Apakah persamaan Angela Merkel, Hillary Clinton, Christine Lagarde, Oprah Winfrey, Sheryl Sandberg, JK Rowling, Beyonce, Lena Dunham, dan Kate Middleton?

Jawapan: Selain dari tersenarai sebagai wanita paling berkuasa di dunia oleh Forbes, mereka adalah anak pertama dalam keluarga, dan berjantina perempuan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

msg_getitbeauty

Kajian terbaru khusus di United Kingdom menyatakan, jika anda anak pertama dan perempuan, anda kemungkinan besar boleh berjaya seperti mereka yang tersenarai di dalam Forbes itu. Ia berdasarkan satu hasil kajian dibawah tajuk “Sibling Configurations, Educational Aspiration and Attainment” yang diketuai Feifei Bu, pelajar PhD Institute for Social and Economic Research, University of Essex. Kajian yang dijalankan ini melibatkan 1,503 kumpulan adik-beradik dan 3,532 orang individu melalui British Household Panel Survey. Ia menggunakan multilevel modeling techniques dan mengecualikan anak tunggal dan anak pertama kembar di dalam kajian ini.

Keputusan Kajian

1. Anak sulung yang paling berkemungkinan besar untuk menjadi seseorang yang “bercita-cita tinggi” dan “berjaya” berbanding dengan adik-beradiknya yang lebih muda.

2. Anak sulung perempuan adalah orang yang paling bercita-cita tinggi, 13% lebih tinggi berbanding anak sulung lelaki yang bercita-cita menyambung pelajaran ke peringkat siswazah.

3. Anak sulung adalah 16% lebih cemerlang di dalam akademik dan menamatkan pengajian berbanding adik-beradiknya.

4. Anak sulung yang memiliki jarak umur empat tahun atau lebih dengan adik selepasnya adalah orang yang benar-benar paling mungkin untuk berjaya.

5. Anak sulung lebih cenderung untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah lanjutan.

6. Anak perempuan adalah 4% lebih cenderung untuk mempunyai pendidikan tinggi berbanding adik-beradik.

7. Anak-anak sulung adalah 7% lebih cenderung bercita-cita tinggi untuk meneruskan pendidikan mereka ke tahap yang lebih tinggi berbanding adik-beradik yang lebih muda.

Statistik ini adalah benar tanpa mengira berapa ramai adik-beradik dan apa kombinasi jantina mereka. Jika gred peperiksaan rendah, ia tiada kaitan dengan berapa ramai bilangan adik-beradik atau jenis jantina. Tetapi jurang umur antara adik-beradik ada signifikan dalam mengekspresi minat dalam pendidikan tinggi. Jarak umur 4 tahun atau lebih dengan adik-beradik akan lebih mendorong diri untuk belajar lebih tinggi.

Menurut Feifei Bu, ibu bapa lebih kepada sifat memupuk berbanding semula jadi ke atas anak sulung:

“Terdapat beberapa penjelasan yang mungkin tentang pencapaian yang lebih tinggi dan cita-cita anak sulung. Ia berkemungkinan ibu bapa menumpukan lebih banyak masa dan tenaga untuk anak pertama – ia juga boleh jadi bahawa mereka (anak sulung) sebenarnya lebih pintar. Bagi saya (Feifei Bu), saya cenderung untuk bersandar kepada teori bahawa pelaburan ibu bapa adalah berkemungkinan membentuk faktor di sini.”

Kajian Lepas

Ini disokong dengan kajian pada tahun 2007, anak menerima perhatian yang lebih bermakna dia akan memiliki lebih kepintaran. Di dalam kajian tersebut, anak pertama skor 3 poin lebih tinggi dalam ujian IQ berbanding adik-beradiknya. Jika anak pertama mati semasa kecil, anak kedua skor sama tinggi dengan anak pertama.

Satu teori (confluence) menyatakan bahawa “perkembangan intelek kanak-kanak dibentuk oleh persekitaran intelektual dalam keluarga yang merupakan fungsi purata tahap intelektual semua ahli keluarga”. Penjelasan yang lebih munasabah adalah pasangan yang baru menjadi ibu bapa teruja apabila menerima satu keajaiban di dalam hidup mereka iaitu anak pertama. Mereka mahu berikan yang terbaik dan melabur lebih banyak untuk anak pertama mereka. Itu menjadikan anak pertama memiliki IQ yang lebih tinggi berbanding adik-beradiknya.

Bagi anak-anak selepas anak pertama pula, mereka bersaing untuk menjadi kegemaran ibu bapa dan menerima pelaburan ibu bapa tetapi dalam bentuk peranan yang berbeza. Jika anak pertama dilihat sebagai bijak, anak kedua mungkin lebih kepada bersukan atau pelakon.

Fitrah Anak dan Tanggungjawab Ibu Bapa

Ketepikan semua kajian dan berbalik kepada asas, anak ini seperti kain putih, ibubapa yang akan mencorakkannya. Sabda Rasulullah SAW, maksudnya:

“Setiap bayi yang dilahirkan itu adalah suci fitrahnya. Ibu bapalah yang menjadikan mereka Yahudi, Nasrani ataupun Majusi.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menerangkan ibu bapalah yang berperanan serta bertanggungjawab sepenuhnya mencorakkan hidup anak-anak dengan kebaikan dan kepintaran atau sebaliknya.

Sabda Rasulullah lagi, maksudnya:

“Ajarkan anak-anak kamu solat ketika mereka berusia tujuh tahun. Pukullah mereka sekiranya mereka melalaikan solat apabila mereka berusia 10 tahun dan pisahkan tempat tidur mereka (lelaki dan perempuan).”

(Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Ini jelas bahawa proses pendidikan anak-anak bermula dari rumah lagi dan tidak dinyatakan utamakan anak pertama berbanding anak-anak yang lain.

Hakikatnya, anak-anak adalah anugerah dan amanah Allah yang perlu dididik oleh ibu bapa dengan sebaiknya agar selamat di dunia dan akhirat. Didikan itu perlulah diterapkan sejak mereka kecil lagi supaya apabila besar kelak mereka menjadi insan yang berilmu, berakhlak mulia, beramal soleh dan sentiasa taat kepada Allah dan kedua ibu bapanya.

Sumber: JHEAINS Sabah, ISER Essex, Scientific American Blog, Slate, NYTimes, The Guardian

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram