Top Glove Corp Bhd hari ini mengesahkan bahawa pihak Kastam dan Perlindungan Sempadan AS(CBP) semalam telah mengeluarkan perintah penahanan terhadap sarung tangan buatan anak syarikatnya iaitu Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd.

Perintah ini dilihat bertujuan untuk menghentikan pengimportan barang dari syarikat pembuat sarung tangan perubatan terbesar dunia yang disyaki terpalit dengan isu buruh asing, lapor Free Malaysia Today.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Tindakan dari pihak kastam AS dilakukan ketika mana permintaan untuk sarung tangan medis dan alat pelindung sedang melonjak naik disebabkan pandemi COVID-19, terutamanya di AS yang terkesan teruk dengan wabak ini.

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Top Glove mengatakan pihaknya telah menghubungi CBP untuk memahami masalah ini dengan lebih baik dan berusaha untuk menyelesaikannya dengan cepat dalam jangka masa dua minggu, lapor The Edge Report.

Dalam kenyataan terbabit, Top Glove menyatakan bahawa penahanan ini kemungkinan mempunyai kaitan dengan isu buruh asing dan juga yuran pembayaran retrospektif.

Tahun lalu, CBP mengambil tindakan serupa terhadap pembuat sarung tangan dari Malaysia, WRP Asia Pacific Sdn Bhd. Perintah penahanan terhadap import barang WRP dicabut pada bulan Mac.

Penggunaan sarung tangan dijangka melonjak lebih dari 11% hingga 330 bilion tahun ini, dua pertiga daripadanya kemungkinan akan dibekalkan oleh Malaysia, menurut persatuan pengeluar sarung tangan getah Asia Tenggara.

Top Glove mengatakan dalam taklimat bulan lalu bahawa ia mencapai pertumbuhan yang tiada tandingan, didorong oleh peningkatan permintaan dari hampir semua negara.

Terdahulu, Amerika Syarikat telah menarik balik pengharaman sarung tangan getah Malaysia akibat daripada kekurangan bekalan, klik pautan di bawah untuk membaca.

Akibat Kekurangan Bekalan, Amerika Syarikat Tarik Balik Pengharaman Sarung Tangan Getah Malaysia

Tempahan Tanpa Henti Hingga April 2021, Top Glove Bakal Muncul Lima Saham Teratas Bursa