Baru-baru ini seorang lagi anak Malaysia berusia 23 tahun dari Kuala Lumpur, Wong Chun Shen telah berjaya memenangi tempat kedua dalam pertandingan perdagangan antarabangsa yang dikenali sebagai Rotman International Trading Competition (RITC). Pertandingan kali ke-16 ini diadakan di Toronto, Kanada. Kami berkesempatan untuk menemubual beliau mengenai pencapaian tersebut.

Wong Chun Shen merupakan seorang pelajar tahun 3 Sarjana Muda Sains Komputer dan Matematik dalam jurusan Pengkomputeran Kewangan di City University of Hong Kong. Mengetahui pertandingan ini akan ditaja sepenuhnya oleh nama-nama besar seperti syarikat pelaburan terkenal di Amerika, Bridgewater Associates, beliau lebih bersemangat dan bermotivasi untuk melakukan yang terbaik.

Beliau berjaya mendapat tempat kedua dalam kategori “Citadel Securities Algorithmic Trading Case” dan tambahnya lagi, beliau sudah mula mengasah bakat dan kemampuan dalam bidang pengkomputeran kewangan sejak sebelum memulakan pengajian di peringkat universiti lagi.

Mengaku agak kecewa kerana tidak berjaya menduduki tempat pertama, beliau tetap bersyukur dan menganggap kejayaan ini sebagai hasil kerja keras beliau. Beliau merancang untuk menyertai lebih banyak pertandingan sedemikian dalam masa akan datang dan menggunakan platform tersebut sebagai ruang untuk memperbaiki prestasi dan berpeluang untuk mempelajari sesuatu yang baru. Tahniah Wong Chun Shen.

Sumber