Tempat yang sunyi sering dikaitkan dengan ketenangan, tetapi bagaimanakah jika ia terlalu sunyi? Ini jawapan untuk persoalan tersebut. Di Amerika, terdapat tempat yang dipanggil Anechoic Chamber iaitu tempat paling sunyi di dunia pernah dicipta. Anechoic Chamber memiliki tahap kesunyian yang luar biasa, sesiapa yang berada di dalamnya boleh mendengar degupan jantung, hembusan nafas bahkan bunyi aliran darah sendiri. Erti kata lain, tiada apa-apa bunyi di sini melainkan nyanyian tubuh sendiri.

Ramai yang beranggapan bahawa memasuki ruangan ini boleh mengundang bahaya. Oleh kerana terlalu sunyi, apa yang ditakutkan adalah munculnya gangguan halusinasi. Sesiapa yang masuk ke sini harus keluar dengan cepat kerana bimbang akan mengalami ganguan jiwa. Pada tahun 2015, Guinness World Records telah mengiktiraf Anechoic Chamber sebagai tempat paling sunyi di dunia.

Ternyata suasana terlalu sunyi itu juga tidak bagus. Ketika berada di dalam Anechoic Chamber, anda tidak akan mendengar satu pun bunyi. Jika anda memang seorang pencinta ketenangan, ia mungkin syurga buat anda tetapi hanya untuk beberapa minit.

1

Hal ini kerana Anechoic Chamber memiliki rekabentuk dinding yang unik. Tidak seperti dinding rata biasa yang masih boleh melantunkan suara sehingga tetap menghasilkan bunyi, Anechoic Chamber terdiri daripada dinding berbentuk prisma segitiga tirus yang menutup keseluruh permukaan. Ini menyebabkan setiap bunyi yang melantun ke dinding seolah-olah terus dibunuh. Tidak hanya bunyi, gelombang elektromagnetik turut menerima kesan yang sama jika berada di ruangan ini.

Pada asalnya, Anechoic Chamber diciptakan khas untuk syarikat Microsoft di mana ruangan ini digunakan sebagai makmal untuk menguji produk seperti komputer, X-Box serta Hololens. Namun, kini penggunaan Anechoic Chamber digunakan secara meluas oleh syarikat-syarikat besar terutama yang melibatkan ujian bunyi.

Selain daripada digunakan untuk menguji produk, Anechoic Chamber juga dipakai sebagai ruang isolasi oleh para angkasawan. Mereka akan diuji untuk cuba menyesuaikan diri berada di tempat yang betul-betul sunyi seolah di ruang angkasa. Jika mereka mampu bertahan dalam waktu yang ditentukan, maka salah satu dari syarat menjadi angkasawan berjaya dipenuhi.

Mahu rasa tenang dan pernah teringin untuk ke tempat paling sunyi di dunia? Abaikan, majoriti yang pernah masuk ke sini dengan tujuan tersebut akhirnya mengalami ketakutan sendiri. Terbukti, terlalu sunyi juga tidak memberi ketenangan.