Setelah hampir setahun, peniaga-peniaga di pusat membeli belah Ampang Park terpaksa akur dengan keputusan mahkamah yang menolak rayuan mereka untuk terus beroperasi di Ampang Park. Dengan keputusan mahkamah ini, Ampang Park bakal dirobohkan untuk memberi laluan pembinaan stesen Mass Rapid Transit Lembah Klang (MRT) Ampang Park yang baharu.

Pada 8 Jan tahun lepas, 39 pemilik premis perniagaan dan penyewa Pusat Membeli-Belah Ampang Park memfailkan tindakan undang-undang untuk membatalkan kelulusan merobohkan pusat membeli-belah itu untuk memberi laluan bagi pembinaan laluan pejalan kaki bawah tanah menghubungkan stesen MRT yang baharu ke stesen Transit Rel Ringan (LRT) Ampang Park.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Permohonan mereka ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 30 Jun tahun lepas selepas mahkamah memutuskan bahawa pengambilan tanah dilakukan dengan sempurna dan mengikut undang-undang, antaranya Akta Pengambilan Tanah 1960. Untuk berita lanjut berkenaan kes ini, anda boleh klik di sini.

Dalam petikan berita Astro Awani October lalu, pemilik premis pusat beli belah Ampang Park menggesa kerajaan membayar pampasan RM5 juta untuk satu lot perniagaan sekiranya cadangan pembinaan Stesen MRT Laluan Selayang-Putrajaya diteruskan. Penasihat Persatuan Peniaga 1Malaysia Ampang Park (Peniaga Dan Pemilik), Dr Dzulkhaini Hussain berkata nilai yang ditetapkan oleh 253 pemilik premis itu setimpal dengan kerugian yang terpaksa ditanggung sekiranya mereka terpaksa berpindah.

Dengan berakhirnya kisah pengambilan tanah ini, ianya nyata memberi dua jawapan kepada umum, roboh atau kekal? Serba sedikit tentang sejarah Ampang. Dibangunkan oleh Low Keng Huat Brothers Realty Sdn Bhd, dan mula dibuka pada tahun 1973 dan Ampang Park merupakan shopping mall pertama yang dibuka di Malaysia.

Saya bukan anak jati Kuala Lumpur dan pandangan saya mungkin tidak begitu valid di mata penduduk asal Kuala Lumpur. Jujur kali terakhir saya jejakkan kaki ke Ampang Park adalah sekitar 3 tahun lepas atas urusan makan malam di restoran Cozy Corner. Selain restoran ini (dan McDonald’s di luar), seperti tiada sebab untuk saya melangkah ke Ampang Park.

Jadi saya sempat mencari responden untuk bertanyakan tentang hal ini. Saudari Amni Zahra yang bekerja sebagai penulis sambilan berpendapat Ampang Park bukanlah tempat pilihan untuk membeli-belah kerana baginya, barangan yang dijual di sana agak mahal walaupun kedainya biasa-biasa sahaja. Cuma jika ke Ampang Park, beliau akan singgah makan di salah satu restoran di sana.

Bagi saudara Al Azhar Soo pula, memori dengan Ampang Park agak tebal. Beliau berkongsi kisah di tahun 2009 sewaktu menjelang hari raya, Ampang Park adalah lokasi beliau membeli telefon bimbit pertamanya. Ketika itu barangan di Ampang Park semuanya murah-murah lagi. Dan sama pendapat seperti Amni, McDonalds dan pusat karaoke adalah tumpuan orang ramai jika ke sana.

Tambah Azhar, ianya keputusan yang betul untuk merobohkan Ampang Park seandainya ia untuk kemudahan orang awam. Tambahan lagi dengan shopping mall yang ada di sekelilingnya, agak sukar untuk Ampang Point bersaing dan bertahan.

Terbaca juga komen-komen di laman Facebook Kita Malaysia berkenaan isu ini. Rata-rata berkongsi kisah suka dan duka mereka membesar dan membeli belah di Ampang Park. Saya tertarik dengan komen yang dibuat saudara Aizat Azim Abd Razak.

“Ianya tidak mempunyai rekaan hebat seperti Harrods dan jika dipandang dari sudut sentimental, ya tetap ada tetapi hanya untuk penduduk tempatan. Pembangunan ini adalah untuk MRT yang akan menyenangkan jutaan pengguna di masa hadapan. Janganlah kita jadi terlampau selfish,” katanya.

Ahad lalu saya sempat ke Grand Mile Complex di Singapura, antara shopping mall terawal di Singapura. Ianya dibina hampir sama waktu dengan Ampang Park. Jika dibandingkan Grand Mile ini dengan shopping complex lain yang lebih moden di Singapura, saya rasa pelancong pun akan datang singgah sekali sahaja. Tempatnya outdated dan agak ghetto. Kedai di dalamnya pun sudah dikuasai orang Thai dan Grand Mile kini lebih dikenali sebagai Little Thailand bagi orang di Singapura.

Perasaan outdated itu anda dapat rasa andai melangkah ke Ampang Park. Sama seperti saudara Aizat, sekiranya perlu dimusnahkan untuk keselesaan di masa akan datang, ianya adalah keputusan yang tepat.

Sebelum Ampang Park ditutup, sementara masih ada masa bolehlah membuat lawatan terakhir ke kedai-kedai favourite anda di sini. Saya yakin kedai-kedai otai seperti Cozy Corner tidak mempunyai masalah untuk beroperasi di tempat lain kerana mereka sudah ada pelanggan tetap mereka yang tersendiri.

Selamat maju jaya buat semua pemilik premis di Ampang Park dan semoga mendapat pampasan yang setimpal daripada pihak yang berwajib. Apa kenangan dan memori paling indah anda bersama Ampang Park?