Nota Editor: Kisah ini telah dikongsikan oleh Ammar Muhamad mengenai bagaimana beliau memberikan tindak balas kepada anaknya yang telah melukis gambar perompak.

Kami tertarik dengan perkongsian beliau yang diluar dari kebiasaan dan amalan kebanyakan ibu bapa. Semoga kisah ini turut memberi inspirasi untuk anda melakukan yang serupa apabila berdepan situasi seperti ini.

Maldives
HYPE
F&N SEASONS Mahu Taja Percutian Mewah Anda Di Maldives Dan Cherating. Biar Betul?
Baca lagi →

Anak Melukis Tentang Rompakan, Reaksi Ayah…

“Abah, abah, cuba tengok kartun yang Zahraa lukis.” Berlari tanpa selipar di atas rumput yang baru dipotong sedang abah terbongkok-bongkok mencabut rumput nakal di longkang.

“Zahraa lukis apa pula, meh abah tengok.” Memanjangkan leher mengenalpasti ‘imej’ apa yang telah diconteng.

ammar-1

“Zahraa lukis cerita fasal perompak.” Menerangkan tanpa ragu.

“Lukisan Zahraa dah bagus, tapi kenapa lukis fasal perompak, itu kan cerita orang jahat. Cuba Zahraa lukis cerita orang baik.” Terkejut apabila dia melukis tentang rompakan. Dalam hati, ‘masuk rumah sekejap lagi, mesti main benda lain dah.’

Selang setengah jam.

ammar-2

“Abahhh, tengok Zahraa lukis cerita apa?” Berlari-lari ala Stephen Chow (yang lemah gemalai tu) menyepak rumput yang belum dilonggok.

“Haa, macam nilah cerita orang baik. Nanti Zahraa jadi pelukis kartun, lukis cerita-cerita baik macam ni ye.”

Mengangguk faham. Muka puas hati.

‘Tak sangka dia sungguh-sungguh mencari idea melukis cerita baik. Allah, penuhi mindanya dengan kebaikan, jauhi mindanya dari kejahatan’.

Siapa yang tidak risau jika anak-anak cenderung kepada perkara-perkara tidak baik. Sebagai bapa, kesibukan bekerja kadang-kadang menyebabkan masa yang tinggal untuk ‘mencorak’ mereka tidaklah seberapa.

Waktu yang ada, pagi sebelum ke sekolah, petang selepas balik sekolah, dan malam sebelum tidur, jika dihitung-hitung, sangat singkat. Tahu-tahu, mereka telah mencecah awal remaja.

Apa yang membimbangkan hati, apabila membaca sabda rasulullah yang bermaksud:

“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka ibu bapalah yang bertanggungjawab sama ada menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani,” (Riwayat Muslim)

Beratnya tanggungjawab ibu bapa untuk ‘mengekalkan Islam’ yang telah sedia ada dalam roh atau jiwa anak-anak.Ilmu fardhu ain memang boleh ‘diserah’ kepada ustaz dan ustazah KAFA untuk diajar kepada mereka, tetapi itu sahaja tidak mencukupi.

Islam dari segi cara hidup, hanya akan terzahir dalam kelompok keluarga yang benar-benar mengamalkan Islam.

Islam menggalakkan hidup yang positif dan diisi dengan amal kebaikan. Minda yang positif, insyaa-Allah menghasilkan percakapan dan tindakan yang positif dan cenderung pada kebaikan.

ammar-4

5 perkara yang boleh membentuk anak-anak untuk sentiasa positif dalam kehidupan;

1. SOLAT – Oh, semua ibu bapa muslim tahu perkara ini, tetapi mewajibkannya ke atas anak-anak sangat menguji kesabaran. Sekali suruh, masih leka bermain.

Dua kali suruh, duduk main buih sabun dalam bilik air, tiga kali suruh, berjam-jam memakai telekung, kali keempat disuruh baru kelihatan sedang solat, itupun, rukuk sujudnya laju teramat.

Rakan ibu bapa, baiknya kita sama-sama sabar. Solat adalah asas keamanan, keselamatan, dan keyakinan bahawa ada ‘kuasa Maha Hebat’ yang akan membantu dalam setiap kesulitan. Solat adalah talian hayat mereka ‘bersama’ Allah, mudah-mudahan mereka mengerti nanti.

2. KEBAIKAN HARI INI – Kebiasaannya kita akan bertanya, Bagaimana sekolah hari ini? Belajar ok tak hari ini? Ada kerja rumah tak hari ini? Tambah satu lagi soalan, “Apa benda baik yang dah buat hari ini?” Galakkan mereka mencari kebaikan yang telah dilakukan.

Hatta menolong cikgu memadam papan putih sekalipun, apa sahaja kebaikan yang dilakukan, berikan pujian atas kejayaan melakukan kebaikan. Biarkan mereka bangga atas kebaikan dilakukan. Penghargaan atas kebaikan akan meyakinkan mereka untuk terus melakukan kebaikan.

3. TIADA RUNGUTAN – Terapkan peraturan tiada rungutan di dalam rumah, kecuali ada solusi kepada masalah itu. Siapa yang tidak boleh merungut dalam rumah? Semua sekali termasuk kita ibu bapa.

Setiap kali berdepan masalah, ajar mereka menjadi ‘penyelesai’ bukan ‘perungut’. Lama kelamaan, mereka akan melihat masalah adalah ruang dan peluang melakukan perubahan serta bertindak positif.

Saya teringat kisah seorang rakan di FB yang ‘sakit hati’ melihat longgokan sampah di kawasan sekolah. Daripada merungut dan mencari pihak untuk disalahkan, dia mengajak anak-anak mengutip sampah dan membersihkan tempat itu. Sangat bersih! Tabik spring!

ammar-6

4. JADI HERO – Jon Gordon, penulis buku ‘bestseller’ The Shark and The Goldfish menganjurkan formula ‘jerung positif’, E + P = O. Buku tersebut menceritakan kisah ‘jerung positif’ yang mengajar ikan emas bagaimana mengatasi ketakutan kepada perubahan dan belajar mencari makanan.

Menurut ‘Jerung positif’, kita tidak boleh mengawal (E) ‘Events’, tetapi boleh mengawal respon (P) ‘Positive’ kepada ‘event’ yang berlaku dan respon kita menentukan (O) ‘Outcome’. Formula ini membantu mengubah ‘locus of control’ atau sudut fikir anak-anak.

Mereka berubah dari menganggap diri sebagai mangsa keadaan kepada ‘saya adalah hero’ yang menyelamatkan keadaan. Minda akan berfikir, “Apa saya boleh buat?”. Mereka akan menukar cabaran menjadi peluang dan mengubah perkara buruk kepada kebaikan. Mereka kekal optimis sepanjang masa.

ammar-7

5. SYUKUR – Kajian menunjukkan syukur dan ‘tension’ tidak boleh wujud serentak dalam diri manusia. Benarlah apa yang difahami dari Al-Quran, mereka yang bersyukur adalah orang yang bahagia. Orang yang bahagia akan sentiasa positif.

Selain kita, anak-anak kita juga ada masalah sendiri yang menimbulkan tekanan. Mereka boleh saja tertekan apabila melihat rakan-rakan baik semuanya memiliki ‘ipad’ masing-masing. Nampak kecil bagi kita, tetapi tekanan menggunung bagi mereka.

Ajari mereka untuk bersyukur. Setiap hari, cari 3 perkara yang perlu disyukuri. Galakkan mereka menulis kesyukuran ini di dalam blog, FB, atau ceritakan semasa makan. Setiap kali mereka tertekan, ingatkan mereka pada erti kesyukuran.

Alhamdulillah (baca gaya Tok Adi)

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram

Anda Mungkin Suka