Buli bukanlah budaya yang baik. Buli juga akan meninggalkan kesan kepada emosi dan mental seseorang. Buli juga akan membawa kepada banyaknya kes bunuh diri yang saban hari sudah menjadi solusi mudah bagi orang yang dibuli – kerana dengan ini, bagi mereka, akan menghentikan semua masalah yang dialami.

Dalam satu kes terbaharu yang berlaku di Temerloh, Pahang. Keluarga pelajar telah membuat tuntutan undang-undang ke atas sekolah kerajaan bagi kejadian buli yang dialami oleh anak mereka ketika berada di sana.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Keluarga pelajar itu menuntut lebih daripada RM2 juta dalam usaha untuk mendapatkan keadilan bagi anak perempuan mereka yang dibuli ketika bersekolah di sana.

Zaiton Yusoff berkata kepada The Star, anaknya yang berusia 16 tahun, bongsu dari empat adik beradik itu telah mengalami trauma dan tekanan perasaan setelah dibuli di SMK Seberang Temerloh tahun lalu.

“Dia kini terpaksa berjumpa dengan psikiatri dan psikologi di sebuah hospital kerajaan setiap bulan dan telah diberi ubat untuk membantu mengatasi masalah emosinya,” kata Zaiton, ibu berusia 52 tahun yang ditemani oleh peguamnya, Wan Azliana Wan Adnan.

Tambahnya lagi, anak perempuannya dulu adalah pelajar yang bersemangat dan cerdas di sekolah sebelum dia dibuli dan diserang oleh rakan ketika Tingkatan Tiga, Julai tahun lalu.

“Selepas kejadian itu, keluarga saya berpindah ke Selangor untuk meninggalkan kenangan buruk tersebut,” kata Zaiton.

Dia memberitahu kepada media bahawa tindakan saman yang dibuat olehnya, selain daripada menuntut keadilan, dia juga mahu menunjukkan bahayanya aktiviti buli yang dilakukan oleh para pelajar ke atas pelajar yang lain.

Keluarga tersebut memutuskan untuk menuntut keadilan terhadap beberapa pihak yang terkait dengan kes tersebut – antaranya adalah pengetua SMK Seberang Temerloh, ketua pengarah pendidikan serta kerajaan Malaysia di Mahkamah Tinggi Temerloh.

Dia menuntut ganti rugi am sebanyak RM1.5 juta, ganti rugi teladan RM300,000, ganti rugi tambahan RM300,000, kos undang-undang dan kos lain yang difikirkan sesuai dan perlu oleh mahkamah.

Fakta Kes

Menurut fakta kes, pada 11 Julai 2019, defendan pertama telah mengusik dan mengganggu plaintif di premis sekolah dan kemudian ketika mereka berada di dalam kelas sejarah, dia bertindak melemparkan “bola kertas” dan sebatang pen ke arahnya kira-kira jam 11 pagi.

Setelah sesi pelajaran selesai, dia didakwa menampar plaintif dengan tapak tangan yang dipenuhi dakwat dan memegang wajah mangsa serta menarik tudungnya. Defendan pertama juga didakwa menumbuk dada, perut dan kaki plaintif serta meramas payudaranya.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif menuduh defendan kedua dan ketiga gagal menjalankan tanggungjawab mereka untuk menjaga keselamatannya ketika berada di premis sekolah.

Dia juga mendakwa bahawa defendan kedua dan ketiga gagal memberitahu ibu bapa plaintif mengenai kejadian itu sebaik sahaja ia berlaku dan juga tidak melakukan tindakan yang sewajarnya terhadap defendan pertama.

Menurut pernyataan tuntutan, gadis itu mengalami kecederaan pada tulang rusuk, paha kiri, mata, lengan dan leher serta mengalami trauma. Gadis itu juga harus dimasukkan ke wad psikiatri untuk pemerhatian.

Zaiton dalam satu kenyataan mengatakan bahawa mereka tidak mengajukan tuntutan itu demi untuk mendapatkan wang, tetapi mahu menuntut keadilan buat anak perempuannya, yang kini menjadi sangat agresif dan mampu untuk merosakkan diri sendiri serta telah enggan untuk bersekolah.

Terdahulu seorang guru di Korea Selatan telah dipenjara selama 10 bulan selama bertindak membuli pelajarnya sehingga maut. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Guru Dipenjara 10 Bulan Selepas ‘Buli’ Pelajar Sehingga Maut

Diminta Tutup ‘Channel’ Dan Berhenti Kongsi Resipi, Netizen Dakwa Sugu Pavithra Dibuli Di YouTube

Sumber