Nota Editor: Baru-baru ini ramai ibu bapa berkongsi keputusan UPSR anak masing-masing. Ada yang bersyukur, ada yang merungut dan ada yang kecewa. Ini pula perkongsian seorang ibu yang mempunyai anak kategori “lambat” yang akhirnya telah berjaya menjadi seorang doktor. Dengan izin Dr. Norizah Ardi, kami kongsikan semula perkongsiannya di sini.

Seorang staf saya beritahu esok anaknya akan menduduki ujian kelayakan masuk darjah 1.

Tiba-tiba teringat 18 tahun yang lalu, anak sulung kami masuk darjah 1 dan dimasukkan ke kelas paling corot kerana tak tahu membaca dan menulis masa masuk darjah 1 tu.

Lepas 4 bulan, suami saya dipanggil oleh guru kelas anak, katanya:

“Anak encik sahaja yg tak boleh membaca dan lambat menulis dalam kelas ini. Semua pelajar lain sudah pandai membaca! Saya tidak akan mengajar dia membaca. Encik ajarlah sendiri sampai dia boleh membaca!”

Sedih sungguh kami waktu itu. Sudahlah masa hari terakhir tadika, saya terdengar guru tadika bercakap pada rakannya:

“Mak bapak budak ni pensyarah, tapi anak bukan main slow lagi! 3 tahun di sini tak pandai-pandai juga membaca!”

Sedih sungguh rasanya waktu itu! Bayar yuran tadika bukan sikit.

Masa itu terfikir juga, bukankah tugas guru mengajar sehingga murid boleh membaca? Masa itu dasar Kementerian Pendidikan Malaysia bagi sekolah rendah 3M rasanya.

Demi masa depan anak, setiap malam kami mengajar Arrazeen membaca, mengira dan menulis. Akhirnya, pada hujung tahun, dia sudah boleh membaca. Selepas itu setiap hari kami minta dia membaca buku cerita. Sebab kami sedar, anak kami tak pandai, tanggungjawab kamilah mengajarnya. Itu rezeki yang Allah beri masa itu.

Alhamdulillah, kini anak kami Arrazeen sudah bergelar doktor perubatan. Sedang memberi khidmat pada bangsa dan negara.

Pada ibu bapa yang ada anak jenis “lambat” ini jangan give up! Sebab itu ada pepatah Melayu “Belakang parang kalau diasah lama-lama tajam juga”.

InsyaAllah.

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram

BACAAN SETERUSNYA

© 2018 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W), a part of Media Prima Group