Dalam hidup, kenangan yang terindah seringkali tidak tertangkap di lensa kamera, tetapi tetap disimpan kemas di lubuk hati.

Begitu jua persoalan anak.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Ramai dari kita yang ‘takut’ entah apa-apa apabila memikirkan perihal membawa anak travel jauh. Merasakan anak suatu ‘beban besar’ yang menghalang untuk travel adalah satu kesilapan besar.

Ramai yang kata ‘susah lah nak bawa anak travel, kang meragam pula dalam flight’. Ada juga yang mengeluh, hurm, memang kena tunggu anak besar dululah baru boleh travel, payahlah nak bawa anak kecil berjalan ni.’

Ini rungutan orang kita. Biasa.

Duduk dan fikir sejenak, jika orang lain boleh mengapa tidak kita?

Adakah anak orang lain itu tidak meragam dalam flight? Adakah anak orang lain itu datang dari planet yang lain?

Jawapannya pastilah tidak.

Usah ‘under estimate’ si anak kecil itu. Anak itu anugerah, anak itu amanah dan anak itu pelengkap kepada sebuah keluarga.

Pergilah, bawalah si kecil berjalan.

Asah dan didik mereka melihat dunia melihat manusia dan alam. Saya percaya, di dunia ini mungkin telah banyak yang kita baca dan kita dengar, tetapi sedikit sahaja yang dapat dilihat di depan mata dan dipegang apatah lagi rasa. Ya, rasa dan lihat depan mata itu kuncinya.

Berikut saya berikan 7 tip membawa anak kecil travel. Akronimnya amat mudah, anda hanya perlu ingat M.U.S.A.F.I.R.

Ingat akronim ini, ingat 7 tip di bawah:

1. Membawa Pakaian Sesuai

Tidak dapat tidak, sebelum travel, semak dahulu cuaca dan suhu di negara yang bakal dilawati. Bawa pakaian yang sesuai.

Bawa juga neck pillow, ia amat membantu didalam penerbangan.

Persalinan seperti sepasang baju, lampin pakai buang, baju sejuk, susu dan juga air panas juga perlu. Bawa beg khas yang membawa keperluan si anak.

Jika kehabisan air tidak mengapa, minta pada kru didalam penerbangan.

2. Ubat ubatan

Sehari sebelum penerbangan, sebaiknya bawa si kecil ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan.

Ianya tidaklah wajib, cuma memastikan kesihatan si kecil dalam keadaan yang terbaik.

Memandangkan isteri saya, Wani sedang sarat mengandung 6 bulan, sehari sebelum penerbangan kami pergi ke klinik untuk pemeriksaan bayi dalam kandungan terlebih dahulu.

Nasihat dan surat doktor dibawa bersama. Jika perlu, minta suntikan vaksin atau minta vitamin B+ atau Vitamin C.

Bawa juga madu bersama di dalam travel yang jauh. Madu boleh melancarkan edaran darah yang baik serta energy booster.

3. Siapkan Psikologi

Usah pandang rendah pada kebolehan anak. Mereka adalah kain putih.

Corak dan hiasilah dengan cerita cerita positif. Usah membebani fikiran dengan kata kata susah, payah dan sukar. Katakan ya, mudah dan senang.

Ubah perkataan maka terubahlah keadaan.

Banyakkan bercerita pada anak anak sebelum travel yang jauh.

Tunjukkan gambar-gambar lokasi yang mahu ditujui. Video-video di Youtube juga banyak membantu.

Anak anak mempunyai daya ingatan yang jauh lebih baik daripada kita.

4. Latihan awal

Mulakan latihan beberapa bulan sebelum travel yang jauh.

Mungkin boleh memilih untuk membawa si kecil menaiki penerbangan domestik dahulu.

Sejak 3 bulan yang lalu kami telah membawa Yaya menaiki 3 kali penerbangan domestik KL-Penang, dan KL-KK.

Bawa Yaya menaiki Air Asia, Malindo dan sekali Firefly. Tujuan pulang ke kampung sahaja.

Kini, segalanya mudah dan murah. Banyak pilihan penerbangan yang ada.

5. Inisiatif Mainan Baru

Anak-anak perlukan yang baru. Bawa yang kecil, ringan dan pelbagai.

Untuk travel kali ini, kami membawa bola kecil, teddy bear serta flash card. Kesemuanya masih berbau kedai. Baru.

Di dalam flight barulah mainan ini dikeluarkan. Surprise buat Yaya. Gembira bukan kepalang jadinya. Maklum saja, mainan baru.

Tak perlu mainan mahal, tapi cukup jika ia masih baru.

6. Makanan

Sebaiknya, bawalah 1 beg khusus mengandungi persalinan buat anak dan juga makanan. Pelbagaikan makanan yang ada.

Usah jamu si kecil dengan jajan yang membunuh sel yang baru tumbuh. Elakkan keropok, elakkan snek yang penuh dengan gula.

Ia melemahkan minda, ia membunuh.

Kita lafazkan kata-kata sayang dan kasih buat anak, tapi secara tidak sedar kita jugalah yang sedang membunuh mereka perlahan-lahan.

Kali ini, kami siapkan beberapa jenis makanan untuk Yaya dan Ocin.

Ada wholemeal bread, roti Gardenia, biskut dan beberapa jenis kekacang termasuklah kismis dan kurma.

Kurma dan kismis adalah super food. Mengenyangkan, memberikan tenaga luar biasa, mengejapkan perut. Bukan sahaja buat si anak tapi juga kita, orang dewasa.

7. Rohani

Diletakkan di kedudukan terakhir bukanlah bermakna ia tidak penting dan dipandang enteng.

Tapi, diletakkan di tempat akhir kerana ia merangkumi keseluruhan poin-poin 1 hingga 6.

Doa, pohon pada Tuhan agar dipermudahkan. Dia yang memiliki hati kita, Dia juga yang memiliki hati anak kita.

Mohon perjalanan kita menjadi perjalanan yang diberkati, diberikan keampunan dan perlindungan sepanjang perjalanan.

Bermusafir, doanya mustajab. Banyakkan berdoa semasa edah musafir.

Bermusafir bukan sekadar melihat alam, bukan sekadar melihat bangunan dan pemandangan tetapi bermusafir kerana melihat diri kita.

Bukan persoalan kita pergi, tapi persoalan kita kembali.

Ya, kembali kepada fitrah. Kembali kepada Tuhan. Kembali dan selami dalam diri. Baiki hati baiki hubungan suami isteri.

Di peringkat suami, sebelum travel, ‘slow talk’lah dengan pasangan anda.

Maklumkan, ceritakan tentang perjalanan panjang yang bakal dilalui. Suami usah sombong dan biarkan isteri buat semuanya.

Kuncinya kerjasama.

Sama-sama menjaga anak, sama-sama bermain dengan anak sepanjang musafir. Jika isteri menjaga anak, tidak salah si suami mengambil tempat menjadi tukang masak.

Bukan rasa sedap dan kesempurnaan yang ditunggu isteri, tetapi seberkas keikhlasan serta kasih sayang seorang suami dan seorang bapa sudah memadai.

Kesimpulannya, bermusafirlah.Lihatlah alam.

Tidak Tuhan jadikan ia sia sia. Besarkan kolam jiwa anak, kelak merekakan memimpin kita dan dunia.

Moga perjalanan jauh kita akan dirahmati, diberkati dan menjadikan kita manusia yang lebih baik dari semalam.

M.U.S.A.F.I.R

Like, share, dan tag pasangan anda.