Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Pada Isnin lalu, dua bekas pegawai penjara dan seorang penyelia penjara Oklahoma County dituduh menyiksa banduan penjara di sana.

Semasa berkhidmat sebagai pegawai penjara, Gregory Cornell Butler Jr. dan Christian Charles Miles telah bertindak menyiksa tahanan dengan mengikat mereka di dinding dan memaksa mereka mendengar lagu ‘Baby Shark’ tanpa henti selama dua jam.

Tujuan mereka melakukan perkara tersebut adalah untuk mengajar para tahanan kerana bagi mereka, tindakan tatatertib yang diberikan sebelum ini tidak cukup untuk memberi pelajaran kepada para tahanan, lapor Lad Bible.

Difahamkan, terdapat sekurang-kurangnya empat banduan yang menerima hukuman ini pada bulan November-Disember tahun lalu. Banduan itu dibawa ke bilik peguam dan dipaksa berdiri dengan tangan diikat sebelum dipaksa mendengar lagu Baby Shark selama dua jam.

“Malangnya, saya tidak dapat menemukan undang-undang yang sesuai untuk jenayah ini,” kata Peguam Daerah David Prater kepada The Oklahoman. “Saya rasa [pelaku] harus dihukum.”

Polis Daerah Oklahoma County pula menyatakan bahawa mereka mula menerima laporan berkenaan kes ini sejak awal Disember lalu. Setelah siasatan dalaman dijalankan, dua pegawai penjara tersebut telah digantung kerja sebelum mereka memilih untuk berhenti pada akhir Disember 2019.

Christopher Raymond Hendershott, 50, yang bertugas sebagai penyelia penjara pula dikatakan menyedari mengenai kes tersebut. Namun dia dilaporkan tidak mengambil apa-apa tindakan kerana baginya, seksaan yang dilakukan oleh dua pegawai tersebut baik untuk mendisiplinkan tahanan.

“Baby Shark” dipopularkan oleh Pinkfong pada tahun 2016. Lagu dengan mesej pendidikan untuk kanak-kanak telah menjadi fenomena pada tahun tersebut. Klip videonya pula kini telah dilihat hampir tujuh bilion orang di YouTube.

Ini bukan kali pertama “Baby Shark” digunakan sebagai bentuk penyeksaan di Amerika Syarikat. Tahun lalu, pegawai di Florida memainkan lagu itu dengan lantang di khalayak ramai untuk mengusir para gelandangan yang sedang tidur di tepi jalan.

Untuk bacaan lanjut, klik pautan di bawah.

Lagu ‘Baby Shark’ Berjaya Menduduki Carta Billboard Hot 100

YouTube Rewind 2018 Direkodkan Sebagai Video Kedua Menerima ‘Dislikes’ Tertinggi

Lagu ‘Bobo Di Mana’ Tersenarai Sebagai Lagu Paling Trending Di Google Malaysia

Anda Mungkin Suka