Dang Wangi berhubung kesalahan cubaan membahayakan diri. Beliau dikenakan denda sebanyak RM2,000 seperti yang dilaporkan The Guardian.

Menawan Burj Khalifa di UAE

Selang dua tahun kemudian, Alain (49 tahun) sekali mencipta sejarah dan beliau berjaya menawan menara paling tertinggi di dunia ketika ini iaitu Burj Khalifa (830 meter) di Dubai, UAE pada 28 Mac 2011. Menurut The World, Alain mengambil masa lebih daripada enam jam untuk sampai ke puncak. Namun, disebabkan menara ini terlampau tinggi, pihak penganjur menyarankan beliau supaya menggunakan tali dan tali pinggang harness untuk keselamatan diri.

Menurut sumber, pendakian menara itu bukan sahaja untuk kepuasan Alain untuk dinobatkan sebagai ‘Pemanjat Bangunan Ikonik Terpantas’ Guinness World Record malahan ianya juga bertujuan untuk menarik perhatian para pelajar tempatan untuk berkunjung ke acara Education Without BordersĀ di Dubai. Seramai 2,000 orang pelajar telah dilaporkan hadir untuk memeriahkan acara tersebut di samping melihat aksi ngeri Alain.

BeFunky-collage (56)
Sumber: Reuters

“Saya mengadakan pertunjukan ini bukan sahaja demi kepuasan diri bahkan saya ingin memberikan inspirasi kepada para pelajar bahawa menuntut ilmu itu sememangnya tiada sempadan waktu dan perlu menempuhi pelbagai cabaran untuk sampai ke puncak kejayaan.”

Memandangkan pandemik yang berlangsung ketika ini, Alain kini tidak boleh lagi melakukan hobi memanjat bangunan itu kerana beliau khuathir sekiranya berlaku perhimpunan yang tiada penjarakan sosial di saat penonton menyaksikan persembahan beliau memanjat bangunan. Alain kini difahamkan sedang terkandas bersama ahli keluarganya di Bali, Indonesia.

“Sekiranya pandemik sudah pulih, bukan lagi bangunan tinggi tetapi sebaliknya Gunung Everest pula yang akan menjadi sasaran tawanan saya yang seterusnya.”

Kehebatan Alain memanjat bangunan di usia veteran ini sememangnya tidak dapat dinafikan dan betul kata orang bahawa ‘otai masih berbisa’. Sebenarnya, lebih banyak perlu diceritakan mengenai kisah inspirasi Alain Robert ini. Jika anda ingin mengetahui lebih banyak mengenai beliau, silalah menonton video dokumentari Alain Robert menerusi perkongsian pautan YouTube di bawah.

Gara-gara tidak tahan dengan karenah isteri, lelaki ini tertekan dan tidak mahu turun setelah membawa diri memanjat menara. Klik pautan di bawah untuk membacanya.

Muak Dengan Kerenah Isteri, Lelaki Ini Bawa Diri Panjat Menara Dan Tidak Mahu Turun

Risau Jadi Trend Panjat ‘Roundabout Elmina’, Netizen Berang Dengan Sikap Geng Basikal

Tonton Betapa Lajunya Atlet Perempuan Indonesia Ini Memanjat Dinding