Sekitar 20 tahun dahulu, bapanya sering membawa Mick Schumacher ke perlumbaan Formula 1 yang disertainya. Kini selepas mencapai usia 21 tahun, anak kepada legenda Michael Schumacher itu akan menyambung legasi keluarganya dalam perlumbaan kereta terulung di dunia itu.

Nama keluarga Schumacher bukanlah nama yang asing di persada F1 dengan Michael sebelum ini pernah menjadi juara dunia tujuh kali sebelum bersara pada 2012. Selain Michael, bapa saudara Mick, Ralf juga pernah mewarnai arena F1 suatu ketika dahulu.

Kini selepas ayah dan bapa saudaranya, Mick pula akan bersaing dalam F1 selepas diumumkan akan mewakili pasukan Haas bermula tahun hadapan. Beliau akan bergandingan dengan seorang lagi pelumba muda Nikita Mazipin dari Rusia.

Tidak hanya berkongsi nama keluarga bersama ayah dan bapa saudaranya, Mick juga adalah seorang pelumba yang sedang meningkat naik ketika ini.

Merupakan salah seorang pelumba yang berada di bawah akademi Ferrari, Mick yang kini bersaing dalam saingan Formula 2 sudah pun mencatatkan dua kemenangan dan sepuluh podium.

Malah beliau ketika ini juga sedang mendahului kedudukan kejuaraan dunia untuk kategori itu dengan perbezaan 14 mata mengatasi pesaingnya dengan hanya berbaki satu perlumbaan sahaja lagi.

Di Formula 1, bapanya Michael sebelum ini telah mencatatkan 91 kemenangan manakala bapa saudaranya Ralf pula memenangi enam daripada 180 perlumbaan yang disertainya.

Kembalinya Mick dengan membawa nama Schumacher ke perlumbaan F1 yang berlangsung di seluruh dunia pastinya akan mengimbau kembali kenangan peminat siri perlumbaan itu yang suatu ketika dahulu pernah dihidangkan dengan aksi menakjubkan oleh Michael dan Ralf.

Walaupun Mick hanya akan menyertai pasukan yang berada di kedudukan bawah setiap perlumbaan, namun ianya pasti akan membuka ruang buat dirinya untuk mencipta nama di masa hadapan sama seperti dengan apa yang dilakukan keluarganya suatu ketika dahulu.

Malah, bapanya juga tidak bermula dengan Ferrari sebaliknya hanya melakukan debut bersama pasukan Jordan pada 1991 sebelum bergelar juara dunia bersama Ferrari dan menjadi antara pelumba paling hebat dalam sukan berkenaan.

Baca juga perkongsian semasa sukan yang pernah kami kongsikan sebelum ini melalui pautan di bawah. 

Dokumentari Luqman Hakim ‘The Journey of Luqie’ Kini Boleh Ditonton Di YouTube

Setelah Bersara Dari UFC, Khabib Kini Mahu Fokus Jadi Petani Di Kampung

Bekas Pelumba Moto2 Kini Jadi Penghantar Makanan, Akui Tidak Malu Demi Rezeki Yang Halal

Sumber