Walaupun mempunyai bentuk yang seakan sama dengan buluh, namun tin minuman bukanlah peralatan yang sesuai untuk memasak lemang.

Isu memasak lemang dalam tin minuman kembali hangat diperkatakan selepas terdapat hantaran-hantaran di media sosial yang berkongsikan cara tersebut sebelum ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Perkara itu menurut Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan boleh menyebabkan bahan makanan yang dimasak bertindak balas dengan bahan kimia dalam tin pada suhu panas.

Penjelasan pakar kimia

Malah perkara itu turut diakui sendiri ahli kimia, Dr Fatimah Salim seperti dipetik portal OhBulan pada semalam.

Menurut beliau amalan tersebut tidak digalakkan kerana bahan pembuatan tin seperti aluminium merupakan sejenis logam yang reaktif.

“Haba memasak yang tinggi dan pendedahan yang berterusan akan menyebabkan bahan masakan bertindakbalas dengan bahan kimia binaan tin ini,” jelasnya.

Walaupun menyedari ada peralatan memasak yang diperbuat dari aluminium, ia jelasnya adalah berbeza dengan tin minuman.

Ini kerana peralatan memasak mempunyai satu lapisan aluminium oksida (Al2O3) yang sangat stabil dan bertindak sebagai selaput penghalang hakisan aluminium ke dalam minuman atau makanan kita sekiranya tidak dikikis semasa mencuci.

“Jika ada yang masih lagi berhasrat juga untuk menggunakan tin aluminium ini untuk memasak lemang, kesan tindakbalas ini mungkin boleh dikurangkan dengan pembentukan lapisan oksida tadi.

“Caranya ialah dengan mendidihkan air beberapa kali dalam bekas ini sehinggalah lapisan oksida ini terbentuk yang mana boleh dilihat dengan jelas,” kongsinya.

Walaupun ada sesetengah yang menegaskan mereka menggunakan daun pisang sebagai pembalut, namun menurutnya kita tidak mengetahui berapa banyak aluminium yang terhakis dan berapa kapasiti serapan daun pisang itu.

“Ingat, komposisi bahan binaan tin tidak sama dengan periuk memasak aluminium walaupun bahan utamanya adalah sama.

“Dan fikirkan juga kebarangkalian bahan-bahan kimia lain yang terhakis daripada cat dan tulisan pada tin itu lalu menjadi perisa tambahan kepada lemang,” tambahnya.

Secara konklusinya, amalan memasak lemang dalam tin aluminium menurut beliau adalah tidak selamat dan tidak digalakkan.

Jadi, kepada anda yang berkira-kira untuk mencuba resipi memasak lemang dalam tin mungkin anda boleh menunggu sehingga PKP tamat di mana kita boleh mendapatkan buluh lemang yang asli.

Dengan menggunakan buluh makanan kita bukan sahaja selamat tapi sudah pastinya keunikan dan keenakan rasa tradisional lemang itu sendiri dapat dikekalkan.

Masih tercari-cari menu yang menarik untuk dicuba bersama keluarga sepanjang PKP ini, apa kata anda lihat perkongsian resipi yang dikongsikan kami sebelum ini di pautan di bawah. 

Resipi Ayam Gunting Yang Sedap Dan Mudah Untuk Dicuba Penggemar Uncle Bob Ini Raih 4.6K ‘Shares’

Lebih 12K ‘Shares’, Ini Resipi Roti Mexican Ala Roti Boy Yang Gebu Dan Lazat

Persis Beli Di Bazar Ramadan, Ini Resipi Murtabak Daging Yang Padat, Sedap Dan Ringkas

Sumber