Tidur bersama bayi memberikan banyak manfaat kepada bayi dan ibu. Memupuk ikatan yang sihat untuk bayi dan ibu. Bayi rasa lebih selamat dan lebih sihat dari sudut emosinya.

Apabila tiba masanya, anak kecil itu perlu tidur di tempatnya sendiri. Sampai masanya dia perlu diasuh untuk menjadi yakin dan berani.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Namun lazimnya, si kecil terlalu ingin melekat di tilam ibu bapa. Ibu bapa pula rasa kasihan ingin meninggalkan anak bersendirian di bilik.

Ini tip untuk mendisiplinkan anak tidur di bilik sendiri.

1. Kerajinan dan disiplin ibu bapa. Yang pertama dan paling utama adalah kerajinan ibu bapa. Rajin menemankan anak makan, tidurkan dan sebagainya. Kemudian disiplin diri.

2. Mula disiplinkan anak seawal mungkin untuk semua urusan yang memerlukan aturan masa seperti makan, tidur, main dan mandi.

3. Makan. Anak yang sudah boleh makan sendiri, pastikan makan mengikut waktunya. Waktu makan semua perlu makan bersama-sama. Makan satu dulang boleh mengeratkan ukhuwah dan mengurangkan basuhan pinggan. Untuk mendisiplinkan makan, jika tidak makan pada waktunya, tiada makanan disediakan selepas habis waktunya.

4. Makan malam. Makan malam yang mengenyangkan amat membantu anak-anak untuk tidur lena pada waktu malam. Pastikan juga mereka makan malam dan minum air atau susu secukupnya. Tiada minuman bercoklat. Tiada manisan atau gula-gula tambahan.

5. Bermain. Bermain secara fizikal, bukan permainan di skrin. Bermain adalah tanggungjawab kanak-kanak untuk membantu tumbesaran sihat mereka.

Kuota bermain yang cukup amat membantu untuk mereka tidur dengan nyenyak dan optimum. Tidur yang cukup juga membantu untuk perkembangan otak yang sihat. Oleh itu jangan kita sekat keperluan mereka untuk bermain. Jika risau keselamatan mereka, rajinkanlah diri untuk menemani mereka bermain.

6. Untuk tidur yang nyenyak, perlukan keadaan yang selesa. Badan, emosi dan dan bilik yang selesa. Mandi dan pakai baju yang selesa. Bilik yang tidak panas dan tilam yang tidak serabut. Dan emosi yang stabil. Jika tidak selesa mereka mungkin akan terbangun dan mencari ibu bapa.

7. Emosi. Anak yang tidur dalam keadaan menangis, marah, sedih atau takut akan mudah mengigau atau tersedar pada waktu malam. Tetapkan mood tidur sebaiknya.

Mahu anak tidur dalam biliknya, maka ibu bapa perlu tetapkan rutin menidurkan anak, seperti membacakan mereka buku cerita atau bercerita kisah-kisah yang mempunyai nilai moral.

Nasihat kepada anak adalah terbaik diberikan pada waktu bagini. Boleh juga mengulangi hafazan. Selepas itu, bacalah doa bersama-sama dan tibalah masa untuk anak tidur.

Kadang-kadang kita tertidur di bilik anak, tidak mengapa. Anggaplah itu sebagai latihan untuk kita juga.

Keadaan bilik yang selesa, anak pula sudah cukup kenyang dan letih, InsyaAllah membuatkan tidur mereka sampai ke pagi.

8. Untuk anak-anak berusia 4 tahun ke atas, kita sudah boleh latih masa bangun tidur mereka. Apabila sudah tiba masa, mereka perlu bangun.

Jika mahu tidur lagi, boleh tidur pada waktu tengahari, di antara pukul 12 tengah hari sehingga 3 petang, selama satu hingga 2 jam.

Tidur siang perlu cukup-cukup sahaja. Terkurang boleh jadi cranky, terlebih pula, malam nanti si dia segar mata.

Kanak-kanak berusia 1 hingga 4 tahun perlu tidur selama 12 jam sehari, manakala kanak-kanak lebih dari 4 tahun memerlukan tidur selama 8-10 jam sehari.

Kesimpulannya, mahu disiplinkan anak, kita yang perlu disiplin dahulu. Mahu anak rajin mengikut disiplin, kitalah yang perlu jadi rajin dahulu.

Acap kali juga kita kecundang, tetapi tidak mengapa, kita cuba lagi, sepertimana anak-anak kita tidak pernah jemu mencuba.

Bukan setakat hal tidur, ada 1001 lagi perkara lain yang memerlukan disiplin dalam membesarkan anak-anak. Secara tidak langsung, diam tak diam, kita juga sedang belajar mendisiplinkan diri kita sendiri.

Disiplin yang baik tidak cukup dengan hanya menyuruh, tetapi juga dengan menunjukkan demonstrasi dan mengamalkannya, betul tak?

Memberi demonstrasi adalah agak mencabar kerana ia menuntut masa yang lebih, tetapi ini boleh dilakukan dengan kerjasama kedua-dua suami isteri.

Saya doakan usaha Tuan Puan dipermudahkan. Setiap yang kita hajati walau sekecil apa pun, mintalah supaya Allah permudahkan.